suria

Ke mana hala tuju MCA selepas 60 tahun?

KUALA LUMPUR:"Rakyat Cina kini berdiri megah!"

Itulah ungkapan popular negarawan ternama Mao Tse Tung selepas mengisytiharkan penubuhan negara paling padat di dunia Republik Rakyat China di dataran Tianamen di Beijing pada 1 Okt, 1949.

Kini hampir 60 tahun kemudian, termasuk selepas 30 tahun melaksanakan dasar pintu terbuka, China akhirnya mendominasi pentas antarabangsa, mengawal kira-kira 30 peratus ekonomi dunia.

Walaupun China sebagai sebuah negara telah mencorakkan hala tujunya dengan jayanya, Persatuan Cina Malaysia atau lebih dikenali sebagai MCA masih berada di persimpangan untuk mencari azimat bagi menjamin ia terus diterima kaum itu di masa depan.

Parti politik kaum Cina terbesar di negara ini diasaskan pada tahun yang sama dengan penubuhan kuasa besar China, tetapi beberapa bulan lebih awal. Parti itu ditubuhkan pada 27 Feb 1949 dan menyambut ulang tahun ke-60 hari ini.

Tatkala perancangan diatur bagi majlis sambutan ulang tahun Ahad ini di ibu pejabat parti, soalan penting yang bermain di fikiran orang ramai dan anggota parti ialah sama ada MCA telah menjalankkan tanggungjawab dengan berkesan sebagai wadah politik kaum Cina di Malaysia.

Jika jawapan kepada soalan itu adalah ya, soalan seterusnya yang timbul di fikiran orang ramai ialah ke mana hala tuju parti dengan lebih satu juta anggota itu selepas 60 tahun?

Itulah apa ingin dilakukan oleh pucuk pimpinan parti Ahad ini. Sebanyak 2,500 pemimpin akar umbi yang akan berhimpun di Dewan San Choon di ibu pejabat MCA, akan diberikan butiran mengenai hala tuju parti itu untuk tahuntahun akan datang.

Bertemakan "60 Tahun Membina Impian, Komitmen dan Perkhidmatan Sepanjang Hayat", parti itu sudah menetapkan agenda dalam usaha untuk melakukan pembaharuan bagi menjadi sebuah parti pilihan rakyat, lebih-lebih lagi selepas mengalami kekalahan paling teruk dalam pilihan raya umum 8 Mac, 2008 sejak negara merdeka.

Dengan berbekalkan agenda pembaharuan inilah Datuk Seri Ong Tee Keat memenangi jawatan presiden parti pada pemilihan MCA Oktober tahun lepas.

"Cabaran terbesar sekarang ialah bagaimana untuk memulihkan semula keyakinan kaum Cina terhadap MCA. Selepas pilihan raya umum tahun lepas, masyarakat Cina secara umumnya masih kecewa dengan kerajaan Barisan Nasional (BN). Inilah perkara yang paling mencabar," kata bekas setiausaha agung MCA Tan Sri Dr Ting Chew Peh kepada Bernama.

Beliau berkata MCA perlu menawarkan "sesuatu lebih konkrit" dan tidak membazirkan banyak masa terhadap isu remeh atau peribadi dalam menentukan hala tuju politiknya. "Mereka bercakap mengenai perubahan, tetapi tidak banyak yang berubah. Rakyat masih belum melihat apa-apa perubahan yang konkrit. Sudah tiba masanya bagi pucuk pimpinan menunjukkan hala tuju yang jelas untuk anggota.

"Apa yang penting ialah tindakan, bukan retorik. Umumnya rakyat mahu melihat perubahan. Itu jelas," kata Dr Ting.

Pengerusi Majlis Anggota Veteran parti Datuk Yap Pian Hon berpendapat MCA patut menimbangkan pilihan untuk mengguna pakai ideologi bahawa parti itu untuk semua rakyat Malaysia tanpa mengira bangsa dan agama.

Beliau berkata parti boleh menggunakan pengalaman 60 tahun perjuangan dalam politik bagi pendekatan itu.

"Untuk tahun-tahun akan datang, adalah penting bagi anggota parti untuk memahami bahawa akan terdapat sistem dua parti di negara ini. Sama ada ia berlaku atau tidak, kita perlu hadapinya.

"Dengan itu, kita kini benar-benar berada di persimpangan. Anda berubah atau diubah. Itulah hakikatnya," katanya dan menurutnya parti juga perlu mempunyai iltizam untuk berubah.

Bekas timbalan presiden MCA Tan Sri Lim Ah Lek pula menegaskan parti itu perlu melakukan pembaharuan drastik dan berani, bukan sahaja daripada segi politik tetapi juga mengenai tatalaku anggotanya.

Beliau berkata, ahli politik MCA patut dianggap sebagai bersih, bukan sahaja daripada segi rasuah dan mana-mana salah laku, tetapi juga daripada segi moral.

"Kita perlu mengambil tindakan. Tidak boleh sembunyikannya selama-lamanya. Perlu tunjukkan kepada anggota, khususnya akar umbi yang tidak siapa mengatasi undang-undang.

"Kita perlu berubah, lakukan pembaharuan dan lakukannya dengan berani. Kita perlu memberikan perkhidmatan terbaik, tidak boleh berdolak-dalik," kata bekas Menteri Sumber Manusia itu.

Ong, dalam manifesto beliau pada pemilihan parti tahun lepas menekankan perlunya parti melakukan penjenamaan semula bermula dengan pembaharuan berdasarkan aspirasi rakyat.

Ini termasuk pemilihan secara langsung presiden MCA, pemilihan jawatankuasa badan perhubungan negeri, sistem pemilihan pemegang jawatan, memperluaskan rangkaian komuniti MCA melalui interaksi antara etnik.

Kini selepas empat bulan, Ong dijangka menggunakan majlis sambutan ulang tahun ke-60 itu untuk memberikan butiran pembaharuan berkenaan termasuk cara transformasi yang akan dilakukan.

Ong, dalam temu bual yang disiarkan dalam laman web MCA, berkata pembaharuan berkenaan akan dibuat berdasarkan senarai kehendak yang dikemukakan oleh rakyat dan anggota parti.

"Kami akan mengenal pasti sebarang isu atau masalah yang sedang dihadapi masyarakat Cina dan akan mengkaji secara serius bagaimana untuk menyelesaikannya. Jika kami gagal menyelesaikan isu itu sekarang, kami tidak boleh meneruskan untuk memperjuangkan kepentingan rakyat," beliau dipetik sebagai berkata demikian.

Bagaimanapun, ia tampak lebih mudah daripada sebenarnya. Secara realiti bukan perkara mudah untuk melakukan perubahan yang dapat memberikan impak sebenar kepada rakyat.

Dan untuk memberikan impak sebenar terhadap kaum Cina Malaysia, MCA perlu bergerak dengan satu suara, satu hala tuju dan lebih penting memperjuangkan kepentingan kaum itu pada setiap masa.BERNAMA

Artikel Berikut

Sometimes it’s nice to be No. 1

Artikel Lain