suria

Limkokwing University Mahu Wujudkan Kampus Di Nepal

KATHMANDU: Limkokwing University Creative Technology dijangka menembusi Nepal dengan menjalin kerjasama dengan konglomerat tempatan bagi mewujudkan kampus cawangan bagi mempromosikan pengajian tinggi.

Universiti yang berpangkalan di Malaysia itu dijangka menandatangani perjanjian rasmi dengan Chaudhary Group pada Selasa, sekaligus membuka laluan operasi mereka pada 2012.

"Kami akan menawarkan pendidikan berasaskan perindustrian dan para pelajar Nepal akan diberi pendedahan sebaik mereka menyertai universiti itu, di mana-mana daripada tiga kampus kami di London, Kathmandu atau Malaysia.

"Kami akan membantu melatih modal insan dan mengambil bahagian di dalam pembangunan ekonomi Nepal," kata Naib Presiden Pembangunan Perniagaan universiti itu, Chua Tiam Wee kepada Bernama.

Limkokwing adalah sebahagian daripada delegasi Majlis Perniagaan Malaysia Nepal (MNBC) ke negara Himalaya itu yang bermatlamat meninjau perdagangan.

Chaudhary group adalah entiti perniagaan yang dipelbagaikan yang turut mempunyai kempentingan meluas di dalam sektor pendidikan di Nepal.

Di Kathmandu, Limkokwing turut menandatangani memorandum persefahaman dengan dua agensi pengambilan pelajar - Prudent Education Foundation dan Scholars Choice Pvt Ltd, bagi membantu mempromosikan jenama universiti itu di Nepal.

Antara kursus yang dijangka ditawarkan ialah arkitektur, reka bentuk, bunyi dan muzik, perniagaan dan teknologi maklumat.

Limkokwing mempunyai 12 kampus di lapan negara dengan hampir 30,000 pelajar. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain