suria

BN Terus Berteka-Teki Mengenai Calon MB Selangor

SHAH ALAM: Barisan Nasional (BN) telah menyenarai pendek empat calon sebagai Menteri Besar sekiranya parti itu merampas semula Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Bagaimanapun, identiti keempat-empat calon itu tidak akan didedahkan kerana ia akan memberikan tekanan kepada mereka, kata Timbalan Pengarah Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata calon berpotensi itu haruslah seorang yang berwibawa, dinamik dan mempunyai pengalaman dalam menguruskan organisasi.

"Saya tidak akan memberitahu secara spesifik kerana ia akan memberi tekanan terhadap mereka. Namun terdapat empat nama telah disenarai pendek," katanya.

Walaupun didesak berulang kali, Mohd Zin berkata, beliau tidak akan mendedahkan nama-nama tersebut tetapi mengalu-alukan media untuk terus membuat spekulasi.

"Nama Menteri Besar ada dalam senarai calon. Anda boleh melihat nama-nama tersebut di sana," katanya.

Beberapa nama yang dikaitkan dengan jawatan itu termasuk Datuk Subahan Kamal (Taman Templer), Datuk Ahmad Nawawi M. Zin (Batu Tiga), Datuk Muhammad Bushro Mat Johor (Paya Jaras) dan Abdul Wahab Ibrahim (Taman Medan).

Mengenai senarai calon BN di Selangor, Mohd Zin berkata, mereka telah berusaha sewajarnya dalam memilih calon-calon tersebut.

"Kami telah melakukan penelitian. Datuk Yap Pian Hon, walaupun bukan wakil rakyat beliau telah mendekati rakyat secara langsung.

"Walaupun beliau bukan dari parti utama Barisan, beliau diterima oleh rakyat. Beliau adalah calon boleh menang," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain