suria

Shahril: Makin Tunduk, Makin Berisi

Shahril Shamsuddin
Shahril Shamsuddin
Shahril Shamsuddin

TIDAK banyak yang berubah pada Tan Sri Shahril Shamsuddin sejak kali pertama saya bertemu dengannya lapan tahun yang lalu. Pada usia 52 tahun, usahawan minyak dan gas ini masih mengekalkan daya pemikatnya dan masih pandai berjenaka.

Sebaik masuk ke dalam restoran, Shahril menarik kerusinya dan ketawa setelah berseloroh menyebut bahawa beliau dan rakan kongsinya Datuk Mokhzani Mahathir adalah orang paling banyak berhutang dalam negara ini.

(SapuraKencana mempunyai hutang jangka panjang berjumlah RM3.7 bilion dan hutang jangka pendek RM2.7 bilion. Bagaimanapun ini tidak bermakna syarikat tersebut tenggelam dalam hutang.)

SapuraKencana Petroleum Bhd yang dimiliki dan dipimpin oleh Shahril dan Mokhzani mempunyai pesanan kontrak berjumlah RM25 bilion.

Shahril memegang 20% saham syarikat itu menerusi Sapura Holdings. Saham SapuraKencana kini berharga RM3.79, meletakkan nilai Shahril pada sekitar RM4.5 bilion. Beliau dan saudaranya, Shahriman berada pada kedudukan ke-12 dalam senarai orang terkaya di Malaysia yang dikeluarkan oleh Forbes untuk tahun 2013.

Dunia korporat Malaysia mengenali Shahril sebagai anak lelaki sulung Tan Sri Shamsuddin Abdul Kadir. Shamsuddin telah membina Sapura Holdings dari bawah sehingga menjadi salah sebuah konglomerat milik persendirian terbesar dalam negara ini dengan 4,500 pekerja ketika itu.

Sejak awal tahun sembilan puluhan lagi, Shahril yang ketika itu berusia 30 tahun telah mula mengambil alih kepimpinan syarikat daripada ayahnya.

Shahril percaya beliau ingin mencapai kejayaan lebih besar kerana itu telah menjadi sebahagian daripada wataknya.

Beliau melihat ayahnya sebagai mentor yang menyiapkannya untuk memegang tanggungjawab lebih besar.

“Memang, ayah adalah mentor saya. Saya melihat beliau bekerja keras dengan satu tujuan, iaitu untuk memberi pendidikan kepada anak-anaknya, dan itu menjadi dorongan kuat untuk saya menjadi seperti beliau. Saya melihat beliau mengambil begitu banyak orang sebagai pekerja.

“Saya melihat bagaimana beliau merasa puas, bukan semata-mata kerana keuntungan yang dijana oleh syarikat, tetapi kerana beliau mampu menawarkan kerja kepada banyak orang,” ujarnya lagi.

Shahril juga menyebut nama Datuk Rameli Musa (pengarah eksekutif Ingress Corp Bhd) dan Khoo Soo Keong sebagai mentor beliau.

Menurut Shahril, banyak orang bercakap tentang pemberdayaan di tahun lapan puluhan, sedangkan semua mentor beliau telah mengamalkan perkara tersebut di tahun tujuh puluhan.

Pada hari ini SapuraKencana mempunyai modal pasaran sebanyak RM22 bilion, aset bernilai RM15 bilion dan kakitangan sebanyak 11,000 orang. Namun Shahril tidak merancang untuk membina sebuah syarikat raksasa. Hasrat awal beliau hanyalah untuk membina sebuah organisasi yang mempunyai kekuatan teknikal yang tinggi dan memberikan nilai terbaik kepada para pelanggan.

“Sekumpulan daripada kami bertemu dan memikirkan perkhidmatan apa yang tidak banyak ditawarkan di Malaysia. Di penghujung tahun sembilan puluhan, hampir tidak ada syarikat pembekal perkhidmatan minyak dan gas, sedangkan negara ini adalah pengeluar minyak.

“Jadi, bagi kami, apa yang perlu dilakukan adalah membentuk satu pasukan dan mengisi jurang tersebut. Banyak syarikat ketika itu berminat dengan IT, tetapi kami keluar daripada bidang tersebut dan memasuki bidang minyak dan gas. Tiada banyak orang yang memahami perniagaan tersebut ketika itu.

“Sesebuah syarikat menjadi besar kerana ia melakukan kerja dengan betul. Kami melaburkan keupayaan dan modal. Kami komited untuk melakukan sendiri kerja-kerja yang diperlukan,” katanya.

Sebahagian orang menganggap sebab utama SapuraKencana mampu berkembang pesat ialah kerana hubungan yang dimilikinya dengan pihak tertentu.

Bagi Shahril, orang boleh bercakap apa saja.

“Sudah tentu banyak orang yang perlu saya kenali kerana kami memberikan khidmat di 20 buah negara. Pasaran terbesar kami sekarang adalah Brazil yang merangkumi 60% daripada pesanan yang ada. Bagi saya, orang tahu bahawa kami mampu menyempurnakan tugas dan mempunyai rekod kerja yang baik,” ujar Shahril lagi.

Meski pun begitu, beliau tetap memberi perhatian tentang penyempurnaan kerja. “Setiap hari saya berfikir tentangnya. Apabila sesuatu kontrak diambil, kami mesti menyempurnakan kerja. Kami memastikan agar tidak melakukan kekurangan yang merugikan pihak yang memberi kepercayaan kepada kami,” jelas beliau.

Beliau melihat masa depan yang cerah untuk SapuraKencana.

“Keupayaan kami masih boleh dimanfaatkan sepenuhnya. Dalam jangkamasa dua tahun akan datang, kami akan mencuba untuk memanfaatkan keupayaan. Kami akan terus berusaha mengukuhkan kedudukan dan mendapatkan lebih banyak kontrak. Kami sedang menangani pasaran Amerika Latin. Afrika amat menarik, tetapi pasaran itu sedang berkembang dan kami perlu lebih berhati-hati,” kata Shahril.

Untuk usahawan yang bersungguh-sungguh ingin memulakan perniagaan mereka, Shahril menasihatkan mereka untuk membentuk pasukan yang baik dan dapat membantu eksekutif atasan dan para pemilik syarikat.

“Sediakan sistem kewangan yang baik dan lebih penting, model perniagaan yang lestari dan bernilai tambah,” pesan Shahril.

> Nota: Artikel Oleh TEE LIN SAY & XANDRIA OOI ini pertama kali terbit di dalam sisipan Bizweek, akhbar The Star Sabtu lalu. Rencana ini adalah Bahagian Pertama.

Artikel Berikut

Apakah Melayu Akan Berubah?

Artikel Lain