suria

USAHA MEMPROMOSI TEKNOLOGI HIJAU

KUALA LUMPUR: Bila disebut 'teknologi hijau', mungkin tidak ramai yang faham dan tahu apa erti sebenar di sebalik teknologi itu.

Teknologi hijau disebut sebagai satu keperluan bagi sesebuah negara mencapai status 'maju sepenuhnya' dalam kurun ke-21 tetapi apa yang jelas, ramai yang masih samar tentang kewujudan teknologi ini.

Pihak kerajaan telah dan sedang menggiatkan usaha menyebarkan maklumat tentang teknologi hijau melalui kementerian serta agensi yang memberi fokus dalam usaha mempertingkat kualiti hidup rakyat.

Ia merupakan matlamat kerajaan bagi mengurangkan emisi karbon negara kepada tahap 40 peratus pada tahun 2020. Dengan itu masyarakat perlu sedar bahawa tanggungjawab memberi pengetahuan mengenai teknologi hijau bukan hanya terletak semata-mata pada bahu kerajaan, tetapi juga merupakan tanggungjawab semua pihak.

Menyedari akan keperluan ini, Dimension Data (Malaysia) Sdn Bhd (Dimension Data) tampil ke hadapan bagi membantu usaha kerajaan memberi kesedaran kepada masyarakat tentang teknologi hijau melalui program 'Go for Green Trail'.

EMISI KARBON

Bimbang akan statistik Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) tentang emisi karbon di Malaysia di mana ia telah mencecah 187 juta tan atau puratanya 7.2 tan bagi setiap individu pada tahun 2006, Dimension Data mengambil langkah mempromosi alam sekitar yang lestari bagi masyarakat umum.

Kempen Go For Green Trail yang dijalankan pada 28 Mei lepas melibatkan penanaman 26 pokok Meranti di Tanarimba, Janda Baik, Pahang.

Langkah itu sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mencerminkan usaha syarikat itu dalam memulihara alam sekitar.

Tetapi apakah pertalian aktiviti menanam pokok dan teknologi hijau? Kenapa Janda Baik, satu kawasan yang telah dipenuhi dengan kehijauan serta pelbagai tumbuhan, dipilih sebagai lokasi program itu?

Memberi pandangan tentang isu itu, Pengarah Urusan Dimension Data, Chong Hoi Ming berkata pokok bukan sahaja mengeluarkan oksigen tetapi juga menyerap karbon dioksida (CO2) yang dikeluarkan oleh aktiviti manusia.

"Setelah melakukan perbincangan dengan MNS (Persatuan Pencinta Alam Malaysia), kami memilih Janda Baik kerana lokasinya sesuai. Tempat itu juga bergiat aktif dalam kempen penanaman pokok.

"Dengan menanam pokok, kami harap usaha itu membantu menghijaukan bumi dan bertindak terhadap kesan pelepasan gas rumah hijau serta pemanasan global," katanya.

Tambah beliau lagi program yang dijalankan bersama kerjasama MNS adalah satu cara yang baik bagi menonjolkan identiti korporat baru syarikat itu yang telah beroperasi selama 26 tahun.

Pokok Meranti dipilih kerana ia merupakan pokok yang penting dalam hutan rimba di Asia. Sebatang pokok ini dapat menyerap sehingga 25 kg emisi karbon selain mengeluarkan oksigen yang mencukupi.

Kempen itu memerlukan peserta berjalan merentasi hutan untuk memberi kesedaran serta ingatan tentang apa yang mereka telah lakukan dalam usaha memugar alam sekitar.

SOKONG TEKNOLOGI HIJAU

Menyedari betapa seriusnya isu perubahan iklim, Dimension Data bependapat sudah tiba masanya semua pihak tampil ke hadapan dan menyokong teknologi hijau. Dalam aspek ini, Dimension Data mengakui bahawa operasinya terlibat dalam pelepasan gas rumah hijau.

"Sebagai sebahagian daripada industri IT, kami sedar bahawa kami telah melepaskan banyak emisi karbon daripada kelengkapan serta peralatan, tenaga dan teknologi. Apa yang kami boleh sumbang ialah sekurang-kurangnya kami berusaha menjaga alam sekitar dengan membantu MNS menanam pokok," kata beliau.

Dimension Data juga membantu mempromosi teknologi hijau melalui produk-produknya yang membantu menjana alam sekitar yang lestari.

Dikenali sebagai sistem Hartanah Bersambung (CRE), ia membantu klien merevolusi reka bentuk, proses dan operasi bangunan serta mempertingkat Indeks Bangunan Hijau (GBI). Konsep CRE adalah menyalurkan idea bagi memberi transformasi kepada persekitaran bangunan.

CRE ialah sistem pintar yang menggunakan tenaga Protokol Internet (IP) bagi memberi transformasi pengurusan konvensional bangunan kepada struktur yang berupaya dikawal sendiri.

Fungsi bagi lif, laluan pelawat, pengawasan keselamatan, loceng kebakaran serta juga utiliti tenaga boleh disatukan dan diautomasi kepada sistem IP yang disatukan. Ini mengurangkan kos dengan pengurusan bangunan secara signifikan.

"Dalam operasi kami, kami cuba memberikan pengetahuan tentang konservasi hijau kepada pelanggan...tentang bagaimana mereka boleh mereka bentuk teknologi bangunan bagi mengandungi konsep teknologi hijau.

"Banyak bangunan yang dibina kini tidaklah begitu hijau. Jadi kita menasihati mereka (klien) menggunakan CRE, teknologi yang boleh menjimatkan penggunaan tenaga. Contohnya dulu, mereka terpaksa membeli 40 server bagi 40 aplikasi. Kini mereka hanya perlu membeli satu server dan memuatkan 40 aplikasi pada server itu. Lebih banyak haba dikeluarkan bila banyak server diguna.

"Dengan CRE, penggunaan lebih banyak akan lebih menjimatkan tenaga," kata beliau. - BERNAMA

Artikel Lain