suria

KL Bakal Dilengkapi Laluan Pejalan Kaki Bertutup

(Temu bual dengan Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan)

KUALA LUMPUR akan menyediakan rangkaian laluan pejalan kaki bertutup yang bakal memperindah landskap bandar raya, bermula dengan laluan dari Kuala Lumpur City Centre (KLCC) dan kawasan komersil berhampiran seperti Bukit Bintang.

Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar diberi tanggungjawab untuk memainkan peranan bukan hanya membina laluan pejalan kaki di tempat-tempat tertentu tetapi juga mengawasi pembinaan di pihak swasta supaya suatu hari nanti, semua bangunan di tengah-tengah bandar ada rangkaian bersama.

Menteri berkenaan Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur sedang membuat perancangan terperinci bagi pembangunan laluan itu dan sebagai permulaan, Petronas akan memperuntuk kira-kira RM100 juta untuk pembinaan laluan di sekitar KLCC.

Sambil mengakui Kuala Lumpur kini tidak mesra pejalan kaki berbanding bandar besar lain, beliau berharap laluan pejalan kaki ini juga dapat menjadi alternatif kepada warga kota mengurangkan penggunaan kenderaan di jalan raya dan dapat mengurangkan kesesakan.

CONTOHI LUAR NEGARA

Beliau berkata kemudahan laluan pejalan kaki bertutup seperti ini sudah dilaksanakan di negara seperti Hong Kong dan sudah terbukti keberkesanannya.

"Penduduk di bandar besar lain lebih banyak berjalan. Di tempat kita ini lain sedikit, sebabnya dengan cuaca hujan dan panas tetapi semuanya diharap berubah dengan adanya laluan pejalan kaki yang selesa dan mempunyai kipas misalnya," katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama.

Pada masa akan datang, kementerian ini juga akan mensyaratkan supaya laluan pejalan kaki ini dibina di kawasan atau bangunan yang baru hendak dibangunkan.

Di Putrajaya pula, usaha sedang dilakukan untuk mengatasi masalah tempat letak kereta yang terhad.

Satu kempen menggalakkan penggunaan bas akan dilaksanakan selepas Perbadanan Putrajaya menambah lebih kurang 70 bas tambahan secara berperingkat.

Raja Nong Chik menjelaskan bahawa mengikut perancangan awal di Putrajaya, beliau dimaklumkan bahawa 70 peratus penduduk di sini sepatutnya menggunakan pengangkutan awam dan selebihnya menggunakan kenderaan sendiri.

PARKIR KERETA UNTUK PELAWAT

"Saya diberitahu sebelum ini tempat letak kereta hanya untuk pelawat. Oleh kerana petugas juga menggunakan kenderaan sendiri, maka timbul masalah tempat letak kereta dan juga mengakibatkan kesesakan lalu lintas," katanya. Beliau berkata buat masa ini, ada ketikanya bas sedia ada kosong dengan tidak ada penumpang dan kebanyakan pengguna yang mengguna pakai bas di Putrajaya ialah warga asing.

"Tidak banyak yang pakai kecuali warga asing dan ini bermakna kerajaan cuba memberi kemudahan ini tetapi banyak yang tidak suka menggunakannya," katanya.

Beliau berkata satu daripada punca mengapa penduduk di Putrajaya memilih menggunakan kenderaan sendiri ialah kerana tidak ada bas sekolah di sekitar Putrajaya.

Katanya bagi mengatasi masalah itu, Perbadanan Putrajaya akan mengkaji supaya beberapa bas yang ada nanti digunakan sebagai bas sekolah.

Satu lagi kemudahan yang beliau perhatikan tidak diguna sepenuhnya di Putrajaya ialah "Park and Ride"., Hanya segelintir yang menggunakannya terutama mereka yang bekerja di Putrajaya tetapi tidak tinggal di sini.

Konsep "Park & Ride" - letak kereta dan naik bas - untuk ke pejabat-pejabat kerajaan diperkenal di Putrajaya sejak 2007 bagi mengurangkan kesesakan lalu lintas dan mengatasi masalah kekurangan tempat letak kenderaan di situ. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain