suria

Profesion jururawat bukan lagi monopoli wanita

WALAUPUN sebahagian besar anggota masyarakat masih menganggap bidang kejururawatan lebih sesuai bagi wanita, namun beberapa jururawat lelaki yang menceburi bidang itu, bukan saja berjaya membuktikan kebolehan mereka, malah berbangga dengan profesion mereka.

Seorang daripada mereka ialah Mohd Hafiz Hamzah, yang bertugas di Hospital Sultan Abdul Halim di Sungai Petani sejak tiga tahun lepas.

"Saya mendapat tahu tentang profesion kejururawatan semasa mengunjungi ekspo kerjaya selepas mengambil peperiksaan SPM.

Minat saya terhadap bidang ini cukup mendalam dan sejak itu, saya tidak rasa menyesal," katanya.

Bercakap kepada Bernama pada sambutan Hari Jururawat Antarabangsa yang dirasmikan Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini, Hafiz, 25, berkata walaupun terpaksa berdepan dengan pelbagai cabaran semasa bertugas di Cawangan Pembedahan Umum, namun pekerjaan itu menawarkan masa depan yang cerah.

"Prospeknya sangat baik. Jururawat yang cukup terlatih, terutama mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang tertentu, sentiasa mendapat permintaan tinggi dalam keadaan sekarang di mana orang amat mementingkan penjagaan kesihatan," kata jururawat ini yang mahir dalam bidang penjagaan rapi. Bagi Muhamad Kamil Che Hasan, 25, yang bertugas di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan sejak enam bulan lepas, kerjaya sebagai jururawat merupakan permulaan bagi suatu perjalanan yang cukup menarik.

"Saya belajar dalam bidang Sains Kesihatan dan Kejururawatan di USM dan saya memilih pengkhususan dalam bidang kejururawatan kerana meminatinya, walaupun tidak ramai pelajar lelaki memilihnya.

"Keluarga saya memberi sokongan kerana memilih kerjaya ini. Tak ada masalah daripada segi penerimaan oleh rakan setugas daripada kaum wanita serta rakanrakan lain dan mereka sentiasa bersedia memberi tunjuk ajar kepada saya dalam bidang ini," katanya.

Sebaliknya, kata Muhammad Kamil, diskriminasi datang daripada masyarakat umum, yang masih menganggap bidang kejururawatan merupakan profesion khusus bagi wanita.

"Pandangan ini perlu diperbetulkan. Sebenarnya, bidang ini menawarkan banyak peluang kepada lelaki untuk meningkat dalam kerjaya mereka.

"Saya harap lebih banyak lelaki memilih kerjaya dalam bidang kejururawatan kerana dalam beberapa kes yang pernah saya lalui, pesakit lelaki lebih selesa berurusan dengan jururawat lelaki, terutama apabila ada kaitan dengan isuisu kelelakian," katanya.

Setakat ini, hanya terdapat 461 jururawat lelaki di seluruh negara, berbanding 78,483 jururawat wanita.

Terdahulu, semasa bercakap kepada pemberita, Liow berkata beliau ingin melihat lebih banyak lelaki menceburi bidang itu pada masa akan datang.

Katanya kementerian berkenaan komited untuk menambah jumlah jururawat, terutama dalam bidang pengkhususan dan sub pengkhususan seperti penjagaan koronari dan paediatrik.

Beliau juga berharap dapat meningkatkan nisbah jururawat:pesakit daripada 1:375 sekarang kepada 1:200 menjelang akhir tahun 2015.

Katanya kini, terdapat 64 kolej kejururawatan di seluruh negara yang mengeluarkan purata 6,000 jururawat setiap tahun.

Liow berkata beliau akan mencadangkan kepada Jemaah Menteri supaya mewartakan 12 Mei sebagai Hari Jururawat Malaysia. BERNAMA

Artikel Lain