suria

Kes Pertikaian Jawatan MB Perak, Inkues Kematian Teoh Curi Tumpuan

KUALA LUMPUR: Kes pertikaian jawatan Menteri Besar Perak, inkues kematian setiausaha politik Teoh Beng Hock dan kes melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim termasuk usaha beliau untuk membatalkan pertuduhan liwat terhadapnya mewarnai kes-kes di mahkamah sepanjang tahun ini.

Ketika tahun ini hampir menutup tirainya, akhbar sekali lagi memaparkan tajuk menggemparkan berhubung pendakwaan pertama dalam skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) membabitkan 29 pertuduhan pecah amanah dan penipuan terhadap empat tertuduh.

Kes pertama yang menjadi tumpuan dan tajuk akhbar pada tahun ini membabitkan pertikaian antara Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari Pakatan Rakyat (PR) dan Datuk Seri Dr Zamry Abdul Kadir dari Barisan Nasional (BN) selepas tiga anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) PR mengisytiharkan diri mereka sebagai wakil rakyat Bebas dan menyokong BN.

Mohd Nizar mengemukakan rayuan selepas Dr Zambry dilantik sebagai Menteri Besar dan kes itu kini menunggu penyelesaian di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum itu, Mahkamah Rayuan, semasa membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi, memutuskan bahawa Sultan Perak, Sultan Azlan Shah bertindak betul dalam melantik Dr Zambry sebagai Menteri Besar yang baru mengikut Perkara 16(2) Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Kes itu juga menyebabkan pengerusi DAP Karpal Singh menghadapi pertuduhan memfitnah bagi kenyataannya pada sidang akhbar mengenai Sultan Perak berhubung krisis politik negeri itu.

Anwar, 62, yang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan meliwat bekas pembantunya Mohamad Saiful Bukhari Azlan pada 2008, gagal menghalang pihak pendakwaan daripada memindahkan kes itu ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan rayuan pihak pendakwaan terhadap perintah Mahkamah Tinggi untuk membekalkan dokumen seperti laporan perubatan dan sampel DNA seperti diminta Anwar dengan perbicaraan ditetapkan pada 25 Januari tahun depan.

Sementara itu, Anwar juga mengemukakan saman fitnah RM100 juta di Mahkamah Persekutuan terhadap bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana menggelarnya sebagai seorang homoseksual selepas Mahkamah Rayuan menolak saman itu kerana rayuan yang difailkannya tidak dibuat dalam bahasa kebangsaan sepertimana ditetapkan oleh undang-undang.

Mahkamah Persekutuan menetapkan 1 Mac untuk mendengar rayuannya bagi kebenaran mencabar keputusan Mahkamah Rayuan itu.

Anwar juga memfailkan saman sivil jutaan ringgit terhadap syarikat media dengan Utusan Malaysia dan New Straits Times mendahului senarai.

Agensi pencegahan rasuah negara yang diberi nama baru iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada awal 2009 turut dilanda kemelut apabila seorang setiausaha politik Teoh Beng Hock, ditemui mati di tingkat lima Plaza Masalam di Shah Alam pada 16 Julai selepas beliau disoal siasat oleh SPRM Selangor berhubung penyalahgunaan wang peruntukan kerajaan negeri.

Punca kematian Teoh sedang disiasat melalui satu inkues dan kerajaan juga bersetuju untuk menubuhkan Suruhanjaya Diraja untuk menyiasat kaedah penyiasatan yang digunakan oleh SPRM.

Mahkamah Tinggi juga memutuskan SPRM hanya boleh menyoal siasat saksi pada waktu pejabat sahaja dalam kes anggota Majlis Perbandaran Kajang Tan Boon Wah, 39, yang memfailkan saman terhadap SPRM, mendakwa penahanannya dan disoal siasat selama 16 jam oleh SPRM adalah melanggar undang-undang.

Bagaimanapun, keputusan itu dibatalkan oleh Mahkamah Rayuan. Imej SPRM juga tercalar ekoran kegagalan badan itu dalam mensabitkan beberapa nama besar iaitu bekas Menteri Kemajuan Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan Datuk Ramli Yusoff dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Mirza Mohammad Taiyab bagi kesalahan rasuah.

Badan itu bagaimanapun telah memperoleh kebenaran Mahkamah Tinggi untuk merayu terhadap pembebasan Mirza yang kembali memegang jawatannya itu selepas perbicaraan itu.

Dalam skandal PKFZ, bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang (PKA) Datin Paduka O C Phang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Klang terhadap tiga pertuduhan pecah amanah berjumlah RM254.85 juta.

Tiga yang lain, daripada kontraktor turnkey Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan perunding projek BTA Architect, menghadapi pertuduhan menipu dengan mengemukakan tuntutan palsu.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata lebih ramai lagi akan dibawa ke muka pengadilan berhubung kontroversi PKFZ yang timbul selepas kos untuk membangunkan pusat kargo bersepadu di kawasan seluas 400 hektar itu melonjak daripada RM2 bilion kepada RM4.6 bilion. Untuk makluman, PKA telah memfailkan saman RM920 juta terhadap KDSB untuk mendapatkan semula sebahagian daripada kerugiannya itu manakala Presiden MCA dan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat memfailkan saman fitnah RM500 juta terhadap Ketua Pegawai Eksekutif KDSB Datuk Seri Tiong King Sing, yang juga anggota Parlimen Bintulu.

Satu lagi kes koroner yang mendapat liputan media besarbesaran ialah inkues kematian aktres K. Sujatha, 28, bekas pembantu peribadi kepada S. Vell Paari, Ketua Pegawai Eksekutif Maika holdings dan anak Presiden MIC Datuk Seri S.Samy Vellu.

Mahkamah Koroner memutuskan wanita itu membunuh diri selepas minum racun rumpai, paraquat.

Penulis blog kontroversi Raja Petra Raja Kamaruddin, yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), melarikan diri daripada pihak berkuasa yang cuba melaksanakan waran tangkap terhadapnya ekoran kegagalannya hadir di mahkamah bagi pertuduhan memfitnah secara bertulis dan juga pertuduhan memfitnah isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor. Mahkamah Sesyen Petaling Jaya tiada pilihan selain menutup kes terhadap penulis blog itu yang kini dilaporkan berada di London selepas sebelum ini dispekulasikan berada di Australia. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain