suria

PKR Tampil Lebih Ramai Muka Baru - Azmin

Azmin Ali
 Azmin Ali
Azmin Ali

SUBANG JAYA: Lebih separuh calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) di 102 kerusi Parlimen dan 162 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) akan bertanding buat pertama kalinya pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata senarai calon itu telah dimuktamadkan kecuali dua kerusi yang masih lagi dibincangkan dengan sekutu mereka dalam Pakatan Rakyat.

"Kami menjangkakan dua kerusi itu akan dimuktamadkan pada petang ini.

"Kami sedang berbincang untuk mencari jalan penyelesaian terbaik," katanya pada sidang media selepas menyerahkan surat watikah kepada calon parti itu di sini, Rabu.

Beliau berkata, kira-kira 25% calon berusia bawah 40 tahun manakala 30% lagi di antara 40 hingga 50 tahun.

"Calon termuda kita adalah Siti Aisyah Sheikh Ismail, 28, yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun, Perak.

"Rata-rata senarai calon yang kita tampilkan muda dan terdiri daripada muka baru," katanya.

Difahamkan, dua kerusi yang belum dimuktamadkan itu adalah DUN Semenyih dan Parlimen Labuan.

Ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku pertembungan tiga penjuru di Labuan, Azmin berkata PAS dan PKR masih percaya akan berlaku pertembungan satu lawan satu.

"Kami akan menilai sambutan rakyat di Labuan...kami menjangka keputusan akan dibuat hari ini (Khamis)," katanya.

Bagaimanapun, PKR dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) masih berbincang mengenai kerusi di DUN Semenyih.

"Kedua-dua parti bersetuju PSM akan bertanding di Sungai Siput dan Kota Damansara yang dimenangi mereka pada 2008," katanya.

Artikel Lain