suria

Sang Penyair dan Pembikin Filem

A.Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad
A.Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad
A.Samad Said atau lebih dikenali sebagai Pak Samad

A.SAMAD Said, juga dikenali sebagai Pak Samad, adalah seorang penyair dan novelis handalan ulung.

Beliau menerima anugerah Sasterawan Negara pada tahun 1986, manakala novel beliau, Salina, telah diangkat sebagai salah satu karya agung dalam dunia persuratan Malaysia.

Bagaimanapun, kebelakangan ini beliau lebih dikenali sebagai salah seorang tokoh utama gerakan Bersih, sebuah pakatan yang terdiri daripada beberapa NGO yang memperjuangkan pilihanraya yang bebas dan adil.

Dalam sebuah acara meraikan ulangtahun Kemerdekaan Malaysia ke-56, Pak Samad membaca sebuah puisi sambil beberapa orang aktivis mengibarkan Sang Saka, bendera yang diperkenalkan sebelum Merdeka.

Bendera adalah simbol kenegaraan yang melambangkan suatu makna yang mendalam.

Maka, tindakan mengibarkan bendera selain Jalur Gemilang sewaktu sambutan Merdeka menandakan rasa tidak puas hati seseorang dengan keadaan semasa dalam negara.

Strategi protes yang sama telah digunakan misalnya oleh masyarakat Kaum Asal dan Torres Strait Islander di Australia.

Sudah tentu ada beberapa kelompok yang memiliki wawasan kenegaraan yang berbeza-beza.

Tidak mengejutkan juga apabila laporan polis dibuat terhadap aktivis-aktivis terbabit.

Mereka kemudiannya telah ditahan dan sedang disiasat atas tuduhan menghasut.

Beberapa hari kemudian, pihak polis mendatangi rumah Pak Samad pada larut malam dan membawa beliau ke balai.

Di sana, beliau telah disoal-siasat sebelum dilepaskan pada awal pagi. Polis mengumumkan bahawa beliau juga sedang disiasat atau tuduhan menghasut.

Usia Pak Samad sudah mencecah 81 tahun dan penampilannya benar-benar seperti yang dibayangkan kebanyakan orang tentang seniman: kurus, berwajah mendung dan berkaca mata, dengan rambut dan janggut putih yang panjang.

Gambaran sebegini tidak memihak kepada pihak berkuasa.

Media sosial meledak dengan kemarahan orang ramai yang menganggap pihak berkuasa telah bertindak keterlaluan.

Kontroversi ini mengingatkan kita pada satu lagi babak penting dalam sejarah, ketika seniman dan politik bertembung.

Dalam respons terhadap rusuhan kaum tahun 1969, arwah Ibrahim Hussein yang ketika itu adalah Seniman Residen di Universiti Malaya telah menghasilkan sebuah karya berjudul 13 Mei.

Karya tersebut menampilkan bendera Malaysia yang disapu dengan cat hitam di atasnya.

Universiti Malaya menuduh beliau mencemarkan bendera negara dan enggan mempamerkan karya tersebut.

Ibrahim merayu kepada Timbalan Perdana Menteri, Tun Abdul Razak yang kemudiannya bersetuju untuk melihat karya tersebut.

Catan itu dihantar ke pejabat Tun Razak di bawah kawalan polis. Beliau mendengar penjelasan sang seniman dan kemudiannya telah membenarkan catan itu dipamerkan secara terbuka.

Penglibatan Pak Samad dalam gerakan Bersih telah menempatkannya di tengah-tengah pergelutan politik dan sosial yang menyelubungi negara kita ini sejak 15 tahun lalu.

Meski pun begitu, beliau kekal sebagai seorang seniman.

Beliau telah membaca puisinya sewaktu demonstrasi dan dalam klip-klip video online untuk mempromosi kebebasan dan persaudaraan.

Bagaimanapun, pernyataan-pernyataan beliau berkenaan insiden Sang Saka menonjolkan kemahiran beliau menggunakan bahasa dan perlambangan untuk merangsang, mencabar dan membuat pendedahan.

Perang mulut selepas penahanan beliau turut menyaksikan Perkasa menyeru agar beliau memulangkan anugerah Sasterawan Negara.

Aktivis, ahli politik pembangkang, malah menteri Umno seperti Datuk Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin, telah bertekak atau mencabar Perkasa sepanjang beberapa tahun lalu, namun respons Pak Samad singkat. "Siapa Perkasa?"

Ungkapan singkat beliau turut menyiratkan satu tindakan. Kata-katanya mengandungi suatu daya yang disebut dalam bidang kebahasaan sebagai daya tindak, iaitu keupayaan sesuatu ungkapan untuk menghasilkan tindakan sebenar jika kena pada tempat dan masanya.

Ucapan beliau telah memainkan peranan menafikan keabsahan sebuah pertubuhan dengan cara mempertikaikan kedudukan mereka untuk bersuara.

Begitu juga apabila beliau mencabar kerajaan untuk melucutkan kewarganegaraannya.

Walaupun Pak Samad telah dikecam hebat oleh beberapa menteri dan NGO, belum ada siapa yang menyarankan agar kewarganegaraan beliau dilucutkan. Dengan itu, cabaran beliau itu membuatkan kita terfikir mengapa persoalan atau ancaman tersebut tidak muncul.

Padahal telah beberapa tuntutan dikemukakan agar kerajaan melucutkan kewarganegaraan sebilangan aktivis bukan-Melayu, termasuk Datuk Ambiga Sereenevasan yang bersama-sama Pak Samad mempengerusikan Bersih.

Perkara yang tersirat di sini ialah bahawa kewarganegaraan, sebagai perkara yang dilindungi oleh perlembagaan, tidak menjadi hak yang tidak dapat disangkal untuk sesetengah warga Malaysia.

Dalam konteks ini, pemilihan kata oleh Pak Samad secara rencam mendedahkan kemunafikan dan unsur perkauman yang mendorong sesetengah pihak untuk mengancam warga Malaysia bukan-Melayu.

Ada semacam satu muhasabah diri pada pengucapan Pak Samad, satu pengakuan bahawa beliau tidak diancam dengan pelucutan kewarganegaraan kerana latar kaum beliau dan semangat kebangsaan berasaskan perkauman pertubuhan-pertubuhan seperti Perkasa.

Tindakan beliau menawarkan diri untuk digugat oleh ancaman yang sama seperti yang dikenakan terhadap warga Malaysia bukan-Melayu adalah satu tindak solidariti.

Ucapan yang berpengaruh dibuat oleh pengucap yang kedudukannya terpandang dalam masyarakat.

Pak Samad telah menempa nama sepanjang kerjayanya sebagai penulis, menerusi peranannya dalam gerakan Bersih dan lantaran pendirian tegasnya tentang isu-isu demokrasi dan kebebasan.

Insiden Sang Saka menimbulkan kemarahan kerajaan terhadapnya, tetapi insiden itu juga boleh dikatakan telah turut meningkatkan kedudukan beliau secara moral di kalangan warga Malaysia dan barangkali juga di mata masyarakat dunia.

Pada sekitar masa yang sama Pak Samad menjadi bahan berita, Datin Paduka Shuhaimi Baba, seorang pengarah filem yang dihormati, terjerat dalam kontroversi berikutan filem arahan beliau, Tanda Putera.

Filem ini mula diperkatakan orang setahun yang lalu, setelah sedutannya ditayangkan.

Sebahagian orang menuduh filem tersebut menampilkan gambaran berat sebelah tentang rusuhan kaum tahun 1969. Sudah tentu tidak adil untuk menilai sesuatu filem semata-mata berasaskan beberapa sedutan.

Bagaimanapun, orang ramai semakin merasa curiga apabila sekeping gambar pemimpin DAP, Lim Kit Siang, sedang diberkas telah dimuatkan dalam laman Facebook Tanda Putera.

Keterangan gambar tersebut membayangkan seolah-olah beliau telah kencing pada tiang bendera di kediaman Menteri Besar Selangor pada tahun 1969.

Insiden kencing di tiang bendera itu, yang belum terbukti pernah berlaku, telah menimbulkan lagi kemarahan. Nota: Pemilik rasmi laman Facebook Tanda Putera, Pesona Pictures Sdn Bhd, telah pun memohon maaf kepada Penasihat DAP, Lim Kit Siang kerana mengaitkan beliau dengan adegan membuang air kecil dalam filem berkenaan.)

Malangnya, Shuhaimi telah menyumbat gol sendiri apabila beliau mendakwa bahawa filemnya dibuat berasaskan fakta dan kajian yang teliti.

Beliau yang pernah memenangi beberapa anugerah dalam dan luar negeri telah dituduh menjadi juru propaganda kerajaan dan cuba menimbulkan ketegangan kaum.

Bagaimanapun, ada juga golongan dalam masyarakat, terutama Perkasa, yang lantang menyokong beliau dan filemnya.

Pak Samad tampak berjaya mengawal sepenuhnya kata-kata beliau, sedangkan Shuhaimi beberapa kali berbolak-balik kata-katanya.

Ketika Tanda Putera mula ditayangkan bulan lepas, Shuhaimi membatalkan dakwaannya sebelum itu yang menyebut filem beliau berlandaskan fakta.

Sebaliknya beliau menegaskan bahawa filem tersebut adalah berkenaan persahabatan antara dua tokoh besar dalam sejarah Malaysia, iaitu Tun Abdul Razak dan Tun Dr Ismail, berlatarbelakangkan rusuhan kaum Mei 1969.

Rayuan beliau kepada orang ramai untuk memberikan peluang kepada filemnya tidak dipedulikan.

Sesetengah orang bersikap keras. Pengarah tersebut telah menerima ancaman bunuh dan banyak kecaman dalam dunia siber.

Beberapa warga siber telah menggunakan beberapa keping gambar yang belum disunting dari laman Facebook Tanda Putera untuk menunjukkan bahawa filem berkenaan telah dibikin secara cincai.

Keterangan gambar pada foto Lim Kit Siang yang dimuatkan dalam laman berkenaan dulu tidak benar, namun begitu juga dakwaan bahawa filem ini dibuat secara cincai.

Ya, memang ini satu karma, tetapi benang yang basah tidak boleh ditegakkan.

Lebih menggusarkan kita adalah percubaan Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menghalang penayangan Tanda Putera di negeri beliau.

Kita tertanya-tanya tentang komitmen Lim Guan Eng terhadap demokrasi dan kebebasan berkarya jika tindak balas beliau terhadap filem yang tidak disukainya ialah dengan mengharamkan tayangannya.

Kebanyakan sarjana melihat rusuhan terbabit bukan bersifat perkauman, sebaliknya disebabkan oleh politik.

Bagaimanapun, selama hampir 40 tahun rusuhan tersebut telah digunakan sebagai puaka untuk menakut-nakutkan rakyat.

Rakyat Malaysia kebanyakan dibuatkan percaya bahawa Rusuhan 1969 terjadi kerana keseimbangan hubungan antara kaum telah diganggu dan tragedi itu boleh berulang pada bila-bila masa saja jika keseimbangan tersebut sekali lagi diganggu.

Cara Tanda Putera menggambarkan punca rusuhan mungkin sukar diterima kerana ia mengabaikan nuansa politik dan sosial di zaman berkenaan dan mengambil jalan mudah dengan turut serta dalam tuding-menuding bersifat perkauman.

Bagaimanapun, ia memaparkan salah satu daripada sekian banyak versi cerita tentang rusuhan tersebut yang sedang tersebar.

Bagi saya, Shuhaimi Baba tidak semata-mata menjadi juru propaganda kerajaan dalam membikin filem ini.

Sebaliknya, filem beliau mencerminkan sudut pandangnya sendiri tentang rusuhan berkenaan–sudut pandang yang juga dikongsi oleh kerajaan.

Ini adalah hegemoni. Memang ada perbezaan halus di sana. Tetapi perbezaan itu penting kerana sebagai sebuah masyarakat, kita mesti memberikan kebebasan untuk seniman kita menjelmakan pelbagai cerminan bagi negara, walaupun gambaran yang dijelmakan itu sama sekali tidak dapat kita terima.

Lagi pun, ribut Tanda Putera dari beberapa sudut telah membuahkan hasil.

Walaupun amaran sering diberikan agar kepekaan kaum tidak diusik, pengaliran idea, pendapat, dan kilas-pendapat secara bebas yang dicetuskan filem ini membuktikan bahawa rakyat Malaysia mampu berbahas dalam ruang awam dengan cara yang tangkas, mencabar dan provokatif tanpa terjerumus dalam keganasan.

Malah, kerusi kosong di pawagam sepanjang tayangan Tanda Putera membuktikan suatu hal yang lebih jelas daripada yang mampu diungkapkan dengan kata-kata.

Dua insiden yang disebutkan di atas melambangkan dua jenis persentuhan berbeza antara seniman dan kekuatan sosial, politik dan kesejarahan dalam negara ini.

Di awal masing-masing kontroversi, kedua-dua mereka adalah seniman senior yang telah membuktikan diri dalam bidang yang mereka pilih.

Kedua-dua mereka memiliki gengsi dan modal simbolik tersendiri dan telah menerima pengiktirafan negara.

Keselarian ideologi antara Tanda Putera dan kerajaan telah membolehkan Shuhaimi menikmati sedikit keistimewaan dan perlindungan selama kontroversi berlangsung.

Filemnya tidak diharamkan, seperti yang misalnya terjadi pada karya Amir Muhamad, Lelaki Komunis Terakhir.

Bagaimanapun, ia dikecam banyak pihak dalam masyarakat. Kita berharap sang pengarah akan terus membikin filem, tetapi barangkali dengan memberikan lebih perhatian terhadap cara bagaimana bentukan ideologi mampu membayangi seni.

Pak Samad pula, sebaliknya, mendapat tekanan daripada kerajaan dan para penyokong kerajaan.

Maruah, seni, dan keteguhan moral beliau telah meningkatkan simpati orang ramai terhadapnya dan meningkatkan kedudukannya dalam negara ini.

Barangkali beliau sedang mula menjadi seorang pahlawan simbolik seperti Vaclav Havel dan Pramoedya Ananta Toer.

Lebih penting, beliau memberikan kita harapan bahawa golongan seniman akan terus mencabar dan mengubah negara ini ke arah yang lebih baik.

Kathy Rowland dilahir dan dibesarkan di Petaling Jaya. Artikelnya mengenai politik dalam budaya telah diterbitkan di dalam pelbagai naskhah di Malaysia, Singapura, Hong Kong dan Korea.

Artikel ini diterjemahkan dari The Star Online yang dimuatnaikkan pada Khamis, 12 Sept 2013. Nota: Pandangan yang diutarakan di dalam artikel ini adalah sepenuhnya dari penulis asal itu sendiri.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Penentangan Yang Histerikal

Artikel Lain