suria

UniMAP Lancar Sistem Kesan Tahap Kemurungan Warga Kerja

KANGAR: Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) pada Rabu melancarkan sistem Saringan Minda Sihat (SMS) bagi mengesan tahap tekanan, kebimbangan dan kemurungan dalam kalangan warga kerjanya.

Naib Canselor UniMAP, Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin, melancarkan sistem saringan secara online itu yang bertujuan mewujudkan suasana kerja yang kondusif dan ceria di universiti berusia 10 tahun itu.

Pelancaran sistem yang dibangunkan oleh Pasukan Penyelidik Penyalahgunaan Dadah Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Pusat Kesihatan UniMAP itu diadakan sempena majlis ucap utama tahunan Naib Canselor UniMAP 2012 yang berlangsung di Dewan 2020 di sini.

Kamarudin berkata mereka yang merasa tertekan akibat bebanan kerja boleh mendapatkan bantuan dan khidmat nasihat pakar perubatan dan psikologi UniMAP.

"Sistem SMS ini boleh membantu mereka menyelesaikan masalah itu bagi membolehkan mereka memberi tumpuan kepada tugas dengan lebih sempurna," katanya.

Sempena majlis itu, UniMAP turut melancarkan sistem E-Performance Indicator Channel (E-PIC) yang bertujuan memantau prestasi strategi UniMAP dalam konteks kesihatan strategi secara online.

Sistem itu menyediakan segala maklumat berkenaan kesihatan strategi terutama daripada segi pencapaian, sasaran dan prestasi dan ia mempunyai keupayaan bagi kegiatan pemantauan, simulasi, notifikasi dan pengurusan pengguna.

"Secara umum sistem E-PIC memberi kemudahan kepada UniMAP bagi mengetahui dan memantau prestasi universiti dengan lebih berkesan," katanya.

Turut dilancarkan ialah sistem World Cat Local yang merupakan enjin pencarian terkini yang menghubungkan UniMAP dengan sumber maklumat ilmiah di seluruh dunia. - BERNAMA

Artikel Lain