suria

Membaca? Tak rugi bahkan menguntungkan sekali

IMBAS kembali. Bila penulis ini berada di sekolah rendah di Pasir Mas, Kelantan pada awal 1970-an, Bahasa Inggeris adalah sesuatu yang amat 'asing' sekali bagi beliau.

Ejaan dan sebutan perkataan bahasa ini amat ganjil dan sukar sekali bagi beliau, sehinggakan beliau hampir-hampir 'menjauhkan diri' daripada mempelajarinya.

Bagi penulis ketika itu, bahasa ini memang 'menyusahkan' hidupnya.

Tapi kata-kata Perdana Menteri Malaysia yang kedua Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein, yang dikenali juga sebagai Bapa Pembangunan Malaysia, telah mengubah segalanya.

"Untuk membangun dan maju ke hadapan, kita perlu ilmu pengetahuan. Satu cara untuk mendapatkan ilmu pengetahuan ialah dengan membaca..." beliau dilaporkan berkata oleh media ketika itu.

Kata-kata itu merangsang penulis menghabiskan masa berjam-jam lamanya setiap waktu lepas sekolah di kutub khanah (perpustakaan) yang penuh dengan buku-buku dan karya Bahasa Inggeris.

Walaupun dengan pengetahuan yang boleh dikira sebagai kosong dalam bahasa asing ini, dengan berbekalkan sebuah kamus dwi-bahasa, penulis dengan secara merangkak-merangkak membaca karya-karya dalam Bahasa Inggeris yang ditulis karyawan terkenal seperti Enid Blyton, Somerset Maughan, Robert Louis Stevenson, Agatha Christie, Edgar Allan Poe dan Shakespeare.

Penulis juga mendapati dengan membaca novel serta karya yang mempunyai terjemahan dalam Bahasa Melayu/Inggeris, seperti Pending Permata (Red Winds), Buaya Mati Dua Kali (The Crocodile Dies Twice), Harimau Lembah Pahit (Tiger of Lembah Pahit), Gendang Kosong (Empty Drums), Don Kisot (Don Quixote) dan Hikayat Seribu Satu Malam (Arabian Nights) telah banyak membantu.

"Jika kamu faham tentang apa yang ditulis, kamu tentu dapat mempelajari (Bahasa Inggeris) dengan lebih cepat," seorang guru memberitahu penulis.

Itulah caranya penulis mempelajari Bahasa Inggeris, satu bahasa yang beliau anggap amat sukar untuk dipelajari satu masa dahulu.

Bagaimanapun, penulis tidak pernah meninggalkan, bahkan membaca berulang kali tanpa jemu, karya hebat dan klasik sasterawan Melayu seperti Rentung, Patah Sayap Terbang Jua, Tulang-tulang Berserakan, Hari-hari Terakhir Seorang Seniman, Merantau Ke Deli, Di Bawah Lembayung Kaabah, Tenggelamnya Kapal van Der Wick, Atheis dan banyak lagi.

Membaca menjadi satu dari cinta penulis.

BULAN MEMBACA

Kembali pada masa kini.

Minggu lepas, penulis berkunjung ke Kompleks PKNS, Shah Alam kerana satu urusan. Beliau agak hairan melihat ramai pengunjung berkumpul lobi kompleks itu..

"Ada apa (yang berlaku) ?" Tanya beliau kepada seorang pengunjung wanita.

"Awak tak tahu ke bulan ini (Julai) ialah Bulan Membaca", jawab wanita itu, seorang ibu yang mahu dikenali sebagai Evelynn.

"Awak tak perasan iklan dalam televisyen setiap malam? katanya lagi, membuatkan penulis tersipu malu.

Sebenarnya kompleks itu menganjurkan 'Pesta Buku Negeri Selangor'. Pesta buku itu ialah dari 24 Julai hingga 3 Ogos, 10 pagi-9 malam.

BULAN OGOS

Kempen membaca dilancar secara rasmi pada 1995 semasa Perayaan Bulan Membaca Kebangsaan. Temanya ialah "Mari Membaca Bersama".

Menteri Pelajaran ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak, kini Perdana Menteri Malaysia, melancarkan kempen itu pada tahun yang sama iaitu pada 31 Julai.

Kempen itu dijalankan di seluruh negara pada setiap bulan Ogos sehingga tahun 2000.

Pada tahun 2001, semasa majlis yang dirasmikan Datin Seri (Tun) Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kerajaan mengumumkan bulan Julai sebagai Bulan Membaca Kebangsaan, menggantikan bulan Ogos.

Mulai tahun 2001 sehingga kini, kempen ini dijalankan setiap bulan Julai dan dijadikan agenda tahunan kerajaan ke arah membentuk masyarakat yang mempunyai ilmu dan maklumat dengan menjadikan membaca sebagai satu budaya.

INISIATIF KERAJAAN

Bekas pendidik Fatimah Mansur berkata langkah kerajaan menjadikan Kempen Bulan Membaca ialah satu usaha yang amat bijak.

"Lihatlah di sekeliling kita, di mana saja kelihatan orang membaca sama ada surat khabar atau majalah serta buku ataupun membaca blog dan bahan lain dalam Internet," kata beliau.

Satu pandangan yang sememangnya tepat sekali.

Dalam kunjungan penulis ke sebuah kedai buku mega di Bandar Utama, Petaling Jaya, beliau mendapati begitu ramai orang dewasa serta kanak-kanak dan ibu bapa sedang membaca buku dan majalah yang terdapat di situ.

Tak kurang juga yang sedang beratur untuk membayar bahan bacaan yang dibeli.

Di seluruh negara, pelbagai pertubuhan termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), perpustakaan awam dan swasta serta juga sekolah, kolej dan universiti mengadakan kempen membaca masing-masing sempena sambutan Bulan Membaca Kebangsaan.

"Di mata umum, Kempen Membaca ini berjaya," kata Fatimah.

PANDANGAN AHLI AKADEMIK

Menurut pandangan beberapa orang ahli akademik di sebuah universiti di sini, kempen itu memang boleh dianggap berjaya.

"Ia berjaya menarik penyertaan orang ramai dalam pelbagai program di samping menyemai kesedaran membaca sepanjang hayat.

"Kempen ini juga menggalakkan aktiviti membaca sebagai satu budaya," kata seorang pensyarah.

Fatimah menambah, kempen itu meningkatkan kesedaran terhadap pentingnya membaca sebagai kunci pengetahuan dan ilmu tanpa sempadan.

"Kempen ini boleh menyemarakkan minat dan tabiat membaca sebagai gaya hidup rakyat Malaysia kini dan di masa hadapan. Ia juga menggalakkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti yang bersangkut-paut dengan membaca dan aktiviti akademik," menurut pengurus dalam industri hiburan Abdul Rahim Abdul Hamid dari Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Bagi mahasiswa universiti, Muhamad Zul Azraii, kempen itu telah merapatkan jurang antara masyarakat dan bahan bacaan selain daripada memupuk tabiat suka membaca dalam kalangan orang ramai.

Penjawat awam dan ibu kepada tiga orang anak, Zaida Zainal berkata: "Kempen Membaca telah membina satu masyarakat yang berilmu, yang berupaya untuk berfikir dan bertindak secara kreatif, kritikal dan konstruktif melalui pembacaan.

"Tiada apa yang merugikan dengan membaca, malah aktiviti ini memang menguntungkan sekali," katanya.

'Bangsa Membaca Bangsa Berjaya'. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Salahkah berhimpun?

Artikel Lain