suria

Penduduk Semporna kini merdeka daripada ancaman 'mundu'

MASIH segar dalam ingatan Taib Asakil satu pagi di sekitar tahun 1960-an apabila sebuah bot yang kelihatan seperti bot nelayan menghampiri bot di mana beliau sedang menangkap ikan bersama seorang rakan di perairan Semporna.

Bagaimanapun, apabila sudah hampir dan beberapa tembakan dilepaskan ke udara, barulah Taib dan rakannya menyedari bahawa yang berada di hadapan mereka ialah sekumpulan lanun atau lebih dikenali sebagai 'mundu' oleh penduduk tempatan.

Waktu itu ancaman lanun begitu berleluasa sehingga ramai nelayan, bukan sahaja di Semporna tetapi juga di sepanjang perairan pantai timur Sabah, takut keluar menangkap ikan.

Lanun atau mundu itu bukan sahaja menjejaki mangsa di laut malah banyak kejadian di mana mereka juga turut naik ke darat merampas apa sahaja yang mereka suka dan sanggup membunuh apabila mangsa cuba melawan.

Bagi Taib, 79, beliau tidak pernah menyangka cerita tentang mundu yang banyak didengarnya daripada rakan-rakannya, sehingga ramai yang tidak berani turun laut terutama pada waktu malam, telah dialaminya sendiri.

AMAT BERSYUKUR

"Ketika itu, saya cuma mampu bertawakkal kepada Allah. Namun saya amat bersyukur kerana saya dan rakan tidak diapa-apakan malah bot saya juga tidak diganggu oleh lanun berkenaan.

"Mungkin lanun itu tidak merompak enjin bot saya kerana enjin berkenaan jenis yang sukar ditanggalkan dan bukannya enjin sangkut yang mudah dialih. Lagipun enjin bot saya itu memang sudah agak buruk.

"Jadi mereka beredar tanpa mengambil apa-apa," kata Taib, ayah kepada empat orang anak yang berasal dari Kampung Simunul ketika menceritakan kisahnya kepada Bernama di sini.

"Apa yang boleh saya ucapkan cuma kesyukuran kepada Allah kerana saya terselamat. Tidak seperti nasib seorang rakan saya yang dipaksa terjun ke laut sebelum enjin bot dan pendayung botnya di bawa lari mundu berkenaan," kata penternak ikan sangkar itu.

SUDAH BERAKHIR

Bagaimanapun ancaman mundu yang menghantui Taib dan juga rakan-rakan nelayannya yang lain suatu ketika dahulu kini sudah berakhir dan mungkin boleh dikatakan hanya tinggal dalam lipatan sejarah Semporna.

Kesemua nelayan dan penduduk di pantai timur Sabah gembira kerana sudah bebas atau "merdeka" daripada ketakutan terhadap ancaman lanun, seperti bebasnya negara daripada cengkaman penjahahan.

Semua ini ialah hasil usaha kerajaan meningkatkan pemantauan dan kawalan keselamatan di sepanjang kira-kira 1,700 km perairan pantai timur Sabah termasuk penambahan aset dan penempatan anggota keselamatan di pelbagai lokasi strategik termasuk di pulau-pulau.

Pada hari ini bukan sahaja sudah terdapat pangkalan tentera laut di Sandakan, Lahad Datu, Semporna dan Tawau tetapi anggota agensi penguatkuasaan lain seperti Pasukan Gerakan Am (PGA), Pasukan Gerakan Marin (PGM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) sentiasa bekerjasama memantau dan menjaga keselamatan di perairan negara.

RADAR

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sedang memasang sembilan buah radar di pelbagai lokasi strategik di sepanjang perairan pantai timur Sabah yang mampu mengesan sebarang aktiviti laut.

Radar yang direka khas ini berupaya melakukan pengawasan dan pemantauan maritim bukan sahaja di sepanjang kawasan timur Sabah malah hingga ke Laut Sulu dan Laut Sulawesi serta mampu menghantar maklumat dengan cepat untuk diproses bagi membolehkan tindakan cepat dan tepat diambil.

Sebuah daripada radar yang dipasang di Bukit Tinagat di Tawau, sudah beroperasi, tiga lagi akan beroperasi sebelum hujung tahun ini sementara selebihnya dijangka beroperasi tahun depan.

"(Pembinaan sistem radar) di setiap lokasi yang strategik bagi memantau pergerakan di laut, udara dan darat, mencukupi untuk kita melihat pergerakan musuh.

"Kita (ATM) turut memantau pergerakan kapal dagang dan juga pergerakan kapal-kapal negara jiran jika ada aktiviti yang mencurigakan maka kami akan mengambil tindakan segera bagi menentukan tidak ada pencerobohan dilakukan," kata Menteri Pertahanan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika melawat Sabah pada 3 dan 4 Ogos lalu.

PESAWAT TINJAU

Bagi mengukuhkan lagi sistem maklumat dan keberkesanan komunikasi, pada tahun depan ATM dijangka melancarkan operasi pesawat Peninjau Tidak Berpemandu (UAV) ciptaan tempatan yang berfungsi membuat tinjauan di kawasan perairan negara.

Dr Ahmad Zahid ketika melawat dan menyaksikan demonstrasi UAV berkenaan di Kem Sri Wangsa, Semporna, amat berpuas hati dengan kemampuan pesawat tinjau berkenaan meskipun masih ada aspek tertentu yang perlu diperbaik.

Menurut beliau, ATM juga akan dibekalkan bot tempur dan peralatan sokongan maritim tidak lama lagi bagi meningkatkan keupayaan pengawasan di perairan pantai timur Sabah.

PERSATUAN NELAYAN

Sementara itu Pengerusi Persatuan Nelayan Semporna, Salleh Abdul Salleh pula berkata langkah keselamatan yang diambil kerajaan sekarang membolehkan nelayan menerokai kekayaan sumber laut Semporna hingga ke hujung sempadan perairan negara.

Kebebasan penduduk Semporna daripada mundu juga bukan sahaja telah mendorong perkembangan industri kultur rumpai laut dengan pesat sehingga menaikan nama Semporna sebagai pengeluar rumpai laut terbesar di negara ini tetapi juga merangsang aktiviti perikanan lain seperti akuakultur.

Semporna kini mengeluarkan kira-kira 700 tan metrik rumpai laut sebulan dan kira-kira 100 tan metrik ikan sebulan dan sumber berkenaan telah membawa manfaat kepada penduduk Semporna malah melaluinya ramai yang sudah bebas daripada garis kemiskinan tegar.

"Kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) dan Jabatan Perikanan serta agensi kerajaan lain kerana mereka telah banyak membantu mengubah taraf hidup masyarakat Semporna termasuk nelayan yang jumlahnya dianggarkan seramai kira-kira 3,000 orang," kata beliau.

Menteri di Jabatan Ketua Menteri Sabah Datuk Nasir Tun Sakaran pula melihat nikmat keselamatan yang dikecapi rakyat di Semporna tidak datang sendiri sebaliknya ia melalui usaha bersungguh-sungguh dan berterusan pihak kerajaan.

Katanya keadaan aman daripada ancaman unsur subversif termasuk lanun kini membolehkan rakyat Semporna untuk bebas bergerak ke mana sahaja mereka suka, bila-bila masa tanpa gangguan.

"Semporna suatu ketika dahulu dikenali sebagai daerah yang begitu ditakuti atau digeruni untuk dikunjungi masyarakat luar kerana wujud ancaman keselamatan di sini.

"Kini rakyat tidak lagi terancam, mereka rasa selamat dan bebas mencari rezeki di laut dan di darat," katanya.

Kehadiran pelancong asing dari Eropah, Amerika Syarikat, Jepun, Korea, Taiwan dan negara lain untuk menikmati keindahan pulau-pulau peranginan di Semporna, terutama Pulau Sipadan, membuktikan mereka berkeyakinan terhadap keselamatan perairan Malaysia. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain