suria

Malaysia pengeluar utama keju mozzarella?

Pemilik Friendly Farms Norzana Ghazali, 25, (kanan), suaminya Michael Bruschi, 53 (dua dari kanan) dan staf mereka menunjukkan keju mozzarella yang dihasilkan pada hari itu baru-baru ini di Langkawi. foto Bernama
Pemilik Friendly Farms Norzana Ghazali, 25, (kanan), suaminya Michael Bruschi, 53 (dua dari kanan) dan staf mereka menunjukkan keju mozzarella yang dihasilkan pada hari itu baru-baru ini di Langkawi. foto Bernama
Pemilik Friendly Farms Norzana Ghazali, 25, (kanan), suaminya Michael Bruschi, 53 (dua dari kanan) dan staf mereka menunjukkan keju mozzarella yang dihasilkan pada hari itu baru-baru ini di Langkawi. foto Bernama

MALAYSIA memiliki permata tersembunyi yang mungkin hanya diketahui oleh segelintir orang sahaja : kedai kecil di Langkawi yang menghasilkan keju mozzarella buatan tempatan.

Bukan sahaja keju ini dihasilkan menggunakan susu kerbau, ia juga buatan tangan, antara ciri-ciri utama yang menjamin kelazatan dan keaslian mozzarella.

Namun tidak ramai yang tahu kewujudan kedai itu di Friendly Farms kerana sejak dibuka empat bulan lepas, ia hanya menjual daging halal dan organik.

Perniagaan mozzarella hanya bermula kira-kira tiga minggu lepas.

Pemiliknya ialah Norzana Ghazali, ahli perniagaan berusia 25 tahun yang berkahwin dengan Michael Bruschi, ahli perniagaan Itali yang berpengalaman dalam pembuatan keju.

Norzana, atau lebih mesra dengan panggilan Yana, memberitahu ramai yang ragu-ragu semasa dia memberitahu rancangannya untuk memulakan perniagaan membuat mozzarella.

"Ramai yang tidak fikir ia boleh dilaksanakan, sebab jika boleh, sudah pasti ada yang telah membuatnya lama dahulu lagi," katanya.

"Namun, seperti yang anda dapat lihat, ia terlaksana, kami telah berjaya menghasilkan mozzarella buatan tangan dan habis dijual setiap hari, jadi ia tidak mustahil untuk dilakukan," katanya.

Bruschi, 53, yang bersependapat dengan isterinya berkata bukan sahaja mozzarella boleh dihasilkan di Malaysia tetapi malahan dengan kualiti yang lebih baik berbanding dari Itali.

Bagaimana dia boleh menyokong hujahnya ini?

"Cubalah rasa," katanya dengan mudah.

Beliau menjelaskan antara pelanggannya termasuklah chef berpengalaman daripada hotel-hotel terkemuka di pulau peranginan ini seperti Four Seasons dan the Datai, yang selama ini menggunakan mozzarella buatan tangan diimport tetapi kagum dengan mozzarella Friendly Farms selepas merasanya.

"Mereka tak mempercayainya, yang mozzarella sebaik itu boleh dihasilkan daripada susu kerbau kita, dan sejak itu permintaan hampir tidak henti-henti," katanya.

Mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamed merupakan antara yang pernah merasai mozzarella segar mereka dan menceritakan tentang kelazatannya dalam blog beliau www.chedet.com.

Selain daripada hotel-hotel, mozzarella Friendly Farms juga menjadi pilihan utama ekspatriat yang tinggal di Langkawi, termasuk mereka yang tinggal di kapal persiaran mewah di Telaga Harbour.

Penulis juga turut berpeluang merasai mozzarella istimewa itu yang sememangnya begitu lazat dan tidak seperti jenis yang ada dalam pasaran.

Bruschi menjelaskan keju yang ada dalam pasaran bukan mozzarella tetapi "fior di latte", yang dibuat daripada susu lembu.

Harganya lebih berpatutan kepada pengguna dan kos untuk membuatnya lebih murah dan banyak digunakan dalam industri makanan, terutamanya restoran pizza.

Berikutan kesukaran mendapatkan susu kerbau, Friendly Farms juga menghasilkan fior di latte, meskipun susu perlu didapatkan dari banyak tempat di pulau ini serta di tanah besar.

"Kita boleh menghasilkan keju yang bermutu dan lazat, menghasilkan apa juga yang negara lain keluarkan, dan malahan melakukannya dengan lebih baik lagi," kata Bruschi.

"Ia boleh menjadi industri bernilai berbilion-bilion ringgit bagi Malaysia, ia telahpun menjadi industri bernilai berbilion-bilion dolar di dunia. Tidak mustahil untuk merealisasikannya, anda hanya perlu mahu melakukannya," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain