suria

UUM Wujud Pelan Tranformasi 2011-2020

SINTOK: Universiti Utara Malaysia (UUM) mewujudkan Pelan Transformasi UUM 2011-2020 dalam usaha menuju matlamat menjadi sebuah universiti pengurusan, kata Naib Canselornya Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak.

Beliau berkata kerangka pelan transformasi itu dibahagikan kepada fasa pertama (2011-2015) untuk meletakkan UUM di persada nasional dan fasa kedua (2016-2020) untuk menempatkan UUM di peta akademik dunia sebagai sebuah universiti pengurusan yang dihormati.

"Dalam agenda transformasi ini juga, kita sedang berusaha kuat untuk mendapatkan pengiktirafan kerajaan sebagai sebuah Universiti Penyelidikan dalam bidang Pengurusan dan Sains Sosial pada tahun 2013," katanya ketika berucap sempena sambutan Hari Pengasasan UUM ke-28 di sini, Isnin.

Beliau berkata dalam aspek pengantarabangsaan, UUM kini boleh berbangga kerana mempunyai sejumlah 2,143 pelajar antarabangsa dari 42 buah negara. "Ternyata lokasi kita di Sintok bukan satu penghalang kepada pelajar asing memilih UUM. Mereka memilih UUM kerana kekuatan dan keunggulan bidang pengajian pengurusan dan perniagaan yang ditawarkan oleh universiti ini," katanya. "UUM berhasrat mencapai sasaran 30 peratus pelajar antarabangsa menjelang 2015 atau sekurang-kurangnya 9,000 orang. Kita sedang bekerja kuat ke arah ini dengan pelbagai usaha promosi di peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata selaras dengan matlamat menjadikan kampus UUM bersifat antarabangsa dan merealisasikan agenda pengantarabangsaan, UUM merekrut 82 tenaga akademik antarabangsa dari lebih 20 negara. Mohamed Mustafa berkata sasaran universiti adalah untuk mempunyai 10 peratus atau kira-kira 120 tenaga akademik antarabangsa daripada keseluruhan jumlah staf akademik di UUM.

"Setelah hampir tiga dekad UUM ditubuhkan, kita terus berkembang pesat sejajar dengan arus perkembangan negara dan kini UUM mempunyai kekuatan bilangan mahasiswa mencecah 33,000 orang di pelbagai peringkat pengajian.

"Kini terdapat seramai 1,200 orang staf akademik dan 1,600 orang staf pentadbiran. Dari segi program akademik, UUM kini menawarkan 37 program di peringkat Sarjana Muda dan 68 program diperingkat pasca sarjana," katanya. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain