suria

Kerja dari rumah: satu ‘terapi’ bagi stres di tempat kerja?

ADAKAH bekerja dari rumah mendatangkan kebaikan atau keburukan terutama bagi pekerja sektor awam?

Ini antara soalan yang muncul berikutan laporan berita baru-baru ini mengenai inisiatif Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk mewujudkan Program Bekerja Dari Rumah bagi pelukis pelan yang terpilih bermula 1 Januari tahun depan.

Menteri Kerja Raya Datuk Shaziman Abu Mansor dilaporkan berkata 35 pelukis pelan akan dipilih sebagai perintis bagi program percubaan tiga bulan dan keputusan sama ada kerajaan meneruskan atau tidak program itu bergantung pada tahap produktiviti yang dicapai semasa program itu dijalankan.

Menurut Shaziman, program berkenaan akan ditamatkan jika didapati gagal meningkatkan produktiviti pelukis pelan yang terlibat.

Reaksi positif menyusul di mana Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyambut baik langkah itu.

Bagi Cuepacs, langkah kerajaan mewujudkan program perintis itu boleh mengurangkan kesesakan di tempat kerja selain meringankan beban penjawat awam dari segi kos petrol serta masa yang diambil untuk pergi dan pulang dari tempat kerja.

Ia juga memberi peluang kepada penjawat awam mempunyai masa yang lebih dengan keluarga mereka.

Presiden Cuepacs Omar Osman dilaporkan berkata program itu merupakan langkah yang bijak dan menyeru agar ia dipanjangkan meliputi kementerian dan agensi kerajaan yang lain.

Satu jenis terapi

Sebenarnya konsep bekerja dari rumah sudah lama wujud dalam perkidmatan awam di negara ini, tetapi tanpa publisiti yang meluas, dan ia juga memberi kesan produktiviti yang amat positif.

Ini satu situasi yang dialami sendiri penulis yang bertugas di sebuah agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Penulis yang juga merupakan seorang OKU (Orang Kurang Upaya) telah menikmati kemudahan itu sejak tahun 2007.

Penulis diserang diabetis dan mengalami masalah vaskular (peredaran darah) kaki kanan kerana komplikasi penyakit itu.

Beliau juga terpaksa menjalani rawatan hemodialisis tiga kali seminggu kerana kegagalan buah pinggang dan menjadi amat keletihan setelah menjalani setiap sesi rawatan itu.

Pada tahun 2007, kaki kanan penulis dipotong di bawah paras lutut kerana ulser yang kronik dan ini memberi kesukaran bagi beliau untuk berjalan.

Tetapi beliau tetap juga ke pejabat walaupun terpaksa menggunakan kerusi roda. Ini telah menarik perhatian pihak pengurusan yang memahami keadaan penulis. Pihak pengurusan menggunakan budi bicara mereka dan membenarkan beliau bekerja dari rumah dengan menggunakan Internet kerana semua kerja beliau boleh disalurkan melalui komputer dan Internet.

Mereka (majikan) juga meminjamkan sebuah komputer riba yang disambungkan terus kepada sistem komputer di pejabat.

Langkah itu sebenarnya telah meningkatkan produktiviti kerja penulis, walaupun banyak masa yang beliau perlukan untuk rawatan dialisis, beliau sebenarnya mempunyai ruang dari segi masa yang lebih lama bila bekerja dari rumah jika dibandingkan dengan waktu bertugas di pejabat dengan hanya lapan jam.

Ia juga lebih menjimatkan masa jika diambil kira perjalanan pergi dan balik ke tempat kerja.

Baik untuk petugas OKU

"Bekerja dari rumah amat bermakna bagi penjawat awam yang kurang upaya. jika penat, mereka boleh rehat. Mereka boleh menyelesaikan kerja walaupun pada waktu malam atau pagi," itulah pendapat aktivis sosial Fatimah Mansur.

Kata beliau, bekerja dari rumah juga merupakan sebahagian daripada terapi bagi mengurangkan stres di tempat kerja untuk penjawat awam.

Ia juga baik bagi penjawat awam yang kurang upaya disebabkan kemalangan atau berpenyakit kronik.

"Dengan ini kerajaan tetap mempunyai kepakaran atau kebolehan profesional dalam bidang-bidang tertentu. Tetapi kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT), adalah penting bagi kejayaan program sebegini," tambah beliau.

Bertugas secara ‘terasing’ adalah baik

Bagi Fatimah, bekerja dari rumah mungkin agak 'terasing' tetapi bekerja begini lebih baik.

"Bekerja berseorangan adalah baik kerana tiada gangguan apatah lagi jika anda mempunyai waktu yang suntuk (hada tempoh) dan memerlukan konsentrasi tinggi. Dengan bekerja di rumah anda boleh mempunyai situasi yang baik untuk mencapai objektif kerja anda".

Kata beliau, penjawat awam yang terpaksa menjaga anak kecil atau anak yang sakit boleh cuba memohon dari pihak majikan agar dibenarkan bekerja dari rumah.

"Bagaimanapun bukan semua penjawat awam boleh bekerja dari rumah. Hanya mereka yang mempunyai tugas bersangkutan dengan kerja komputer yang disambungkan kepada Internet dan seterusnya kepada rangkaian sistem komputer di pejabat sesuai untuk program sebegini", tambah beliau.

Dengan membenarkan penjawat awam bekerja dari rumah, kerajaan tidak akan kehilangan mereka yang mempunyai kepakaran atau dari kumpulan profesional yang terpaksa bersara awal kerana menjadi kurang upaya atau mengalami sakit kronik yang teruk.

"Kalau mereka yang pakar dalam bidang tertentu dikekalkan, sudah tentu ini akan mengekalkan kecekapan dalam perkhidmatan awam," tambah Fatimah.

Menurut laporan akhbar 'The Nation' pada tahun lepas, kerajaan Thailand juga beruraura mengadakan program yang serupa di bawah konsep 'eofis'.

Sektor swasta

Bagi pembekal barang perubatan Robert Lee, bekerja dari rumah memang satu perkara yang 'ideal' bagi beliau.

"Saya bekerja dari rumah dan tidak perlu bayar sewa yang tinggi untuk ruang pejabat serta tambahan kepada bayaran elektrik dan air. Dengan bekerja dari rumah, saya hanya perlu satu talian untuk faks dan juga satu talian tetap telefon selain daripada satu atau dua buah komputer yang ada sambungan Internet," kata Lee dari Bukit Rahman Putra dekat sini.

Bagi penulis ini, bekerja dari rumah memang meningkatkan produktiviti beliau dan ini dibantu oleh kemudahan ICT yang wujud di negara ini.

"Kelebihan bekerja di rumah ialah anda mempunyai masa 24 jam untuk menyelesaikan tugas dan bebas untuk memilih masa bekerja. Wal hal bekerja di pejabat masanya agak ketat di mana seseorang hanya mempunyai lapan jam bagi menyelesaikan tugas beliau dan ini tidak cukup bagi menjadikan penjawat awam lebih produktif". BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain