suria

Hidangan istimewa di Masjid Jamek Rahang

MASJID Jamek Rahang atau juga dikenali sebagai Masjid Benggali, di Jalan Tok Ungku di sini memang terkenal terutama di kalangan pengikut kumpulan Tabligh di Negeri Sembilan.

Masjid dua tingkat, yang asalnya diperbuat daripada kayu, dibuka oleh imigran dari Pakistan yang menetap di sekitar kawasan berkenaan pada tahun 1947.

Pada tahun 2001, satu kempen mengutip derma dijalankan oleh pihak pengurusan masjid dan digerakkan oleh kumpulan Tabligh negeri ini.

Hasil kutipan yang terkumpul dari seluruh tanah air dan luar negara itu kemudian digunakan untuk menggantikan struktur kayu masjid dengan bangunan konkrit dan dirasmikan oleh Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan pada tahun 2005.

Sejak dari itu, ia terus menjadi markas pengikut Tabligh, tambahan pula terdapat keistimewaan lain pada masjid itu.

HIDANGAN ISTIMEWA

Pada hari biasa, sebuah restoran kecil yang terletak di perkarangan masjid menjadi tumpuan para jemaah dan penduduk Seremban kerana ia menyediakan hidangan capati dengan daging kambing cincang atau lebih dikenali sebagai 'Kima' di Pakistan.

Premis restoran itu sendiri disewakan oleh pihak masjid sebagai satu cara untuk mendapatkan dana bagi membayar bil elektrik dan air.

Pengerusi dan Nazir Masjid Jamek Rahang, Mohammad Nawab Din memberitahu Bernama, selain restoran, pihak masjid menyediakan 12 buah bilik setiap satu yang disewakan RM120 sebulan.

"Kami tidak pernah meminta bantuan kerajaan kerana pihak masjid berusaha untuk mencari dana sendiri malah gaji imam RM1,200 sebulan juga kami bayar, ia merupakan gaji yang paling tinggi di kalangan imam masjid lain di negeri ini," katanya.

Gaji itu ditanggung oleh pihak masjid kerana imam yang berkhidmat kebanyakannya datang dari luar negara seperti Myanmar dan sekarang ini imam dari Pakistan. PERSEDIAAN RAMADAN

Memandangkan Ramadan hampir tiba, pihak pengurusan masjid sedang sibuk menyediakan tempat ibadat itu.

Kebiasaan sepanjang bulan mulia itu, kirakira 400 hingga 500 orang akan berjemaah di masjid itu, tambahan pula, waktu berbukanya dihidangkan nasi briyani.

"Nasi briyani disumbangkan oleh pengusaha restoran di bandar ini. Istimewanya, jemaah yang menunggu solat tarawikh akan menikmati di dalam satu dulang besar bersama dengan empat orang jemaah. Kami tidak menyediakan pinggan untuk individu," katanya. Satu lagi hidangan istimewa yang mendapat perhatian di masjid itu adalah sejenis kuih tradisional Pakistan yang dinamakan 'Pokoda', katanya.

Pokoda ini adalah kuih dari kacang kuda yang diadun dengan tepung dan sayur bayam sebelum digoreng.

Ada yang sanggup datang dari jauh hanya semata-mata hendak menikmati juadah berbuka di masjid itu, katanya lagi. Itu semua tarikan pada setiap tahun masjid berkenaan.

Tetapi kini pihak pengurusan masjid gusar dengan sambutan Ramadan yang akan datang kerana sebahagian daripada ruang solat yang terletak di tingkat dua sudah tidak dapat digunakan lagi.

Semua berpunca daripada kebakaran sebuah rumah kosong yang terletak bersebelahan masjid dalam satu kejadian pada 3 Ogos lepas.

Bahang api telah menyebabkan cermin tingkap berkecai dan siling yang dibuat daripada plaster menjadi lembik malahan jam, lampu dan kipas juga cair.

Yang anehnya, dua hiasan berbentuk Allah dan Muhammad yang terletak begitu hampir dengan zon panas langsung tidak terjejas.

Kerosakan dianggarkan bernilai RM200,000 dan Mohammad Nawab Din berharap, bantuan orang ramai akan dapat dikumpulkan untuk membaiki kerosakan.

Sebarang sumbangan boleh dibuat menerusi nombor akaun 05012010009508 melalui Bank Islam di atas nama Anjuman Himayatul Islam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain