suria

Melindungi yang baik, amalan perniagaan bertanggungjawab Tetra Pak

KAD Hari Raya yang satu ini diterima di dalam sampul berwarna coklat dan sedikit berbeza kerana kadnya agak keras dan istimewa.

Rasa ingin tahu membuatkan mata penulis mencari sesuatu.

Ya!...ada tulisan berwarna hijau tertera di dalam dan di belakang kad itu berbunyi "this greeting card is printed on paper 100% recycled from beverage carton." (kad ini dicetak menggunakan kertas dikitar semula daripada kotak minuman).

Ada sesuatu bersama kad itu, sebungkus sampul hijau kecil Duit Raya, yang diperbuat daripada bahan kitar semula yang sama.

Ketika satu daripada sampul duit raya itu dihulur kepada anak saudara lelaki penulis semasa Aidilfitri, dia tidak terus melihat isi di dalamnya (reaksi biasa untuk mengetahui jumlah wang yang dia dapat), sebaliknya membelek sampul kecil yang kemas bentuknya itu.

"Wow, lainlah," katanya dan seperti penulis juga, dia melihat di belakang sampul itu dan menemui tulisan berkenaan.

Dia juga sukakan corak sampul Duit Raya itu -- karikatur kanak-kanak berBaju Melayu bermain gasing sambil masing-masing memegang sekotak minuman.

Kad Hari Raya dan sampul Duit Raya istimewa itu ialah daripada Tetra Pak (Malaysia) Sdn Bhd, syarikat bidang pemprosesan dan pembungkusan makanan yang mengeluarkannya sebagai sebahagian daripada inisiatif kitar semula kotak minuman.

Malah bekas hamper Hari Raya syarikat itu juga diperbuat daripada bahan kitar semula tetapi tetap menarik berbanding bakul dan kotak berukiran cantik yang menjadi pilihan ramai.

KEMPEN RAMADAN

Semasa bulan Ramadan, Tetra Pak bersama Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menganjurkan kempen kitar semula di Bazaar Ramadan Kelana Jaya di mana penduduk sekitar digalakkan membawa kotak minuman terpakai mereka untuk tujuan kitar semula dan hadiah disediakan bagi setiap sumbangan.

Para penduduk di situ gembira mendapat hadiah tukar ganti sama ada satu pek minuman kotak bagi setiap tiga kotak minuman terpakai yang dikitar semula atau sebuah buku nota Tetra Pak yang dihasilkan daripada bahan kitar semula, bagi setiap lima kotak minuman yang dikitar semula.

Bagi setiap 10 kotak minuman yang dikitar semula, penyumbang mendapat satu pemegang kertas yang juga diperbuat daripada bahan kitar semula atau satu tiket cabutan bertuah bagi setiap 15 kotak minuman yang dikitar semula.

Sampul Duit Raya istimewa itu turut diagihkan kepada penyumbang.

PROGRAM KITAR SEMULA

Selaras dengan cogan kata syarikat ini, "Melindungi Yang Baik" yang mencerminkan visi Tetra Pak untuk menjadikan makanan selamat dan mudah diperoleh, kitar semula kotak minuman ialah satu daripada insiatif utama dalam tanggungjawab sosialnya.

Dan usaha ini berbaloi apabila Tetra Pak (Malaysia) baru-baru ini diumumkan sebagai pemenang Anugerah Green Leadership, Asia Responsible Entrepreneurship Awards (Area) oleh Enterprise Asia bagi Kempen Inisiatif Kitar Semula Kotak Minuman 2008.

"Alam sekitar menjadi unsur penting dalam operasi perniagaan kami sejak 50 tahun dahulu dan kitar semula kotak minuman ialah satu daripada inisiatif utama dalam tanggungjawab sosial Tetra Pak di Malaysia.

"Matlamat kami ialah untuk menangani isu alam sekitar berkenaan pengurusan sisa buangan dan mengurangkan kesan karbon (CO2)," kata Andres Wester, Pengarah Urusan Tetra Pak (Malaysia) selepas menerima anugerah itu.

Wester menerima anugerah itu daripada Tan Sri Ahmad Fuzi Abdul Razak, Duta Kelana Malaysia dan Setiausaha Agung Forum Ekonomi Islam Sedunia dan William Ng, Presiden Enterprise Asia.

Menurut Tetra Pak dalam satu kenyataan, inisiatif itu bermula pada 2005, apabila syarikat itu menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan dua rakan kongsi untuk memulakan program perintis kitar semula kotak minuman di Malaysia.

Tetra Pak menerima anugerah penghargaan daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan atas usaha itu.

GALAKKAN RAKYAT

Sejak itu Tetra Pak menjalankan inisiatif kitar semula kotak minuman untuk mempengaruhi dua kumpulan utama berkepentingan dalam syarikat iaitu pengeluar dan pengguna kotak minuman.

Menjelang akhir 2008, sisa buangan kilang dan pengeluaran daripada semua pelanggan Tetra Pak di Lembah Klang akan dikitar semula dan tidak lagi dihantar ke tempat pelupusan sampah.

Untuk menggalakkan rakyat Malaysia bergiat aktif dalam usaha mengitar semula kotak minuman ini, Tetra Pak mengadakan program berterusan seperti ceramah alam sekitar, program sekolah, peraduan kitar semula dan menang, peraduan kumpulan & dan kitar semula serta festival kitar semula.

"Melalui usaha kitar semula, kami ingin menyampaikan mesej bahawa kita bukan saja perlu melindungi dunia tetapi juga harus memastikan amalan kitar semula ini diwarisi generasi akan datang. Kami berperanan sebagai pemangkin untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia pada semua peringkat umur," kata Wester.

KESEDARAN

Wester menjelaskan bahawa kejayaan usaha ini secara tidak langusng meningkatkan kesedaran pengguna, pertambahan bilangan pusat pengumpulan dan tong kitar semula kotak minuman serta peningkatan dalam pengumpulan fizikal kotak minuman.

Bagi inisiatif melibatkan pengguna ini juga, Tetra Pak bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa kerajaan, badan bukan kerajaan, sektor swasta, masyarakat, majlis tempatan, pelajar dan tenaga pendidik untuk meningkatkan kesedaran tentang kitar semula.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan Alam Flora, Pascorp Papers, KPT Recycle dan Brunswick untuk membangunkan prasarana yang menyeluruh dan menjalankan proses pengumpulan serta kitar semula kotak minuman terpakai secara berkesan.

Pada 2008, terdapat 174 pusat pengumpulan yang aktif untuk menghimpunkan kotak minuman dan sejumlah 66 buah sekolah di Lembah Klang dan Perak telah mempunyai sekurang-kurangnya satu tong kitar semula kotak minuman.

Dalam jangka masa hanya tiga tahun, jumlah pengumpulan kotak minuman mencatatkan peningkatan yang memberangsangkan bermula dari 50 tan (5 juta kotak) dalam tahun 2006 kepada 530 tan (53 juta kotak) jumlah pengumpulan di akhir tahun 2008. BERNAMA

Artikel Lain