suria

Pensyarah Unimap Pakar UAS Asia

Prof Madya Dr Hazry Desa

KANGAR: Pensyarah Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Madya Dr Hazry Desa adalah antara empat rakyat Malaysia yang diiktiraf sebagai pakar dalam menghasilkan pesawat tanpa pemandu (UAV) di Asia.

Beliau yang merupakan Ketua Pusat Kecemerlangan Teknologi Sistem Tanpa Pemandu (UAS) UniMAP berkata pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa rakyat Malaysia juga mampu menguasai bidang berteknologi tinggi.

"Pengiktirafan ini adalah untuk semua warga UniMAP terutama Naib Canselor, Datuk Prof Dr Kamarudin Hussin yang sentiasa memberi sokongan kepada kami untuk menjalankan penyelidikan UAV.

"Saya berharap pengiktirafan ini akan meningkatkan minat pelajar untuk menceburi bidang UAV," katanya.

UniMAP baru-baru ini melancarkan UAV KAMA-2X dan berjaya menjual 10 unit pesawat itu kepada Aerial Imaging Sdn Bhd (AISB) bernilai RM500,000 semasa  Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA15) baru-baru ini.

KAMA-2X yang diambil sempena nama naib canselor UniMAP dijual pada harga RM50,000 seunit setelah melalui proses penyelidikan tujuh tahun.

Menurut Hazry, penyelidikan pesawat berkenaan dijalankan dengan kerjasama syarikat Drei Sohne Technology Sdn Bhd (DST) yang pada mulanya bagi digunakan untuk menyembur racun serangga pada tanaman padi di Perlis.

"Selepas melalui beberapa fasa penyelidikan, pesawat ini ditambah nilai bagi menawarkan perkhidmatan lebih menyeluruh termasuk merakam imej banjir di Kelantan baru-baru ini. Data yang diperoleh diproses dalam perkakasan komputer bagi menghasilkan lakaran imej tiga dimensi (3D)," katanya.

Beliau berkata kepakaran pakar UAV terutama di Malaysia seharusnya digunakan sebaiknya untuk manfaat negara.

Lebih ramai pelajar perlu menyambung pelajaran mereka dalam teknologi UAV bagi melahirkan ramai pakar dalam bidang itu, katanya.

Sesuai dengan kepakarannya, Hazry diberi penghormatan untuk menyampaikan ucaptama pada pameran 'The Commercial UAV Show Asia 2015' di Singapura pada 30 Jun ini. 

Unimap, UAS

Artikel Lain