suria

Gandingan polis-masyarakat jadikan PJ bandar selamat

PERSEPSIsebahagian besar masyarakat bahawa usaha membanteras dan memerangi jenayah menjadi tanggungjawab pasukan polis timbul kerana beranggapan polis mempunyai kuasa selain kecekapan dan peralatan moden bagi memudahkan usaha itu.

Hinggakan ada yang menyatakan tidak perlu bertindak atau berbuat sesuatu untuk membantu polis dalam menjalankan tugas membanteras jenayah, malah ada yang menganggap polis menjaga keselamatan orang ramai setiap masa walaupun dalam waktu tidur.

Meskipun ada kebenaran tetapi persepsi bahawa membanteras jenayah merupakan kerja polis semata-mata, akhirnya hanya akan membentuk satu sikap tidak endah orang awam terhadap apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Polis juga sering dituding jari kalaupun tidak dipersalahkan apabila meningkatnya kadar kejadian jenayah pada satusatu masa. Polis pula terpaksa menelan semua itu dengan penuh hemah.

Sedangkan masyarakat sebenarnya mempunyai tanggungjawab yang tidak kurang besarnya untuk membantu pasukan polis kerana gandingan keduaduanya adalah yang terbaik bagi menjadikan usaha membanteras jenayah dapat dilaksanakan dengan jayanya.

JENAYAH PENYAKIT SOSIAL DALAM MASYARAKAT

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata sikap lepas tangan dengan menyerahkan bulat-bulat tugas membanteras jenayah kepada pihak polis adalah sesuatu yang tidak adil memandangkan jenayah adalah penyakit sosial yang wujud dalam masyarakat. Beliau berkata penglibatan masyarakat sebagai mata dan telinga juga perantara kepada polis dalam melaksanakan tugas pencegahan dan kepolisan mampu mencegah kegiatan jenayah daripada meningkat.

"Penjenayah berada dan datang dari masyarakat sendiri dan sering menimbulkan banyak masalah serta kesulitan kepada semua pihak justeru mahu atau tidak, masyarakat tetap mempunyai peranan dalam membanteras atau mengurangkan angka kes jenayah.

"Kita bukanlah mahu meletakkan beban ke atas bahu masyarakat tetapi tanpa penglibatan mereka, kita akan berhadapan dengan usaha yang tidak berkesudahan," katanya baru-baru ini.

Arjunaidi merupakan antara contoh pegawai polis yang dilihat begitu menghargai masyarakat apabila saban minggu turun padang dengan menjalankan program kemasyarakatan seperti sesi dialog bersama penduduk, seminar dan karnival mini kerana bagi beliau polis merupakan orang yang paling hampir dengan masyarakat dan begitulah sebaliknya.

Beliau yang sentiasa memikirkan idea yang boleh merapatkan hubungan masyarakat dengan polis menganggap program yang dijayakan seperti itu mampu membantu polis memerangi kegiatan jenayah melalui penyaluran maklumat daripada orang ramai sekaligus mendekatkan hubungan antara kedua-duanya.

KEBERKESANAN PROGRAM KEMASYARAKATAN

Beliau berkata keberkesanan program yang diatur bagi memberi kesedaran kepada masyarakat telah membawa kepada penurunan kes jenayah khususnya di Petaling Jaya dengan kadar jenayah di kawasan itu turun sebanyak 11 peratus dalam dua bulan pertama tahun ini berbanding dengan tempoh yang sama tahun lepas.

Justeru itu, katanya antara inisiatif terbaru yang dirangka oleh IPD PJ dalam memberi kesedaran kepada masyarakat bersama-sama memerangi jenayah adalah seperti program 'Face to Face' yang sebelum ini dikenali sebagai 'Hari Bertemu Pelanggan'.

"Kalau dahulu Hari Bertemu Pelanggan kita jalankan di balai polis tetapi kini kita ubah konsep, nama dan lokasinya kerana berdasarkan pengalaman lepas, program di balai polis tidak mendapat sambutan seperti diharapkan kerana masyarakat nampaknya masih takut untuk ke balai polis justeru kita yang akan turun padang untuk berjumpa mereka.

"Dengan pendekatan seperti itu, kita harap dapat mendekatkan diri dengan masyarakat dan mengubah persepsi negatif mereka terhadap polis. Mereka turut boleh mengeluarkan pandangan, keluhan dan berkongsi masalah yang dihadapi kepada kita", katanya.

"Untuk menyelesaikan masalah jenayah termasuk gejala sosial, kita perlu pergi dan fokuskan dari akar umbi lagi dan dengan itu baru kita tahu apakah puncanya. Kita tidak mahu hanya 'anakanak samseng' ditahan sementara induknya terus bebas", katanya tegas.

BENCI PADA PENJENAYAH

Arjunaidi berkata polis tidak dapat bertindak bersendirian dan begitu juga dengan masyarakat memandangkan masingmasing saling perlu memerlukan bagi membentuk kekuatan dalam memastikan setiap kawasan benarbenar bebas daripada unsur jenayah.

"Kawasan di bawah IPD PJ luas, dengan keanggotaan yang terhad sudah tentulah polis tidak boleh bergerak sendirian dalam usaha mengekang jenayah dan sebab itu kami memerlukan masyarakat untuk membantu", katanya.

Beliau melihat gandingan mantap itu sebagai isyarat dan amaran keras kepada penjenayah bahawa mereka terpaksa berhadapan dengan usaha bersepadu di antara pasukan polis dan masyarakat.

Bagaimanapun, katanya, jika penjenayah sedar di kalangan masyarakat kini sudah ada perasaan benci terhadap jenayah dan mereka bersedia bekerjasama dengan polis tanpa perasaan takut diugut, keadaan itu akan membantu mengurangkan jenayah.

"Penjenayah tidak akan berasa senang lagi untuk melakukan jenayah kerana masyarakat telah menunjukkan sikap bencikan jenayah.

"Pun begitu, kejayaan atau kegagalan bergantung sepenuhnya kepada komitmen warga kota", katanya.

"Pasukan polis sentiasa mengukuhkan hubungan baik dengan orang ramai untuk menjalinkan persefahaman bagi memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada mereka", katanya.

Sebagai sebuah pasukan yang sentiasa berhadapan dengan rakyat untuk mengadu permasalahan seperti kes kereta hilang, rompakan, rogol dan sebagainya, anggota polis dibekalkan dengan psikologi yang kuat.

Beliau berkata meskipun penguatkuasa diancam fizikal dan psikologi, itu semua bukanlah halangan daripada melaksanakan tanggungjawab dan menunjukkan prestasi serta mutu kerja yang berkualiti selain berupaya mengurangkan kadar jenayah.

KELEMAHAN PELAN PERUMAHAN

Dalam pada itu beliau tidak menafikan kelemahan reka bentuk dan struktur pelan kawasan perumahan serta suasana kejiranan juga merupakan antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan kes jenayah terutama kes pecah rumah dan samun.

Arjunaidi berkata kelemahan tersebut walaupun tidak disengajakan boleh menjadikan persekitaran kawasan perumahan tidak selamat dan mudah terdedah kepada ancaman jenayah.

"Ini antara faktor yang tidak pernah terlintas oleh kita, tetapi inilah realitinya. Pelan yang salah menjadikan persekitaran yang bermasalah. Justeru itu kini saya banyak berbincang dengan pemaju dalam usaha memastikan persekitaran yang lebih selamat", katanya.

Beliau berkata pelan yang lemah ialah seperti kawasan perumahan yang terlalu banyak laluan keluar dan masuk dan ketiadaan pagar atau tembok yang memisahkan kawasan perumahan dengan kawasan hutan dan bukit yang membolehkan penjenayah keluar masuk dan menyembunyikan diri.

"Lokasi pemasangan tiang telefon yang tidak bersesuaian dan diletakkan terlalu dekat di belakang rumah turut memberi kesempatan dan kesenangan kepada penjenayah untuk memanjat dan memecah masuk ke dalam rumah", katanya.

Meskipun Polis Diraja Malaysia telah melakukan pelbagai tindakan dalam usaha menurunkan kadar jenayah dengan memantapkan pasukan itu tetapi usaha tersebut tidak boleh berhenti sebegitu sahaja.

Usaha itu perlu diteruskan dengan lebih berkesan sejajar peredaran masa yang mana suasana yang lebih rumit akan sentiasa dihadapi kelak.

Sekiranya berjaya, ia pasti akan menjanjikan persekitaran yang lebih kondusif dan selamat bukan sahaja di Petaling Jaya malahan di seluruh negara.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain