suria

KPT Sedang Jalankan Kajian Jumlah IPTA/IPTS Negara

PUTRAJAYA: Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sedang menjalankan kajian terperinci mengenai keperluan institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTS/IPTS) yang baru di negara ini.

Menterinya, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kajian itu penting bagi menentukan kualiti dan kedudukan IPTA/IPTS di peringkat antarabangsa serta program yang ditawarkan relevan dengan kehendak semasa.

Beliau berkata Malaysia yang kini menjadi 'hab pendidikan' penting di rantau ini telah menarik minat banyak universiti terkemuka luar negara untuk membuka cawangan kampus di negara ini.

"Kita sedang kaji negara kita perlukan berapa banyak universiti-universiti baru supaya kita dapat menjaga kualiti dan dapat memperkukuhkan kedudukan sektor pengajian tinggi.

"Memang kita dapat lihat kecenderungan banyak pihak yang ingin buka cawangan kampus di negara ini. Jadi KPT nak pastikan kualiti universiti tempatan dan program yang ditawarkan di semua universiti relevan dengan kehendak," katanya pada sidang media selepas penyerahan sijil pelawaan naik taraf kolej HELP kepada Universiti HELP, di sini, Selasa.

Katanya, kajian itu juga bagi memastikan usaha mentranformasikan pendidikan tinggi negara berjalan lancar untuk melahirkan modal insan yang berkualiti dan menjadi sektor pertumbuhan ekonomi yang penting.

Khaled berkata, jumlah kemasukan ke IPT di negara ini hanyalah 40 peratus berbanding 60 peratus di Amerika Syarikat dengan nisbah satu universiti bagi penduduk di negara ini ialah 1:400,000, berbanding 1:200,000 di Amerika Syarikat.

Katanya, sehingga 31 Julai, terdapat 25 IPTS bertaraf universiti, 22 kolej cawangan universiti dan lima kampus cawangan universiti luar negara yang aktif di negara ini.

Beliau menggesa semua IPTA/IPTS supaya memberi keutaman dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) dan menjadi hab inovasi bagi memastikan negara ini berada dalam kelompok universiti yang berdaya saing dan menjadi pilihan utama pelajar tempatan dan antarabangsa.

Khaled juga melahirkan rasa gembira kerana tujuh IPTA di negara ini kini berada dalam senarai 600 universiti terbaik dunia daripada 15,000 universiti yang dinilai.

"Tahniah kepada semua universiti kita. Dahulu kita ada lima universiti tapi tahun ini ada tujuh universiti, tambahan dua universiti lagi iaitu UIAM dan UiTM dalam senarai itu. Kedudukan Universiti Malaya juga meningat kepada 167 berbanding 207 tahun lalu, buat pertama kalinya Malaysia mendahului universiti dari Thailand dan Taiwan," katanya.

Artikel Lain