suria

Tandan kelapa sawit jadi sumber jana elektrik

SISTEM penyambungan antara Grid Pantai Barat dan Grid Pantai Timur memainkan peranan penting kepada bekalan elektrik di Sabah yang menjadi keperluan kepada 410,610 pengguna.

Sejauh 247 km, sistem grid itu merupakan terpanjang di Malaysia membabitkan penyambungan bekalan elektrik dengan kuasa 275 Kilovolt (KV) dari Grid Pantai Barat melalui sub-stesen Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) di Kolopis, Penampang ke Grid Pantai Timur melalui sub-stesen SESB di Segaliud di sini.

Sejak sistem itu beroperasi pada Julai 2007, SESB mensasarkan untuk sistem bekalan elektrik di negeri ini bertambah baik kerana pusat penjanaan kuasa elektrik yang terdapat di Sabah kini boleh saling menyokong antara satu sama lain.

Lima pusat penjanaan utama yang menjadi sumber sistem grid itu terletak di pantai barat dan timur Sabah iaitu di Stesen Janakuasa Patau-Patau di Labuan, Melawa (Kota Kinabalu), Tenom Pangi (Tenom), Sandakan dan Tawau.

KEKURANGAN BEKALAN ELEKTRIK

Ketua Jurutera SESB Mohd Yaakob Jaafar berkata setiap hari bekalan kuasa yang disalurkan ke pantai timur dari pantai barat menggunakan sistem grid berjumlah 50-100 Megawatt (MW) bagi menangani kekurangan bekalan elektrik di kawasan itu.

Katanya kawasan pantai timur Sabah yang antaranya meliputi daerah Sandakan, Tawau, Lahad Datu dan Kinabatangan memerlukan bekalan kuasa setiap hari berjumlah 229.6 MW tetapi bekalan kuasa yang dapat disalurkan hanya 181.64 MW.

"Bagi memenuhi permintaan daripada pengguna, kekurangan bekalan kuasa di pantai timur yang kini berjumlah 20 peratus ditangani melalui bantuan grid pantai barat," katanya dalam taklimat dan lawatan media ke stesen janakuasa di sekitar Sandakan baru-baru ini.

Sistem grid itu dikawal secara automatik di Pencawang Masuk Utama (PMU) Kolopis di Penampang dan PMU Segaliud di Sandakan, dengan kedua-dua PMU ini memainkan peranan penting dalam pengawalan penghantaran bekalan kuasa dalam sistem ini.

Mohd Yaakob berkata sistem grid itu bergantung sepenuhnya kepada bekalan kuasa dari lima stesen janakuasa utama dan sekiranya berlaku kerosakan enjin janakuasa di mana-mana stesen itu, ia akan mengurangkan sumber bekalan elektrik yang sedia ada.

MENJEJASKAN SISTEM GRID

Katanya faktor lain yang boleh menjejaskan sistem grid itu ialah sekiranya menara yang digunakan untuk penghantaran bekalan elektrik tumbang dan kabel rosak.

"Ini menyebabkan SESB terpaksa melakukan catuan bekalan elektrik di daerah yang menerima bekalan elektrik menggunakan sistem grid itu ketika proses pembaikan enjin janakuasa yang rosak atau memperbaik menara dan kabel yang rosak," katanya.

Menurutnya pada masa sekarang, kerosakan enjin yang terdapat di stesen janakuasa terbabit yang kebanyakannya sudah dalam keadaan uzur menjadi penyumbang utama kepada masalah yang menjejaskan bekalan elektrik di Sabah.

"Kami terpaksa melakukan catuan ketika proses pembaikan enjin janakuasa itu dijalankan dan tidak mempunyai pilihan lain disebabkan kurangnya punca sumber bekalan elektrik di negeri ini," katanya.

Beliau berkata pada masa kritikal kekurangan bekalan elektrik, catuan akan dilakukan secara berjadual di kawasan pantai barat dan pantai timur di negeri ini yang menerima bekalan elektrik menggunakan sistem grid.

BANYAK ENJIN JANAKUASA UZUR

Pengurus Besar Kanan Operasi SESB Peter Lajumin menyifatkan kebanyakan alat janakuasa elektrik yang ada di negeri ini sudah digunakan terlalu lama dan sering terdedah kepada kerosakan yang menyumbang kepada kekurangan sumber penjanaan elektrik.

Beliau berkata SESB sedang membeli 40 janakuasa bergerak dengan setiap jentera berkeupayaan menjana elektrik sebanyak 1 MW.

"Janakuasa itu akan ditempatkan di kawasan yang kritikal mengalami kekurangan bekalan elektrik terutama di kawasan timur Sabah.

"Langkah itu merupakan pendekatan jangka pendek yang diambil oleh SESB bagi menangani masalah kekurangan bekalan elektrik di Sabah pada masa sekarang hingga menyebabkan SESB mengenakan catuan kepada pengguna," katanya.

Peter berkata pada masa sekarang SESB sudah mempunyai 20 janakuasa bergerak dan telah ditempatkan di beberapa daerah kritikal di seluruh negeri ini.

Bagi projek jangka panjang pula, sebuah Stesen Janakuasa Ranhill Powertron 2 (IPP) sedang dibina di Kota Kinabalu yang menjana kuasa elektrik menggunakan gas dan mampu menjana elektrik sebanyak 190 MW.

Katanya IPP itu yang dijangka mula beroperasi pada tahun depan akan menambah sumber bekalan kuasa elektrik yang disalurkan melalui sistem grid antara pantai barat dan timur Sabah.

Kerajaan juga meluluskan pembinaan dua buah IPP di Kimanis dan Papar masing-masing mampu menjana elektrik 100 MW dan 300 MW dengan projek pembinaan kedua-kedua projek itu dijangka dilakukan pada 2013, katanya.

TANDAN KELAPA SAWIT JADI SUMBER JANA ELEKTRIK

Dalam pada itu, usaha menjana kuasa elektrik di Sabah turut ditumpukan kepada sumber yang mesra kepada alam sekitar dan tandan kelapa sawit kosong (EFB) kini digunakan untuk tujuan itu.

Di Sabah terdapat lima Loji Janakuasa Biomass yang memproses EFB untuk dijadikan sumber menjana kuasa elektrik dan hanya tiga daripada loji itu menjual tenaga elektrik kepada SESB dibawah Perjanjian Pembelian Tenaga Elektrik Yang Boleh Diperbaharui (REPPA) untuk kontrak tetap selama 21 tahun .

Tiga loji yang menjual tenaga elektrik kepada SESB ialah Kina Biopower Sdn Bhd dan Seguntor Bioenergy Sdn Bhd, kedua-duanya terletak di Sandakan dan sebuah lagi ialah TSH Bioenergy Sdn Bhd di Tawau.

Ketiga-tiga loji itu masing-masing menjual tenaga elektrik kepada SESB sebanyak 10 MW, manakala dua lagi loji biomass yang ada milik syarikat perladangan iaitu IOI dan IJM, menjana kuasa elektrik untuk kegunaan sendiri.

Tenaga elektrik yang dihasilkan dari tiga loji biomass itu, dieksport ke sistem grid SESB untuk meningkatkan kestabilan bekalan elektrik di kawasan setempat.

LOJI JANAKUASA ELEKTRIK ARANG BATU

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika melawat Tawau pada 13 Sept lepas mengumumkan bahawa kerajaan sedia menjadikan Felda Sahabat di Lahad Datu sebagai lokasi membina Loji Janakuasa Elektrik Arang Batu.

Kawasan Semenanjung Dent berhampiran Felda Sahabat dikenal pasti sebagai tapak sesuai membina loji arang batu pertama di negeri ini yang bakal menghasilkan tenaga elektrik sehingga 300 MW. BERNAMA

Artikel Lain