suria

Perlu lebih kefahaman tentang HIV dan Aids

PADA 1981, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat mengeluarkan amaran mengenai satu bentuk pneumonia luar biasa yang membabitkan komuniti lelaki homoseksual di Los Angeles. Penyakit itu kemudian disahkan ada kaitan dengan Aids (Acquired Immune Deficiency Syndrome atau Sindrom Kurang Daya Tahan Penyakit)dan pada 1984, HIV (Human Immunodeficiency Syndrome) dikenalpasti sebagai virus yang menyebabkan Aids.

Kes HIV pertama di Malaysia disahkan pada 1986. Setahun sebelumnya, kerajaan Malaysia menubuhkan Pasukan Petugas Aids Kebangsaan untuk menggubal dasar dan menyelaraskan aktiviti pencegahan dan kawalan Aids.

Sebuah Jawatankuasa Antara Kementerian untuk menasihatkan Kabinet mengenai dasar, isu dan strategi berkaitan HIV dan Aids dibentuk pada 1992.

Pada tahun yang sama, Majlis Aids Malaysia (MAC) ditubuhkan sebagai badan yang menaungi Pertubuhan Bukan Kerajaan bagi mempelopori usaha menyekat penyebaran HIV dan Aids.

Hampir tiga dekad sejak dunia dikejutkan dengan realiti Aids, namun penyakit ini masih tidak dapat dibendung dan statistik 2008 UNAids menunjukkan beberapa maklumat yang perlu diberi perhatian berat. HIV dan Aids sejagat pada 2007

Apa yang menggemparkan ialah hakikat bukan sahaja semakin ramai wanita dijangkiti HIV tetapi juga golongan muda dan kanak-kanak di seluruh dunia.

Berdasarkan Laporan UNAids 2008, kira-kira 33 juta orang di seluruh dunia dijangkiti virus itu pada 2007 atau nisbah 1 dalam 180 orang, jika mengambil kira jumlah penduduk dunia seramai 6 bilion orang.

Secara keseluruhannya, dianggarkan 2 juta orang meninggal dunia kerana Aids pada 2007.

Wanita adalah separuh daripada jumlah orang yang hidup dengan HIV secara global dan dianggarkan 45 peratus daripada jangkitan baru di seluruh dunia terdiri daripada golongan muda berusia antara 15 dan 24 tahun.

Menurut laporan itu, dianggarkan 370,000 kanak-kanak bawah usia 15 tahun dijangkiti HIV pada 2007.

"Di luar Afrika, bahagian dunia yang menjadi perhatian ialah Asia Selatan dan Asia Tenggara. Sekiranya HIV melanda Asia seperti apa yang berlaku di Afrika, saya fikir keadaan ini akan menjadi lebih teruk daripada krisis kewangan yang kita hadapi sekarang.

"UNAids dan WHO (Pertubuhan Kesihatan Sedunia) juga bimbang dengan perkara ini. Itulah sebabnya mengapa banyak perhatian diberi kepada Asia kerana bahaya HIV boleh meledak di sini," demikian pandangan Dr Christopher Lee, Presiden Malaysian Society for HIV Medicine (MaSHM) pada bengkel media mengenai Kanak-Kanak dan HIV dan Aids di sini baru-baru ini. Senario Malaysia

Di negara ini, keadaan juga tidak memberangsangkan. Berdasarkan angka-angka Kementerian Kesihatan, antara 1986 hingga 2007, seramai 80,938 orang diuji positif HIV.

Sehingga 31 Dis 2007, seramai 10,334 diketahui meninggal dunia kerana Aids.

Kebanyakan kes HIV (71.8 peratus) di Malaysia adalah di kalangan pengguna dadah yang menggunan kaedah suntikan (IDU).

Kira-kira 36 peratus jangkitan terdiri di kalangan golongan muda antara usia 13 dan 29 tahun.

Kenaikan yang membimbangkan dilaporkan dari segi jangkitan di kalangan wanita dan gadis menerusi hubungan heterosexual.

Pada 1998, hanya enam peratus kes baru HIV yang dilaporkan melibatkan wanita dan gadis. Sepuluh tahun kemudian pada 1997, kes baru HIV yang dilaporkan menunjukkan jumlah jangkitan baru di kalangan wanita meningkat kepada 16 peratus.

"Pada satu ketika IDU adalah punca utama merebaknya jangkitan HIV tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, trend ini telah stabil. Sekarang jangkitan heterosexual (hubungan seksual antara lelaki dan perempuan) secara perlahan menunjukkan peningkatan. Pada peringkat global, hubungan heterosexual adalah cara utama jangkitan HIV dan apabila wanita dijangkiti HIV, kanak-kanak juga akan mendapat HIV," kata Dr Kamarul Azahar Mohd Razali, Perunding Penyakit Berjangkit Pediatrik, Institut Pediatrik, Hospital Kuala Lumpur.

Jangkitan HIV di kalangan wanita

Mengenai semakin ramai wanita dijangkiti HIV, Dr Lee yang juga Ketua dan Perunding Kanan Unit Penyakit Berjangkit, Hospital Sungai Buloh berkata keadaan itu bukan sahaja satu petanda kurang baik malahan trend yang membimbangkan.

"Hari ini peratus wanita dijangkiti HIV semakin membesar. Daripada angka terkumpul kira-kira 81,000 yang dijangkiti HIV di Malaysia, 91.5 peratus atau 74,104 ialah lelaki sementara 8.5 peratus atau 6,834, wanita.

"Pada tahun-tahun awal, perkadaran orang yang hidup dengan HIV di Malaysia ialah 99.5 peratus lelaki dan hanya 0.5 peratus wanita," katanya.

Beliau berkata sekiranya wabak di Malaysia terus meningkat, faktor utama yang mungkin menyumbang kepada peningkatan ini bukan pengguna dadah tetapi jangkitan menerusi hubungan heteroseksual.

"Kebanyakan daripada kita akan melakukan hubungan seks pada satu peringkat kehidupan kita. Di samping menggunakan kondom, sekiranya seseorang itu monogami, risikonya rendah. Jika tidak monogami tetapi menggunakan kondom, risikonya juga rendah.

"Tetapi sudah tentunya risiko menjadi tinggi dan lebih tinggi sekiranya jumlah virus yang tersebar dalam masyarakat juga tinggi kerana risiko bertembung dengan orang yang positif HIV menerusi pelbagai perlakuan yang berisiko juga tinggi.

"Apabila semakin ramai wanita dijangkiti HIV, ini petanda virus ini mungkin sedang merebak dalam masyarakat yang lebih luas.

Sebahagian besar wanita yang dijangkiti virus ini ialah suri rumah tangga. Mereka ini mungkin bekerja tetapi mereka juga isteri dan mendapat virus ini daripada suami mereka," Dr Lee memberitahu Bernama.

Menurut beliau, di bawah Akta Penyakit Berjangkit, doktor yang mendiagnosis kes HIV mesti melaporkan kepada Kementerian Kesihatan.

"Angkanya mungkin lebih tinggi kerana ada yang tidak mendapatkan rawatan atau bantuan. Kebanyakannya merasa aib untuk berbuat demikian dan kebanyakannya juga pengguna dadah," kata Dr Lee, sambil menjelaskan IDU juga terlibat dengan pekerja seks.

Menurut beliau, berdasarkan perangkaan yang ada, 74 peratus orang yang dijangkiti HIV adalah IDU, 14.4 peratus kumpulan heteroseksual dan 1.5 peratus MSM (Lelaki Yang Melakukan Seks Dengan Lelaki).

Mengenai rawatan untuk orang yang positif HIV di negara ini, beliau berkata, "pihak kami telah melakukan yang sepatutnya tetapi masih banyak yang perlu dilakukan. Mereka yang dijangkiti HIV memerlukan rawatan, penjagaan dan sokongan. "Sebelum ini (1992) kami hanya ada dua jenis ubat untuk digunakan bagi merawat mereka yang positif HIV. Paling lama mereka ini hidup ialah setahun atau dua tahun. Masuk tahun ketiga, mereka semua meninggal dunia.

"Dengan ubat-ubatan yang kami ada sekarang, dapatlah kami bantu mereka untuk kehidupan yang lebih baik. Menghukum mereka adalah sesuatu yang tidak berperikemanusiaan."

Dr Lee juga berkata ibuibu yang mengandung ditawarkan untuk diuji HIV apabila mereka datang ke klinik. Sekiranya mereka positif HIV, rawatan percuma akan diberikan dan langkah itu akan mengurangkan risiko penjangkitan virus berkenaan kepada bayi mereka. Sesiapa sahaja boleh dijangkiti HIV

Menurut Dr Kamarul Azahar, HIV boleh menjangkiti sesiapa sahaja tanpa mengenal batas jantina, kaum, kedudukan dan pangkat.

"Virus ini tidak mengira siapa. Apabila ia memasuki tubuh manusia, virus ini akan menjangkiti, membiak dan akhirnya akan membunuh sel darah putih yang amat penting untuk melawan sebarang jangkitan yang menyerang tubuh manusia.

"Tetapi sejak 1985, HIV bukan lagi satu hukuman mati. Ia menjadi penyakit kronik seperti darah tinggi dan kencing manis. Tidak ada apa yang boleh membunuh virus ini tetapi dengan rawatan dan ubat-ubatan, virus ini boleh dikawal dan kualiti kehidupan mereka yang positif HIV akan menjadi lebih baik," jelasnya.

Dr Kamarul Azahar berkata bagi orang dewasa yang hidup dengan HIV, tempoh ia akan menghidap Aids mengambil masa antara 8 dan 10 tahun.

"Bagi mereka yang lebih bernasib baik, tempoh dari positif HIV kepada Aids boleh bertahan sehingga 15 tahun tetapi untuk kanak-kanak, tempohnya lebih pantas," jelas beliau.

Menurut beliau, apabila orang yang positif HIV mendapat Aids (apabila jumlah sel putih menurun sehingga tidak dapat lagi memberi perlindungan kepada sebarang jangkitan), mereka akan diberi HAART (Highly Active AntiRetroviral Therapy) untuk memperlahan jangkitan virus.

Sokongan dan penjagaan, kata Dr Kamarul adalah penting untuk orang yang positif HIV dan "sekiranya tiba masa untuk mereka menghembuskan nafas yang terakhir, kita perlu membenarkan mereka pergi tanpa mencemarkan maruah mereka." Pentingnya kaunseling dan pendidikan

Dalam soal HIV dan Aids, apa jua program yang perlu diadakan, ia mesti seiring dengan cetusan kesedaran dan perubahan tingkah laku.

Menurut Dr Lee, jangkitan menerusi hubungan seksual perlu dihentikan dan pendidikan seks di sekolah sebagai satu cara untuk mendidik golongan muda.

"Dari segi teori, pengekangan diri membantu. Langkah mengurangkan bahaya sama ada dengan pertukaran jarum atau penggantian dadah (di Malaysia kita guna methadone) tetapi tidak ada banyak data yang menunjukkan mengekang diri daripada mengguna dadah boleh mengelak jangkitan HIV.

"Dari segi jangkitan menerusi hubungan seksual, apa yang terbukti berjaya ialah penggunaan kondom. Penggunaan kondom seratus peratus di Thailand, terbukti berjaya. Dalam tempoh 67 tahun, kadar jangkitan jatuh empat kali ganda di kalangan lelaki Thai yang sihat dan berusia 21 tahun," jelas Dr Lee.

Artikel Sebelum

Open the minds of the young

Artikel Berikut

Artikel Lain