suria

PAS, PKR Punca Perpecahan Melayu - Dr Mahathir

BUKIT MERTAJAM: Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) sebagai parti yang menjadi penyebab kepada berlakunya perpecahan dalam kalangan masyarakat Melayu di negara ini.

Bekas perdana menteri itu berkata Melayu yang dulunya kuat dan bersatu padu di bawah satu parti menjadi lemah apabila golongan ulama Umno kecewa mendapatkan kerusi bertindak keluar daripada parti itu dan menubuhkan PAS.

"PAS memecah belahkan orang Umno. Ramai juga yang masuk PAS, pecah orang Umno biar Umno jadi lemah dan bermula dari situ orang Melayu berpecah kepada dua kumpulan," katanya.

Sampai hari ini pun, PAS di bawah kepimpinan Datuk Nik Abdul AZiz Nik Mat masih gilakan kuasa, katanya demikian di hadapan kira-kira 5,000 penyokong Barisan Nasional (BN) pada majlis bacaan Yassin dan solat hajat di Pusat Komersial Permatang Pauh, di sini malam Jumaat.

Turut hadir Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan calon BN bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh Dr Mazlan Ismail, Datuk Mohamad Nasir Abdullah (DUN Seberang Jaya) dan Anuar Faisal Yahaya (DU NPermatang Pasir).

Dr Mahathir berkata perpecahan masyarakat Melayu di negara ini menjadi semakin ketara apabila Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menubuhkan PKR untuk membolehkan angan-angannya untuk menjadi Perdana Menteri tercapai.

Beliau berkata perpecahan itu menyebabkan masyarakat Melayu bertambah lemah dan terpaksa 'mengemis' di negara sendiri seperti mana PAS dan Anwar mengemis kepada DAP untuk mendapatkan sokongan.

Selain itu, Dr Mahathir mengingatkan penduduk di Permatang Pauh supaya tidak bersubahat dengan Anwar dan perlu menolak Ketua Umum PKR itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad ini.

Justeru, beliau menyeru rakyat supaya terus menyokong BN bagi memastikan gabungan itu kekal sebagai kerajaan yang memerintah negara ini. - BERNAMA

Artikel Lain