suria

Abd Ghani Dipilih Calon Gelang Patah Kerana Rekod Cemerlang - TPM

JOHOR BARU: Menteri Besar Johor Datuk Abd Ghani Othman dipilih menjadi calon bagi kerusi Parlimen Gelang Patah kerana rekod cemerlang beliau sebagai menteri besar selain keupayaannya dalam memastikan pembangunan, pelaksanaan dan kejayaan projek Iskandar Malaysia di negeri ini, khususnya di Gelang Patah.

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata sehubungan itu, rakyat perlu menolak calon luar yang cuba 'tumpang semangkuk' hasil kejayaan yang dikecapi daripada pembangunan berkenaan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika berucap pada majlis Perhimpunan Rakyat 1Malaysia bersama Timbalan Perdana Menteri di Dewan Raya, Taman Universiti, Skudai malam Rabu.

Turut hadir isteri Muhyiddin, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman, Abd Ghani dan Pengerusi BN Gelang Patah Datuk Aziz Sapian.

Timbalan Perdana Menteri berkata Gelang Patah merupakan kawasan Parlimen yang memiliki wilayah pembangunan Iskandar Malaysia, iaitu lokasi paling membangun di negara ketika ini.

Muhyiddin berkata sejarahnya bermula ketika beliau masih menjadi Menteri Besar Johor, iaitu kerajaan mengenal pasti potensi kawasan berkenaan untuk dibangunkan dalam keadaan penduduk yang tidak begitu ramai ketika itu.

"Proses ambil alih memang mendapat tentangan dan rasa tidak puas hati. Biasalah, waktu mana kerajaan mempunyai benda nak dirancang, ia perlu dilakukan.

"Tetapi rakyat tak faham visi dan matlamatnya, namun lama-kelamaan, terutama apabila Abd Ghani dilantik menjadi Menteri Besar, dan didokong oleh (Tun)Abdullah (Ahmad) Badawi dan (Datuk Seri) Najib (Tun Abdul Razak), kawasan hijau kini jadi projek pembangunan pesat, yang menjadi paksi pembangunan negara," katanya.

Beliau berkata ramai penduduk setempat berjumpa dengannya ketika menghadiri majlis di Gelang Patah beberapa tahun lepas dan mengucapkan terima kasih kerana kawasan mereka kini pesat membangun, yang menyaksikan harga tanah juga meningkat sehingga RM1 juta seekar.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut mengucapkan terima kasih kepada Ketua MCA Gelang Patah Jason Teoh kerana memberi laluan kepada Abd Ghani untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Katanya, rakyat perlu membuat keputusan yang tepat dan tidak perlu mengubah kemakmuran serta keamanan yang dikecapi kerana PRU-13 adalah penentu bagi hala tuju Malaysia untuk lima tahun akan datang, selaras matlamat menjadikan Malaysianegara maju menjelang 2020. - BERNAMA

Artikel Lain