suria

'Jamal', Bahtera Padang Pasir

AL-KHAFJI (ARAB SAUDI): Dua puluh unta betina dan dua unta jantan merupakan harta yang begitu bernilai baginya.

Haiwan yang dikenali sebagai 'Jamal' dalam bahasa Arab ini terdapat dalam warna putih, perang dan hitam yang dibiarkan bebas merayau pada siang hari di dataran berpasir dan kembali ke kandang untuk makan dan bermalam di situ.

Ada yang merayau di gurun sejauh 10 kilometer setiap hari dan pulang ke kandang sebelum matahari terbenam.

Saud Jaman Huzaym Al-Suabie yang lebih dikenali dalam kalangan penduduk tempatan sebagai Sheikh Imam Saud menetap di Al-Khafji, sebuah pekan yang kaya dengan sumber petroleum di timur laut Arab Saudi dan tidak jauh dari sempadan Kuwait.

Sheikh Imam Saud mula menternak unta secara sambilan bersama adiknya, Falih Al-Subaie, 20 tahun lepas, ketika masih bekerja dengan sebuah syarikat minyak.

MENTERNAK UNTA

Selepas bersara Disember lepas, Imam Saud menjaga unta dan biri-birinya secara sepenuh masa selain beberapa ekor ayam di kawasan padang pasir ini.

Di sini, banyak lagi ladang ternakan unta dikendalikan oleh warga tempatan dengan bantuan tenaga kerja khasnya dari India dan Afrika.

"Bukan mudah untuk mendapatkan pekerja yang boleh diharap untuk bekerja di padang pasir. Saya mengambil seorang pekerja dari Sudan baru-baru ini tetapi beliau hanya mampu bertahan 12 jam. Pembantu saya sekarang ini dari India, mahu pulang untuk bersama keluarga selama empat bulan, oleh itu saya kini memerlukan pengganti. Nasib baik saya telah bersara, maka bolehlah jaga ladang ini," kata Imam Saud kepada penulis yang baru-baru ini berada di Al-Khafji.

Beliau berkata adiknya Falih membantu menguruskan ladang dan kedua-dua mereka menghabiskan banyak masa di gurun, sering kali bersama anak-anak lelaki mereka.

"Unta diberi makan dua kali sehari. Mereka makan roti, rumput kering dan serbuk roti dicampur dengan air. Kos memberi makan bagi setiap unta ialah 300 Riyal Saudi (RM270) sebulan," jelas Imam Saud.

Bagaimanapun jika diberi terlalu banyak roti kering, yang dibeli dalam guni, boleh menyebabkan unta sakit perut.

TEMPOH HAYAT

Falih pula menambah kata: "Mereka hanya boleh diberi makan dua kali sehari. Jika mereka jatuh sakit, kami perlu memanggil doktor haiwan untuk merawat mereka. Bagaimanapun, adakalanya kami terlupa yang mereka tidak boleh diberi terlalu banyak makanan. Unta suka makan, mereka mempunyai gigi yang besar untuk mengunyah dan menelan roti."

Tempoh hayat unta ialah lebih kurang 35 hingga 40 tahun dan boleh menghasilkan sehingga 12 baka dalam tempoh hayatnya.

Ayam dibela di ladang unta untuk mengawal serangga yang memakan bulu unta terutama semasa musim sejuk, apabila bulu lama gugur dan yang baru tumbuh.

Bulu yang berusia setahun itu gugur dengan sendiri, kata Falih yang fasih berbahasa Inggeris.

Merenung ke arah unta jantan putih yang berdiri megah, yang satu daripada kakinya diikat pada tiang kayu, beliau berkata "harga seekor unta dewasa betina ialah lebih kurang 8,000 Riyal Saudi (RM7,000) dan yang jantan pula boleh mencapai nilai yang sangat tinggi, daripada 35,000 hingga satu juta Riyal Saudi. Kami baru membeli seekor unta jantan daripada sebuah ladang unta milik keluarga diraja Al-Saud. Ia akan mengambil masa setahun untuk melihat baka yang akan muncul daripada pelaburan ini.

Baka yang baik, yang penulis difahamkan, akan mempunyai ciri-ciri fizikal yang bagus termasuk leher yang panjang. Barisan baka yang baik akan memberikan kepada pemiliknya pulangan lumayan terhadap pelaburan.

BAKA UNTA

Imam Saud, semasa bersiap untuk memerah susu daripada unta yang baru dua minggu lepas melahirkan anak berkata tempoh mengawan bermula pada musim sejuk antara Oktober dan Mac setiap tahun.

"Unta muda mengambil masa yang lama untuk mengawan sementara unta betina yang matang melahirkan anak berselang tahun. Itu tanda kemakmuran bagi penternaknya," kata beliau sambil tersenyum.

Apabila ditanya sama ada unta peliharaannya menghasilkan baka secara semulajadi atau sebaliknya, adik-beradik ini mengesahkan 100 peratus daripada kelahiran unta di ladang ini ialah secara semulajadi, dengan sedikit sahaja bantuan daripada manusia.

"Kami hanya perlu memerhatikannya dari jauh, tetapi jika timbul masalah, doktor haiwan akan membantu. Anak unta ini diperiksa semasa berusia 6 bulan dan jika susuk tubuhnya tidak seperti yang dihendaki, mereka akan dihantar ke rumah sembelih. Dagingnya yang dijual setiap satu pada harga 3,000 Riyal Saudi (RM2,700)," jelas Falih.

Bagi penternak, unta merupakan aset yang bernilai tinggi, kuat dan pintar sehinggakan apabila nama haiwan ini dipanggil, mereka akan menghampiri pemilik dan menghidu tangannya.

Mereka juga tahu berterima kasih kepada pemilik yang memberi mereka makan dua kali sehari selain dapat mengecam mereka.

SUSU UNTA SEDAP

Susu unta rasanya lebih hebat daripada satu gelas besar `Latte' atau susu panas berbuih yang dijual di kedai-kedai kopi popular. Susu suam berkrim ini, memikat penulis kerana ia tidak berbau dan teksturnya halus, bukan seperti susu daripada haiwan lain.

"Susu daripada unta putih lebih enak berbanding susu daripada unta perang yang rasanya lebih berkrim. Susu unta hitam rasanya lebih masin dan hanya boleh didapati dalam kuantiti kecil setiap kali haiwan itu diperah. Dan bahagian yang paling istimewa ialah lapisan buih di atas, yang bertindak sebagai lapisan pelindung yang menyaring pasir daripada gurun.

"Bagaimanapun, rasa buih ini terserlah apabila buah kurma Saudi yang melekit dicelup ke dalamnya, sesuatu yang warga Arab suka menikmatinya bersama secawan kecil Gawa panas, iaitu kopi berempah Arab," kata Imam Saud yang berbadan kecil ini sambil mencelup buah kurmanya ke dalam buih susu unta di dalam mangkuk.

Dan turut menarik ialah pengalaman menyaksikan matahari terbenam di padang pasir yang menutup tirai lawatan penulis ke ladang ternakan haiwan ini yang terkenal sebagai bahtera padang pasir. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain