suria

Kebersihan Diri Penting Bagi Menghalang HFMD

KUALA LUMPUR: Pada petang Aidilfitri lepas, ibu kepada kanak-kanak berusia tiga tahun perasan kemunculan tompok-tompok berwarna merah kehitaman di sekeliling bibir mulut anaknya.

Ibu itu hanya memerhatikan sahaja kerana anaknya tidak menunjukkan sebarang reaksi kesakitan atau tidak keselesaan dan tompok-tompok itu hanya sedikit bilangannya.

Tetapi menjelang malam, lebih banyak tompok-tompok itu timbul. Ia juga mula kelihatan pada jari-jari tangan dan kaki kanak-kanak perempuan itu. Risau dengan keadaan itu, ibu bapanya menghantar Nasha (bukan nama sebenar) ke klinik swasta.

"Doktor (di klinik) memberitahu kami tompok-tompok itu mungkin disebabkan jangkitan 'kandida' (sejenis kulat) dan memberikan ubat krim untuk disapu pada tempat jangkitan," terang ibu kanak-kanak berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai Sheila.

Tetapi setelah pulang dari klinik, lebih banyak tompok-tompok itu muncul dan Nasha mula mengalami demam, menyebabkan ibu bapanya terus mengejarkannya ke hospital. Doktor di hospital mengesahkan Nasha menghidap Penyakit Tangan, Kaki dan Mulut (HFMD).

HFMD

Pada 20 Mei lepas, laporan media mengatakan kes HFMD di Sarawak meningkat empat kali ganda daripada 213 kes tahun lepas kepada 806 kes setakat itu.

HFMD disebabkan enterovirus, sejenis virus yang wujud dalam usus manusia. EV71 adalah antara enterovirus yang paling berbahaya.

Bila dijangkiti HFMD, pesakit akan mengalami demam dengan suhu 39 darjah ke atas. EV71 dilaporkan menyebabkan kematian 31 kanak-kanak di Sarawak pada tahun 1997. HFMD merupakan penyakit berjangkit yang boleh menyerang bayi dan kanak-kanak. Tiada vaksin yang boleh menghalangnya.

"Walaupun tiada vaksin bagi menghalangnya, terdapat kaedah mudah bagi mengurangkan risiko jangkitan," jelas pakar kanak-kanak Dr L. Tan.

Katanya HFMD biasanya menyebabkan demam, ulser dalam mulut serta ruam yang boleh jadi blister (gelembung cairan). Ia biasanya menyerang kanak-kanak bawah umur 10 tahun tetapi juga boleh dialami oleh mereka dalam peringkat umur yang lain.

"Tiada rawatan yang spesifik untuknya. Risiko jangkitan boleh dikurangkan dengan mengamalkan kebersihan diri seperti dengan selalu membasuh tangan," terang beliau.

DEMAM, HILANG SELERA

Menurut Dr Tan, pesakit yang mengalami HFMD selain demam, akan hilang selera makan, rasa lemah-lemah badan dan juga sakit tekak. Beberapa hari selepas mulanya demam, ulser yang pedih akan muncul dalam mulut selain ruam yang mula timbul di tapak tangan, tapak kaki dan punggung. Ruam ini boleh jadi gelembung cairan tetapi tidak gatal.

Katanya HFMD biasanya tidak serius. "Penyakit ini tidak berat dan kebanyakan daripada mereka yang mengalaminya akan pulih dalam tujuh hingga 10 hari. Jarang sekali berlaku komplikasi.

Jelas beliau lagi, jika pesakit mengalami HFMD dengan teruk, pesakit itu terpaksa dimasukkan ke hospital selama beberapa hari bagi mendapatkan rawatan simptom yang muncul.

ADAKAH IA BERJANGKIT?

Dr Tan berkata HFMD boleh berjangkit tetapi pada peringkat sederhana sahaja.

"Pada mereka yang terkena penyakit ini, virus yang menyebabkan HFMD boleh didapati dalam cecair sekresi hidung dan mulut seperti air liur, kahak dan hingus selain daripada cecair yang keluar dari gelembung dan juga najis.

"HFMD berjangkit daripada pesakit kepada indivdu lain melalui sentuhan, batuk serta bersin selain menyentuh permukaan yang mempunyai virus ini.

"Pesakit HFMD paling mudah menjangkiti orang lain pada minggu pertama, tetapi ia masih boleh berjangkit walaupun simptomnya telah hilang. Virus ini boleh wujud dalam najis berminggu lamanya.

"Harus dingat juga mereka yang dijangkiti HFMD boleh menjangkiti orang lain dengan virus itu walaupun tiada simptom yang timbul dan kelihatan pada diri mereka," katanya.

KANAK-KANAK

Dr Tan berkata, HFMD boleh menyerang kanak-kanak bawah umur 10 tahun tetapi juga boleh menjangkiti anak-anak pada usia lebih daripada itu serta orang dewasa.

"Individu boleh membina imuniti (ketahanan badan) terhadap HFMD tetapi penyakit itu boleh disebabkan beberapa virus dari kumpulan enterovirus, individu boleh dijangkiti penyakit itu lagi bila diserang oleh 'strain' (jenis) enterovirus yang lain.

"Tiada rawatan spesifik terhadap HFMD. Sakit dan demam boleh dirawat dengan ubat tahan demam dan tahan sakit seperti acetaminophen atau ibuprofen. Mereka yang mengalami HFMD perlu minum banyak air untuk menghalang dehidrasi.

"Dan tiada vaksin untuk menghalang HFMD. Bagi mengurangkan risiko, basuhlah tangan selalu dan sekerap mungkin terutama selepas tukar lampin, bersihkan objek seperti alat permainan dan pemegang pintu yang mungkin mempunyai virus penyebab HFMD.

"Elakkan berada rapat dengan mereka yang dijangkiti HFMD," nasihat Dr Tan sebagai langkah mencegah dijangkiti. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain