suria

Kanak-Kanak Sudah Bersedia Terhadap Perkahwinan Di Usia Muda?

KUALA LUMPUR: Di zaman serba moden ini, kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun biasanya dianggap budak sekolah, yang masih ligat bermain dan tidak sukakan kerja seperti mengemas rumah dan memasak.

Jangan bandingkan dengan zaman Malaysia masih dikenali Malaya dulu, kata majoriti orang ramai apabila tercetusnya berita budak perempuan berusia 10 dan 11 tahun dipaksa berkahwin dengan lelaki lebih berusia di negara ini.

Dua kes pernikahan yang berlaku di Kelantan itu melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun dengan lelaki berusia 41 tahun di Jelawang dan satu lagi kes melibatkan seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun yang berkahwin dengan lelaki berusia 40 tahun di Pasir Mas baru-baru ini.

Biarpun perkahwinan bawah umur sah dari segi agama, namun ramai yang mempersoal tujuan kedua-dua pernikahan itu diadakan.

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat sendiri dilaporkan tidak bersetuju terhadap perkahwinan bawah umur kerana menurutnya Islam menggalakkan sesuatu perkahwinan untuk mendapatkan zuriat bukan semata-mata dilihat daripada sudut untuk memuaskan nafsu dan amalan sunnah Nabi Muhammad s.a.w semata-mata.

Biarpun ada yang mengatakan kanak-kanak perempuan kini cepat matang, namun persoalan yang lebih penting di sini ialah adakah kanak-kanak pada usia semuda itu pada masa kini sudah bersedia secara psikologi dan mental terhadap ikatan sebuah perkahwinan?

Pakar psikologi perkembangan Dr Mariani Mansor berkata perkahwinan sedemikian pastinya akan menggugat perkembangan kanak-kanak terbabit daripada segi fizikal, pemikiran, sosial dan emosi.

Beliau berkata perkahwinan itu boleh memberi kesan negatif pada kanak-kanak berkenaan dengan akhirnya kanak-kanak itu berkemungkinan menjadi isteri yang tidak baik.

"Seorang lelaki yang sudah berumur pastinya mahu seorang isteri yang boleh berfungsi sepenuhnya daripada semua segi sedangkan kanak-kanak terbabit masih di peringkat kanak-kanak," katanya kepada Bernama di sini.

Pensyarah kanan di Jabatan Pembangunan Manusia dan Pengajian Keluarga, Universiti Putra Malaysia (UPM) itu berkata kanak-kanak berkenaan kemungkinan boleh mengalami trauma dan tertekan akibat masa depannya yang telah diragut.

Ini kerana kanak-kanak pada usia itu masih lagi diletakkan dalam kategori kanak-kanak pertengahan dan bakal tidak melalui fasa remaja dan terus melangkah ke alam dewasa akibat perkahwinan.

"Zaman remaja kanak-kanak itu akan dirampas dan mereka ini tidak akan merasai alam remaja dan terus masuk ke alam dewasa disebabkan tanggungjawab sebagai seorang isteri," katanya.

Beliau berkata pada peringkat umur 10 dan 11 tahun, kanak-kanak hanya boleh berfikir secara logik iaitu tahap operasi konkrit di mana perkembangan pemikiran mereka belum matang.

"Kanak-kanak di umur itu tidak faham tanggungjawab sebenar yang akan dipikul dan juga tidak faham rasional menjadi seorang isteri," katanya.

Katanya lelaki yang sanggup mengahwini kanak-kanak itu merupakan seorang yang bukan normal.

"Seorang yang dewasa dan sukakan kanak-kanak tidak boleh dilabel dengan kehendak seksualiti sahaja tetapi apa yang saya boleh katakan ialah keinginan lelaki dewasa untuk mengahwini kanak-kanak itu bukanlah perkara kelazimannya," katanya.

Bagi Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) Datuk Dr Chiam Heng Keng pula, beliau meletakkan tanggungjawab kepada masyarakat secara keseluruhannya bagi mencegah kes perkahwinan melibatkan kanak-kanak seperti ini tidak terus berlaku.

"Perkara ini tidak boleh dibenarkan berlaku sama sekali biarpun jika ada yang mengatakan perkahwinan itu dipersetujui kanak-kanak tersebut dan ia boleh dikategorikan sebagai penganiayaan disebabkan faktor umur kanak-kanak itu," katanya.

Pakar pembangunan kanak-kanak ini berkata biarpun kanak-kanak pada masa kini lebih cepat matang, tetapi peruntukan undang-undang secara jelas tidak membenarkan kanak-kanak bawah 18 tahun untuk berkahwin.

Kedua-dua kes yang dilaporkan berlaku di Kelantan itu tertakluk di bawah Seksyen 8 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam 2002 di mana umur minimum untuk perkahwinan di bawah enakmen itu ialah 18 tahun bagi lelaki manakala 16 tahun bagi perempuan kecuali jika Hakim Syarie memberi kebenarannya secara bertulis dalam hal keadaan tertentu.

Mereka yang melanggar undang-undang itu boleh dikenakan denda sehingga RM1,000 atau penjara enam bulan atau kedua-duanya oleh Mahkamah Syariah negeri.

Dengan tegas, beliau berkata perbuatan lelaki yang mengahwini kanak-kanak itu boleh dianggap sebagai rogol.

"Lelaki yang mengahwini kanak-kanak itu sudah menyalahi undang-undang dan ibu bapa kanak-kanak itu juga perlu ditanya mengapakah tindakan itu diambil," katanya.

Katanya lagi struktur badan kanak-kanak di usia 10 dan 11 tahun tidak boleh menampung untuk melahirkan anak.

Beliau sebelum ini pernah menulis beberapa buku tentang perkembangan awal kanak-kanak termasuk buku bertajuk "Child Development-Preschool Children", "Understanding Children", "Bringing Up Children in Troubled Times" dan "Children-Our Heritage".

Artikel Sebelum

Artikel Lain