suria

JAWATANKUASA AKAN DITUBUH UNTUK MEMINDA AUKU

PUTRAJAYA: Sebuah jawatankuasa akan ditubuh bagi meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) 1971 yang antara lain akan membolehkan pelajar berumur 21 tahun ke atas menyertai parti politik, seperti yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, terma rujukan pindaan itu juga akan diwujudkan dan kedua-dua perkara tersebut akan dibawa ke Kabinet untuk dibincangkan.

Jawatankuasa tersebut akan memulakan draf pindaan itu sebaik mendapat kebenaran Kabinet, dan pindaan tersebut diharap dapat dibentangkan di Parlimen pada sesi Mac akan datang, katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Latihan Graduan Industri Tinggi (HEIGIP) di sini, Selasa.

Mohamed Khaled berkata, pindaan tersebut akan menekankan dua prinsip iaitu politik partisan tidak boleh dibawa ke dalam kampus dan pelajar yang mencapai umur 21 tahun, boleh menyertai mana-mana parti politik.

Beliau juga berkata, ia akan melibatkan lebih satu juta pelajar di mana selain pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA), beberapa akta lain akan turut dipinda untuk perkara sama termasuk bagi pelajar institusi pengajian tinggi swasta (IPTS), institut perguruan, politeknik dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) yang tidak tertakluk di bawah AUKU tetapi mempunyai aktanya yang tersendiri.

"Kita akan dapatkan pandangan semua pihak termasuk pelajar dan tenaga akademik dan selain pertemuan dan perjumpaan, penggunaan media sosial juga akan ditekankan bagi mendapatkan seberapa banyak input yang mungkin. Saya berharap semua pihak akan menyokong dan memastikan pindaan dihormati apabila dilaksanakan nanti," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamed Khaled berkata sebuah unit khas akan ditubuhkan di bawah Bahagian IPTS kementerian bagi menangani aduan dan masalah daripada pelajar antarabangsa di negara ini.

Beliau berkata, ia berikutan terdapat banyak aduan yang dibuat pelajar tersebut tetapi tidak ditangani dengan baik oleh IPTS, di mana secara tidak langsung meninggalkan kesan buruk terhadap negara sebagai pusat pengajian tinggi untuk pelajar antarabangsa.

Selain itu beliau berkata, IPTS juga perlu lebih bertanggungjawab terhadap penuntut antarabangsa yang menuntut di kampus masing-masing, termasuk memastikan mereka mempunyai dokumen yang sah serta tidak melanggar undang-undang negara.

Menyokong usaha yang diambil oleh Jabatan Imigresen dalam menangani masalah pelajar luar negara yang didapati menyalahi undang-undang, beliau berkata ia merupakan amaran kepada IPTS, sebagai institusi yang diberi kebenaran membawa masuk pelajar asing, untuk memastikan perkara tersebut tidak berlaku.

Jabatan Imigresen Negeri Sembilan baru-baru ini telah menahan 36 orang warga negara asing yang merupakan pelajar sebuah kolej swasta di Mantin kerana melakukan pelbagai kesalahan seperti tinggal lebih masa, pas pelajar tamat tempoh dan tiada pas pelajar, malah lima daripada yang ditahan didapati memiliki pas pelajar palsu.

Mohamed Khaled berkata, berdasarkan maklumat Jabatan Imigresen, Bahagian IPTS kementerian telah diarahkan untuk mendapatkan maklumat daripada IPTS terbabit tentang perkara itu di mana tindakan yang boleh diambil termasuklah menarik balik kebenaran untuk membawa masuk pelajar antarabangsa ke negara ini.

Mengenai perkembangan terkini pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Abdul Aziz Bari berhubung dakwaan beliau bahawa laporan kewangan tahunan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bebas daripada diaudit, Mohamed Khaled berkata sebarang tindakan terpulanglah kepada UIAM kerana kementerian tidak campur tangan dalam isu tersebut.

Artikel Sebelum

Artikel Lain