suria

Dakwaan Hanya Melayu Dapat Nikmat Tidak Benar - Dr Mahathir

TAIPING: Dakwaan pakatan rakyat bahawa hanya kaum Melayu mendapat nikmat daripada limpahan pembangunan negara yang diterajui Barisan Nasional (BN) adalah tidak benar, kata bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata bagi meraih undi, DAP melemparkan kenyataan itu yang berunsur fitnah agar Cina di negara ini benci kepada orang Melayu.

"Ini adalah tidak benar kalau DAP berkata hanya orang Melayu yang mendapat nikmat. Kaum Cina dan India tidak dapat. Ini satu fitnah. DAP matanya buta, tak nampak bangunan pencakar langit, adakah ia milik Melayu sahaja?

"Kaum Cina pun ada perniagaan besar-besaran seperti Tan Sri Vincent Tan, sama juga dengan kaum India iaitu Datuk Seri Tony Fernandes yang memiliki 100 kapal terbang," katanya pada Wacana Khas Bersama Tun Dr Mahathir Mohamad di Dataran Lapang Simpang malam Khamis.

Dr Mahathir, yang berucap di depan kira-kira 5,000 orang, berkata sejak negara merdeka pada 1957, ahli perniagaan berbilang kaum diberi peluang berniaga tanpa sekatan sehingga ada yang mampu memperluas perniagaan mereka ke luar negara.

Beliau berkata pengkongsian kuasa di kalangan parti komponen BN membawa kepada keamanan negara, yang membolehkan pembangunan dilaksanakan.

"BN, yang terdiri daripada kaum Melayu, Cina dan India, telah bersetuju semua kaum mendapat nikmat. Inilah BN yang memerintah negara selama 56 tahun sejak merdeka.

"Negara bukan sahaja aman tetapi maju, rakyat hidup lebih selesa dan bahagia daripada dahulu," katanya.

Dr Mahathir berkata persefahaman antara parti komponen BN terbukti apabila calon pilihan raya daripada kaum India mendapat sokongan orang Cina serta Melayu, dan sebaliknya.

"Di Malaysia, tiada kawasan pilihan raya di mana jumlah pengundi India melebihi 20 peratus. Kalau ikut perkiraan, calon kaum India tidak akan menang tetapi calon MIC mendapat sokongan daripada orang Melayu dan Cina," katanya.

Beliau juga berkata BN patut diberi mandat pada pilihan raya umum ke-13 bagi memastikan keamanan negara terpelihara dan pembangunan diteruskan. - BERNAMA

Artikel Lain