suria

Nong Taib, Pahlawan Terbilang Yang Tidak Didendang

Gambar Allayarham Haji Nong Taib bin Santan, lebih dikenali sebagai Pawang Nong oleh masyarakat di Negeri Pahang. -fotoBERNAMA
Gambar Allayarham Haji Nong Taib bin Santan, lebih dikenali sebagai Pawang Nong oleh masyarakat di Negeri Pahang. -fotoBERNAMA
Gambar Allayarham Haji Nong Taib bin Santan, lebih dikenali sebagai Pawang Nong oleh masyarakat di Negeri Pahang. -fotoBERNAMA

JERANTUT: Bedir buluh dan senapang terung manggor ialah antara pemainan tradisi warisan Ulu Cheka, Jerantut, Pahang.

Permainan perang, tembak menembak ini menggunakan ‘peluru’ buah cenderai, gumpalan kertas basah atau terung manggur untuk menghidupkan suasana seperti pertempuran di zaman perang.

Permainan ini amat disukai kanak-kanak, umpama mewarisi jejak kepahlawanan nenek moyang mereka yang pernah bertempur dengan musuh di zaman sebelum kemerdekaan dan darurat.

Pada tahun 2007, selama lima hari empat malam penduduk Ulu Cheka meraikan sambutan 100 tahun kewujudan kampung itu dan mengenang jasa pahlawan yang membukanya - Nong Taib bin Santan.

Allahyarham disanjung kerana beliau pahlawan terbilang, sahabat kepada Mat Kilau dan Tok Bahaman.

Dilahirkan pada tahun 1882, beliau meninggal dunia pada 1977 meninggalkan isteri dan 11 orang anak serta cucu cicit yang rata-ratanya penduduk Kampung Ulu Cheka.

Nong Taib atau digelar Pawang Nong kerana kepakarannya mengubati penyakit secara tradisional, bersama tujuh rakan, telah membuka Kampung Ulu Cheka pada 1907,dan dilantik sebagai Ketua Kampung pertama sehingga tahun 1966.

Kini seorang daripada cucu saudaranya mewarisi kepimpinan beliau sebagai Ketua Kampung Ulu Cheka, Nazri Che Husin, 49.

Silat

Menurut Nazri, Nong Taib adalah pendekar Silat Cekak. Ramai orang Melayu ketika itu datang belajar ilmu silat dengannya.

Menurut Nazri , beberapa kali datuk saudaranya itu hendak ditangkap askar Jepun tetapi Nong Taib dapat meloloskan diri.

Mengikut cerita orang tua-tua beliau berjaya ‘memagari’ Kampung Ulu Cheka daripada dicerobohi tentera Jepun dan pengganas komunis.

Pengaruh komunis juga tidak dapat menembusi kampung ini kerana penduduk Kampung Ulu Cheka amat bersatu padu di bawah kepimpinan Nong Taib yang menubuhkan pasukan kawalan Home Guard dan polis simpanan semasa zaman darurat.

Atas kebijaksaanan beliau ketika itu, penduduk Kampung Ulu Cheka tidak dipindahkan dan mereka dibekalkan senapang patah untuk menentang pengganas komunis.

Penduduk kampung telah menentang komunis sebanyak tiga kali, malangnya ada penduduk kampung yang terbunuh.

Jasa Pahlawan

Nong Taib juga terlibat dengan Peperangan Perlok, menentang komunis di Maran, Pahang.

Menurut seorang guru, Jamlus Mat Zium, kisah peperangan ini disebut di dalam buku bertajuk ‘Askar Melayu 50 Tahun’, tulisan Tan Sri Abdul Samad Idris terbitan Pustaka Budiman Sdn Bhd.

Ketokohan Nong Taib terserlah apabila beliau berjaya menyelamatkan seorang pembesar negeri yang ditahan komunis di Tong Kiat, Maran pada 1945.

Selepas peristiwa itu beliau diisytiharkan sebagai Pawang Diraja oleh Sultan Pahang.

Seribu satu kisah legenda ini dicerita berulang kali oleh orang tua-tua di kampung ini yang memuji semangat kepahlawanannya dalam menentang askar Jepun dan pengganas komunis.

Sebagai menghargai jasa seorang pejuang, Nong Taib diberi pengiktirafan menerima pingat British Empayar Medal (BEM) yang dihantar sendiri oleh Jeneral Sir Gerald Templer selain menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) daripada kerajaan persekutuan serta Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) daripada Pahang.

Sebagai penghormatan kepada Nong Taib, Sekolah Kebangsaan Ulu Cheka ditukar nama kepada Sekolah Kebangsaan Pawang Nong dan satu lagi usaha mengenengahkan jasa beliau ialah apabila Majlis Daerah Jerantut menamakan sebuah bulatan sebagai Bulatan Pawang Nong dan satu persimpangan sebagai simpang Pawang Nong.

Penduduk Menyambut Merdeka

Semangat kental warisan pahlawan Nong Taib mengalir di dalam jiwa penduduk Ulu Cheka untuk terus menyemarakkan semangat patriotik.

Saban tahun diadakan sambutan hari kemerdekaan dengan pelbagai aktiviti.

Penduduk Ulu Cheka berusaha mengekalkan semangat nasionalisme dalam generasi muda dengan membudayakan amalan pengibaran Jalur Gemilang di bulan kemerdekaan saban tahun sehingga menjadi tradisi yang menaikkan semangat cintakan negara.

Adakalanya anak-anak muda menyertai konvoi bermotosikal membawa Jalur Gemilang mengelilingi kampung atau mengambil bahagian dalam Larian Kemerdekaan.

Acara larian penuh meriah ini disertai semua golongan kerana pelbagai kategori disediakan.

Pertandingan mewarna Jalur Gemilang dalam kalangan kanak-kanak turut diadakan manakala pertandingan menyanyikan lagu-lagu patriotik dianjurkan untuk golongan dewasa.

Memandangkan tahun ini, bulan kemerdekaan disambut di bulan Ramadan dan Aidilfitri, maka tidak banyak aktiviti diadakan.

Jika tidak, persembahan puisi , nasyid dan kuiz berkaitan kemerdekaan, turut diadakan.

Bagi merapatkan silaturrahim penduduk kampung juga bergotong royong membersihkan persekitaran kampung dan acara sukaneka merdeka turut diadakan.

Selain itu juga aktiviti keagamaan seperti bacaan Yassin, sembahyang hajat dan doa selamat juga diadakan sempena bulan kemerdekaan bagi mengekalkan keamanan dan kesejahteraan kampung.

Tahlil Perdana khas diadakan oleh penduduk kampung untuk Allayarham Nong Taib ketika sambutan Maulud Nabi, Aidilfitri dan sebagainya.

Hari penghargaan tokoh juga turut diadakan sebagai menyanjungi orang kampung yang terlibat dengan zaman perang dan khidmat bakti seperti imam, ketua kampung dan sebagainya sempena sambutan hari kemerdekaan

Semangat permuafakatan penduduk kampung yang begitu tinggi menyebabkan Kampung Ulu Cheka menjadi juara tiga kali berturut-turut pertandingan sambutan bulan kemerdekaan peringkat daerah manakala pernah menjadi juara peringkat negeri Pahang pada 2006.

Galeri Jasamu Dikenang

Sebuah bilik sementara dijadikan galeri ‘Jasamu Dikenang’ di Sekolah Kebangsaan Pawang Nong, Ulu Cheka.

Galeri ini menyimpan koleksi pahlawan seperti pakaian silat, gambar-gambar lama dan sebagainya milik Nong Taib dan penduduk lain yang pernah berjasa.

Ketika sambutan 100 tahun Kampung Ulu Cheka lima tahun lepas, penduduk kampung berjaya mengumpul lebih kurang 260 artifak, tetapi peralatan ini dikembalikan semula kepada pemilik kampung kerana ketiadaan galeri untuk dijadikan tempat simpanan.

Penduduk Kampung amat memerlukan sebuah galeri yang boleh menempatkan bahan sejarah ini untuk dijadikan rujukan generasi akan datang dan mengekalkan warisan turun temurun bagi mewujudkan generasi celik sejarah dan cintakan budaya bangsa di samping mengenang jasa pahlawan.

Nazri berharap ada pihak tertentu terutama Jabatan Warisan Negara sudi menaja atau menyediakan galeri khas untuk menyimpan koleksi pahlawan, peralatan senjata, alat permainan, sejarah adat istiadat, peralatan memburu, herba dan contoh masakan tradisonal Ulu Cheka sebagai menzahirkan budaya Melayu tradisional yang boleh ditatapi, dikenang dan dipelihara generasi seterusnya.

Selamat Ulang tahun ke-55 Malaysia. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain