suria

Malaysia Sokong Penggunaan Tenaga Nuklear Secara Aman

KUALA LUMPUR: Malaysia sedang menjalankan kajian mendalam bagi membangunkan program tenaga nuklear termasuk rangka kerja perundangan dan peraturannya, kata wakil tetapnya ke Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) Datuk Hussein Haniff.

"Seperti negara-negara membangun yang lain, Malaysia menyokong penuh penggunaan tenaga nuklear secara aman sebagai satu sumber tenaga oleh negara-negara anggota," katanya.

Objektif menyeluruh kajian itu adalah bagi memastikan standard tertinggi keselamatan nuklear digunakan pada setiap masa, katanya dalam kenyataannya pada mesyuarat pleno bagi sesi ke-67 Perhimpunan Agung PBB mengenai Agenda Item 85: Laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa di New York.

Hussein berkata Malaysia sentiasa mempertimbang dengan mendalam tentang insiden Fukushima Daiichi sebelum ia memulakan program nuklear.

"Sudah tentu ada pengajaran berharga yang boleh dipelajari. Dalam hubungan ini, Malaysia menyambut baik penggubalan dan pelaksanaan pelan tindakan IAEA (Agensi Tenaga Atom Antarabangsa) mengenai keselamatan Nuklear berikutan kemalangan Fukushima yang berlaku sebelum ini," katanya.

Loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, Jepun rosak teruk semasa kejadian gempa bumi dan tsunami pada Mac 2011, apabila bangunan yang menempatkan loji itu meletup dan tiga daripada reaktor nuklearnya mengalami kebocoran dalam apa yang dilaporkan sebagai kemalangan nuklear terburuk sejak bencana Chernobyl pada 1986.

Hussein berkata Malaysia akan terus menyokong usaha meningkatkan keselamatan nuklear dan berharap untuk menyertai Persidangan Keselamatan Nuklear di Fukushima, akhir tahun ini.

Beliau berkata Malaysia akan menganjurkan bengkel serantau mengenai keselamatan sumber radioaktif bagi industri radiografi menjelang akhir 2012.

"Kami berharap untuk membincangkan kemungkinan Malaysia diiktiraf sebagai pusat kecemerlangan bagi latihan keselamatan nuklear di rantau ini dan seterusnya.

Sementara itu, dalam kenyataan mengenai Agenda Item 24: Pembasmian Kemiskinan dan Isu-isu Pembangunan Lain, Hussein berkata Malaysia mensasarkan untuk terus mengurangkan lagi kadar kemiskinan kepada dua peratus pada sepanjang masa menjelang 2015, daripada 2.8 peratus pada 2010.

Beliau berkata Malaysia amat menyedari kehadiran sekumpulan orang yang terdedah kepada kemiskinan di kalangan penduduknya walaupun mencatat kejayaan dalam membasmi kemiskinan.

"Kerajaan komited bagi meneruskan dasar-dasar yang akan membasmi kemiskinan di kalangan rakyat Malaysia sepenuhnya dan kami berharap untuk mencapai kemiskinan sifar di kalangan penduduk menjelang 2020," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain