suria

Lebih Ramai Rakyat Malaysia Mengambil Berat Akan Penampilan

RAKYAT Malaysia mungkin satu hari kelak akan menjadi antara yang paling menawan dalam cara penampilan seperti mana mereka di Brazil dan Sweden jika dilihat daripada bilangan mereka yang mahu mendapatkan nasihat untuk pembedahan kosmetik.

Nampaknya kemunculan Internet telah membantu menyediakan maklumat yang meluas bagi rakyat Malaysia dalam membuat pilihan untuk meningkatkan penampilan serta keyakinan diri.

Pada masa yang sama sejak sedekad yang lepas berlaku pelbagai penambahbaikan dalam teknik pembedahan kosmetik dan implan beserta komplikasi kerana pembedahan dikurangkan selain daripada kosnya.

Hari ini, dengan menggunakan teknik serta implan yang sedia ada, para pakar bedah plastik boleh membentuk wajah dan tubuh yang hebat seperti diimpikan. Dengan kos yang terlibat, pembedahan kosmetik pada satu ketika merupakan eksklusif bagi golongan kaya dan mashyur tetapi kini mampu dibiayai oleh kebanyakan orang.

Tetapi tunggu sebentar, mereka yang menimbang untuk menjalani pembedahan kosmetik perlu munasabah dalam harapan mereka seperti yang ditunjukkan oleh pakar-pakar pembedahan plastik terkemuka dari tiga benua semasa persidangan berita, sebelum Simposium Aestetik Payu Dara Asia yang bermula pada 6 November 2009.

LEBIH RAMAI WARGA MALAYSIA TIMBANG PILIHAN

Seorang pakar pembedahan plastik, rekonstruktif dan kosmetik di Pusat Pakar Loh Guan Lye di Pulau Pinang iaitu Dr Lee Kim Siea menerima sehingga 20 temujanji baru setiap minggu bagi rundingan pembedahan kosmetik.

"Jika anda membuat temujanji dengan saya sekarang ini, anda sebenarnya hanya boleh bertemu dengan saya dalam tempoh satu setengah bulan," kata Dr Lee apabila ditemui pada persidangan berita yang sama.

Dr Lee berkata sudah pasti terdapat peningkatan dalam bilangan mereka yang menjalani pembedahan kosmetik tetapi oleh kerana ketiadaan daftar rasmi dan adanya sedikit pertindihan kerana pakar kecantikan juga menjalankan beberapa daripada prosedur kecantikan, jadi tiada angka rasmi yang boleh diperoleh.

"Semasa kegawatan ekonomi terbaru ini bilangan mereka yang menjalani pembedahan kosmetik berkurangan, mungkin 5-10 peratus, tetapi kebanyakannya membabitkan pembedahan lebih mahal seperti pembesaran payu dara. Bagaimanapun, ia kini rancak semula."

Dr Lee berkata untuk membesar atau membentuk payudara ia mungkin menelan kos antara RM10,000 dan RM16,000 dengan kebanyakan pesakit adalah orang Cina diikuti India dan Melayu.

Dr Lee yang merupakan bekas setiausaha Persatuan Malaysia bagi Pakar-pakar Bedah Plastik, Aestetik dan Kraniomaxilofasil, atau MAPACS berkata teknik bagi pembesaran payu dara sudah mantap dan keputusannya pula konsisten. Tempoh pulih juga lebih singkat dengan anda boleh pulang kerja atau memandu dalam tempoh seminggu.

Satu pembedahan yang dilakukan dengan baik boleh bertahan antara 20 dan 30 tahun dan jika tidak, pembedahan semula tidak dapat dielakkan. Sebab itulah penting bagi pesakit untuk memilih pakar bedah bertauliah dan kompeten.

PEMBEDAHAN KOSMETIK

Sementara itu, Dr Charles Randquist, seorang pakar pembedahan plastik terkemuka di dunia dari Sweden merupakan orang di sebalik penganjuran ABAS.

Bagi Dr Randquist, beliau percaya memandangkan bilangan besar penduduk Asia, benua itu pasti berada di tangga hadapan dalam pembedahan kosmetik khasnya daripada segi bilangan. Tetapi bagi pakar bedah ini yang melatih doktor lain di seluruh dunia, yang lebih penting bukan angka tetapi kualiti.

"Sebagai contoh pembesaran payu dara menggunakan implan merupakan cara baik dalam menambah baik kualiti kehidupan tetapi tidak baik jika berlaku komplikasi ataupun jika pembedahan semula diperlukan.

"Apabila pesakit tidak matang, atau tiada keperluan sebenar selain daripada keinginannya untuk menjalani pembedahan kosmetik, adalah baik doktor menasihatkannya supaya tidak memilih pembedahan memandangkan risiko yang terbabit.

"Jadi bagi pembedahan kosmetik, pembedahan terbaik ialah apa yang kita tidak lakukan," katanya mengingatkan orang ramai yang pembedahan itu hanya boleh menjadi pilihan jika ia benar-benar perlu.

Dr Randquist menunjukkan bahawa seminar di Hospital Gleneagles di Kuala Lumpur, yang membabitkan pembedahan sebenar, adalah untuk berkongsi maklumat akan teknik terbaru bersama 60 pakar bedah terkemuka dan peneraju pendapat dalam bidang ini di Asia. BERNAMA

Artikel Lain