suria

Sambutan 'Norouz' Di Kuala Lumpur

KUALA LUMPUR: Festival Musim Bunga Norouz, yang menandakan bermulanya tahun baru dalam kalender Parsi, adalah festival kebangsaan Iran yang dianggap paling meriah.

Festival tradisi ini sebagai mengimbas kembali permulaan sejarah Parsi lebih 3,000 tahun yang lepas.

Ia diraikan pada hari pertama musim bunga atau Ekuinoks Musim Bunga, yang kebiasaannya jatuh pada 21 Mac, terdahulu atau hari berikutnya bergantung di mana ia diraikan.

Perkataan Norouz (juga dieja NowRuz, Norooz dan banyak lagi varian) secara literal bermaksud "Hari Baru" dalam bahasa Parsi.

Norouz adalah sambutan yang paling meriah dalam kebanyakan festival Parsi dan cuti umum penting ini dirai hingga melangkaui kawasan geografi yang luas oleh orang Parsi, Turki, Afghanistan, Tajik termasuk komuniti etnik yang lain.

Sambutan Norouz juga adalah sambutan cuti yang terpanjang dan terbesar dalam kalendar Parsi iaitu berlangsung selama 10 hari sebelum Tahun Baru bermula.

Pertubuhan Pendidikan, Sainstifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) menyenaraikannya sebagai warisan kerana ia adalah satu festival musim bunga penduduk asal Parsi.

"HAFT SEEN"

Seminggu sebelum Tahun Baru, rakyat Iran akan sibuk membersih dan mengatur susun kediaman mereka. Mereka juga akan menempah baju baru, masak pastri dan mencambah benih sebagai tanda permulaan semula.

Kebiasaannya Norouz diraikan dengan menyusun 'Haft Seen'. 'Haft' ialah nombor tujuh dalam bahasa Parsi dan 'Seen' ialah huruf S dalam abjad Parsi.

Elemen dalam 'Haft Seen' mempunyai makna yang simbolik dan mewakili kelahiran semula iaitu dalam kehidupan, kesihatan, kegembiraan, kemakmuran, keseronokan, kesabaran dan kecantikan.

Tujuh artikel berkenaan ialah Seer (halia), Senjed (buah teratai), Serkeh (cuka), Seeb (epal), Somaq (beri sumac), Sabzeh (gandum atau lentil), dan samanu (puding manis Iran).

Ketujuh-tujuh artikel ini disusun atas meja yang diletakkan senaskhah al-Quran. Adat orang Iran ini dilihat sebagai simbolik kemenangan iaitu setelah kebaikan menghapus kejahatan.

Susuan 'Haft Seen' ini menjadi tumpuan utama dalam sambutan Norouz dan rakyat Iran benar-benar mengambil berat dan perhatian untuk memastikan ia satu susunan yang mewah sebagai mencerminkan itulah keinginan mereka untuk Tahun Baru.

Norouz juga diraikan oleh rakyat Iran di seluruh dunia seperti Kanada, Amerika Syarikat, Jerman dan Britain.

Tahun ini, Kuala Lumpur akan menyaksikan sambutan ini buat pertama kali, yang akan diadakan mulai 17 hingga 19 Mac ini.

30,000 RAKYAT IRAN TINGGAL DI MALAYSIA

Dianjurkan oleh Kumpulan Syarikat Neguin bersama-sama Pertubuhan Pembangunan Belia Kuala Lumpur (YOUTH) dan Flexi Heritage Sdn Bhd, festival julung-julung kali ini menjemput orang ramai untuk menyertai sambutan yang meriah ini menerusi satu siri persembahan kebudayaan Parsi yang menarik.

Dengan sokongan dari Tourism Malaysia dan kedutaan Iran, festival ini bertujuan membawa kesenian, kebudayaan dan warisan masyarakat Asia Barat untuk kepentingan komuniti Timur Tengah yang tinggal di Malaysia dan bagi mereka yang merancang meraikan sambutan Festival Norouz di sini, Kuala Lumpur.

Pengarah Eksekutif Kumpulan Neguin Dr Rahman Abidin memberitahu Bernama selain 30,000 rakyat Iran yang tinggal di Malaysia, catatan menunjukkan bahawa sekumpulan besar pelancong Timur Tengah memilih untuk menghabiskan percutian Norouz mereka di sini.

"Festival ini boleh menjadi platform baik bagi mereka untuk meraikan Tahun Baru tersebut di samping berkongsi sejarah dan tradisi itu di sebuah bandar yang mempunyai himpunan kebudayaan yang paling banyak di dunia. Norouz memberi peluang kepada orang ramai berkumpul dan berkongsi tradisi unik mereka. Kuala Lumpur adalah bandaraya contoh untuk perayaan ini," katanya.

Menurut data mengenai kedatangan pelancong ke Malaysia oleh Tourism Malaysia, ketibaan pelancong dari Iran ke Malaysia pada 2008 meningkat sebanyak 132 peratus kepada 63,165 orang. Tahun lepas ia mencatatkan 60 peratus peningkatan kepada 101,664 pelancong.

Sementara itu, kira-kira 16,000 rakyat Iran menyambut perayaan Norouz di Malaysia pada Mac lepas, satu peningkatan dari 10,642 pelancong pada tahun sebelumnya.

MARUAH KEAMANAN DAN KEMANUSIAAN

Dr Rahman Abidin berkata, Festival Norouz dipersembahkan kepada rakyat Malaysia bagi menghebahkan mesej maruah keamanan dan kemanusiaan untuk semua kaum dan agama.

"Kami amat teruja kerana semua orang dari pelbagai kaum akan berpeluang berkumpul dan meraikan sambutan ini di samping mempelajari satu lagi budaya baru. Kami berharap dengan sokongan berterusan daripada Kementerian Pelancongan, Festival Musim Bunga Norouz di Malaysia akan terus menjadi sambutan tahunan yang dinanti-nantikan," tambah beliau.

Dr Rahman berkata, sambutan itu akan menjadi titik-tolak di mana remaja Malaysia dan Iran dapat menjalinkan hubungan lebih erat dalam banyak perkara bagi mengukuhkan hubungan yang sedia ada.

Selain Festival Norouz, Kumpulan Neguin akan menganjurkan seminar perniagaan Malaysia-Iran pada Jun, Festival Filem Timur Tengah pada Disember dan membawa ahli perniagaan Malaysia ke Iran pada Oktober.

Sementara itu, Ketua Perhubungan Awam Kumpulan Neguin, Maryem Nazem berkata, Malaysia sebagai wadah tumpuan alam menyediakan tempat paling sesuai untuk acara pelbagai budaya seperti Festival Norouz.

Maryam, seorang ahli akademik, telah tinggal di Malaysia sejak lebih dua tahun. Beliau mendapati banyak persamaan kebudayaan antara negaranya Iran dan Malaysia.

"Bagi masyarakat di Timur Tengah termasuk Iran, perkara yang paling penting bukan sahaja terletak kepada ingatan mengenai sambutan Norouz malahan membawa hubungan rapat masyarakat berkenaan dengan rakyat Malaysia," katanya.

Festival Norouz Kuala Lumpur akan dimulakan dengan pameran kebudayaan dan masakan Parsi di Berjaya Times Square mulai 17 hingga Mac.

Persembahan etnik tradisional oleh sebuah kumpulan berbakat dari Iran yang terdiri daripada pemain muzik, 'Pardes' telah bersedia untuk mempersembahkan upacara amal etnik dari tujuh kaum Iran sepanjang sambutan berkenaan.

Kemuncak Festival Norouz ialah jamuan malam pada 19 Mac, yang akan mempersembah alunan muzik yang merdu, tarian, kraf dan masakan terpilih Parsi.

Ia adalah satu sambutan penuh harapan, menjanjikan dan bernasib baik, jadi berseronoklah dan kongsi keseronokan itu dengan semua kawan dan keluarga anda.

Untuk keterangan lanjut mengenai Festival Musim Bunga Norouz, layari www.neguin.com. - BERNAMA

Artikel Lain