suria

Universiti Pertahanan Cadang Ambil Pelajar Asean - Naib Canselor

KUALA LUMPUR: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) bercadang membuka peluang kepada pelajar dari Asean untuk melanjutkan pengajian peringkat Sarjana Muda, kata Naib Canselornya, Lt Jen Datuk Wira Allatif Mohd Noor.

"Mengikut perancangan awal, UPNM akan mula mengambil pelajar asing peringkat kadet bermula tahun hadapan, namun beberapa perkara perlu diperhalusi terlebih dahulu," katanya pada sidang akhbar mengenai Konvokesyen Ke-2 UPNM, di sini Jumaat.

Beliau juga berkata negara seperti Singapura, Indonesia dan Brunei dilihat tidak mempunyai masalah untuk menghantar pelajar mereka, namun negara lain yang kurang berkemampuan mungkin mengharapkan tajaan sepenuhnya dari UPNM.

"UPNM merupakan sebuah universiti yang baru berusia lima tahun dan terletak di bawah Kementerian Pengajian Tinggi. Oleh itu pihak universiti tidak akan mampu menaja mana-mana pelajar kecuali mendapat geran untuk melakukannya," katanya.

Allatif berkata perkara tersebut mungkin menjadi sekatan kepada perancangan UPNM, namun pihak universiti masih melakukan perundingan dengan wakil pertahanan negara-negara Asean di Malaysia.

"Modul program yang dilaksana di UPNM menarik minat negara Asean untuk menghantar pelajar mereka kerana modul di UPNM berada pada tahap yang sama dengan Akademi Pertahanan Australia dan Akademi Tentera Amerika Syarikat iaitu West Point.

Mengenai konvokesyen UPNM, beliau berkata ia akan diadakan selama dua hari mulai 2 Oktober melibatkan seramai 407 pelajar, 335 lelaki dan 72 perempuan yang akan menerima Ijazah Sarjana Muda.

Allatif berkata istiadat pada hari pertama akan disempurnakan oleh Canselor UPNM iaitu Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin manakala pada hari kedua akan dilakukan oleh Pro Canselor UPNM, Datuk Seri Tunku Puteri Intan Safinaz Sultan Abdul Halim.

"Pada hari pertama konvokesyen, UPNM juga bakal menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Keselamatan Dalam Negeri) kepada bekas Ketua Polis Negara, Tun Muhammad Hanif Omar dan Ijazah Kehormat Sarjana (Peperangan Menentang Pengganas) kepada Kapten (B) Hamid Awang," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain