suria

Ba'Kelalan "puncak angin" yang menyimpan berjuta rahsia

PERJALANAN selama 45 minit dari Bandaraya Pelancongan Miri di utara Sarawak ke Ba'Kelalan dengan pesawat Twin Otter milik MasWing sambil menikmati landskap menghijau kawasan sekitar Taman Negara Mulu terasa begitu singkat.

Sepanjang perjalanan itu, penumpangnya terpegun dengan keindahan Taman Negara Mulu, Gunung Murud setinggi 2,438 meter (gunung tertinggi di Sarawak) serta Batu Lawi setinggi 2,046 meter.

Kedatangan pelawat luar ke bumi Lun Bawang yang terdiri daripada suku kaum Orang Ulu di utara Sarawak dengan sambutan irama merdu tiupan seruling buluh yang dipanggil "ngapu" oleh sekumpulan kaum ibu suku Lun Bawang lengkap berpakaian tradisional bagaikan petanda mereka sememangnya sentiasa dialualukan untuk datang ke Ba'Kelalan.

Acara penuh tradisi disertai tiupan angin yang dingin di bawah 20 darjah celsius sekitar pukul 9 pagi di padang terbang Ba'Kelalan pada kedudukan kira-kira 1,000 meter dari paras laut kepada sekumpulan jemputan dari Pelancongan Malaysia (TM), Lambaga Pelancongan Sarawak (STB) dan kumpulan media barubaru ini sememangnya unik.

Walaupun pada mulanya nampak pemalu kaum Lun Bawang yang mempunyai senyuman yang menawan dan begitu mesra dengan kedatangan pelawat luar sememangmemangnya amat mengalualukan sesiapa sahaja yang datang.

Ba'Kelalan iaitu "Ba" bermaksud padi manakala Kelalan pula adalah nama sebatang sungai mempunyai beberapa kampung Lun Bawang iaitu Buduk Nur, Long Langai, Long Lemumut, Long Ritan, Long Rusu, Pa Tawing, Buduk Bui, Buduk Aru dan Long Rangat.

MASYARAKAT 'MUSANG'

Kehidupan masyarakat Lun Bawang tidak dapat dipisahkan dengan alam semulajadi kerana ia adalah bukti dan tanda kesyukuran kepada yang maha kuasa kerana memberi mereka tanah yang subur dan kehidupan yang lebih baik. Pemandangan dari atas Kampung Buduk Bui kira-kira 1000 meter dari paras laut yang bermaksud puncak angin membuktikan Ba'Kelalan sememangnya bumi bertuah kerana bukan sahaja memiliki tanah yang subur malah masyarakat yang hidup penuh rukun dan damai selain saling tolong-menolong antara satu sama lain.

Berat sama dipikul ringan sama dijinjing, dengan hanya mempunyai kira-kira 1,500 kepadatan penduduk Ba'Kelalan bergantung sepenuhnya dengan tradisi "musang" yang bermaksud bergotong-royong mengerjakan apa sahaja pekerjaan harian seperti bersawah padi, membuka tanah dan mengadakan majlis di kawasan kampung.

Ketua Kampung Singai, Talal Buduk Ba Kelalan, Berark Tadem berkata dengan mengamalkan budaya musang, tidak menjadi masalah kepada penduduk di Ba'Kelalan meneruskan kehidupan tanpa mengeluarkan kos untuk mengerjakan sawah padi yang terkenal dengan panggilan Lembah Padi Adan.

Selain padi adan, Ba'Kelalan juga mempunyai satu lagi sumber mineral yang amat berkhasiat iaitu garam gunung ataupun panggilan tempatannya 'tuchuk' yang boleh diperoleh di beberapa kawasan di tanah tinggi terbabit.

EPAL PRODUK PELANCONGAN BARU

Anggota Parlimen Lawas Datuk Hendry Sum Agong berkata Ba'Kelalan semakin dikenali bukan saja di kalangan pelawat tempatan malah pihak pelancong dari luar negara.

Beliau berkata usaha pihak Borneo Jungle Safari Sdn Bhd dan Pelancongan Malaysia dalam mempromosikan Pesta Epal yang masuk tahun ketiga di Ba'Kelalan seharusnya menjadi satu langkah permulaan yang baik dalam mengetengah produk pelancongan baru Sarawak kepada dunia luar.

"Walaupun Ba'Kelalan jauh terpisah dengan dunia luar berikutan kurang sistem perhubungan darat yang baik, namun sekurangkurangnya kita masih mempunyai "Raja Langit" iaitu perkhidmatan udara luar bandar (RAs) yang dikendalikan oleh pihak MasWing," katanya ketika berucap merasmikan Pesta Epal di Apple Lodge Ba'Kelalan di sini yang turut dihadiri media asing dan tempatan selain penduduk setempat.

Katanya, perkhidmatan RAS menggunakan pesawat Twin Otter milik MasWing sebanyak tiga kali seminggu dari Miri dan Lawas memudahkan penduduk tempatan berkomunikasi dengan dunia luar selain untuk kemudahan pelancong melawat Ba'Kelalan.

Hendry berkata keindahan alam semulajadi yang masih lagi belum terusik, keunikan kebudayaan kaum Lun Bawang serta produk terbarunya iaitu Pesta Epal pastinya mampu melambai kehadiran pelancong ke Ba'Kelalan.

KAJIAN

Sementara itu Mutang Tagal, 50, anak kepada pemilik ladang epal pertama di Malaysia berkata benih epal Ba'Kelalan berasal dari Jawa Timur Indonesia yang pertama kali dibawa oleh bapa saudaranya Andrew Balang Paran pada tahun 1988.

Katanya, epal Ba'Kelalan yang lebih dikenali sebagai epal Manalagi di Jawa Timur didapati mampu hidup subur di kawasan Ba'Kelalan yang suhunya sekitar 20 darjah celsius.

"Terdapat beberapa spesies epal yang kita mula tanam di sini seperti epal Ba'kelalan (Manalagi), Rome Beauty, Lady williams, Tropical Beauty dan Anna Epal," katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini.

Beliau berkata, ketika ini 11 pelajar dari Fakulti Pertanian dan Makanan Universiti Putra Malaysia (UPM) kampus Bintulu sedang membuat kajian berhubung pokok epal di Ba'Kelalan.

Menurutnya pencapaian kajian tersebut penting untuk memastikan pokok epal yang mampu hidup sekitar 25 hingga 30 tahun dapat dikomersialkan di Ba'Kelalan seperti yang dilakukan di Jawa Timur.

TAMBAH JUMLAH POKOK

Pemilik ladang epal Ba'Kelalan, Tagar Paran, 75, generasi kelima Lun Bawang yang telah menetap di Ba'Kelalan berkata, setelah lebih 20 tahun terbabit dalam penanaman epal dia yakin pokok tersebut boleh ditanam dengan lebih meluas di kawasan Ba'Kelalan yang mempunyai iklim yang sejuk atas faktor ketinggian dari paras laut.

Katanya, selepas berjaya menanam kirakira 300 pokok epal sejak 1991 dia dan anaknya Mutang mahu menambah jumlah pokok epal yang sedia ada selain mencari beberapa lagi spesies epal yang sesuai dengan tanah dan cuaca di Ba'Kelalan.

"Kita di Ba'Kelalan merancang untuk menanam kira-kira 4,000 lagi pokok epal di kawasan ini selepas kajayaan menanam epal sejak 20 tahun lepas," katanya yang juga lebih mesra dengan panggilan Pak Tagal di kalangan penduduk tempatan.

Menurutnya, kebanyakan epal yang dihasilkan di Ba'Kelalan dihantar ke pekan Lawas menggunakan jalan darat yang mangambil masa kirakira lima jam bergantung kepada cuaca selain dihantar ke Kota Kinabalu.

Beliau berkata, selain boleh dikomersialkan epal Ba'Kelalan boleh menjadi satu lagi tarikan pelancongan di kawasan tersebut selain keindahan alam semulajadi serta udaranya yang nyaman.

KEBANGGAAN MASYARAKAT

Masa berlalu begitu pantas sekali, empat hari berada di Ba'kelalan pastinya tidak cukup untuk membongkar rahsia kehidupan suku kaum Lun Bawang di Puncak Angin Ba'Kelalan yang jauh terpisah dengan dunia luar.

Tepat jam 4.45 petang seren berkumandang di sekitar landasan terbang Ba'Kelalan sebagai tanda kedatangan pesawat dari luar sekaligus memberi amaran kepada penduduk setempat agar tidak melalui landasan terbang yang hanya terletak kirakira 40 meter dari kampung.

Walaupun berat rasanya kaki untuk melangkah masuk ke pesawat Twin Otter MasWing yang akan membawa kumpulan media tempatan dan nasional keluar dari lembah Ba'Kelalan, namun hakikat harus diterima Ba'Kelalan sememangnya ada daya tarikan komersial khasnya dari segi ekopelancongan.

Pesawat 19 tempat duduk yang mampu membawa muatan sekitar 1,200 kilogram meluncur laju di landasan terbang Ba'Kelalan dengan lambaian mesra penduduk kampung.

Sedikit demi sedikit lembah Ba'Kelalan yang menjadi kebanggaan masyarakat Lun Bawang hilang di sebalik awan yang menjadi perisai utama kepada rahsia Lun Bawang yang belum tersingkap sepenuhnya. BERNAMA

Artikel Lain