suria

NC UTM Terima Anugerah Kejuruteraan Asean

KUALA LUMPUR: Naib canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Prof Datuk Dr Zaini Ujang, pada Rabu menerima Anugerah Zamalah Kehormat Persekutuan Pertubuhan Kejuruteraan Asean (AFEO) kerana sumbangan cemerlang beliau terhadap profesian kejuruteraan.

Beliau menerima anugerah itu daripada setiausaha agung AFFEO Datuk Paduka Prof Dr Keizrul Abdullah pada majlis khas di Kampus Antarabangsa UTM di sini.

"Saya berasa amat bertuah kerana dikurniakan Zamalah Kehormat ini. Pengiktirafan ini bukan saja penghormatan untuk diri saya, tetapi juga terhadap UTM yang merupakan universiti penyelidikan terulung di Malaysia dalam bidang kejuruteraan, sains dan teknologi," kata Zaini semasa berucap pada majlis itu.

Zaini, yang juga seorang saintis dan jurutera alam sekitar profesional, banyak terlibat dalam penyelidikan bersepadu mengenai ekologi air dan sistem kejuruteraan bagi mengawal pencemaran, khususnya pemulihan sungai di negara membangun.

Zamalah Kehormat AFEO dianugerahkan kepada anggota korporat AFEO terkemuka dan tokoh tersohor yang memberi sumbangan cemerlang terhadap profesion kejuruteraan, institusi dan negara.

Ia adalah yang kedua terbesar selepas Zamalah Kehormat Terunggul, yang penerimanya sebelum ini termasuk bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

AFEO adalah sebuah badan bukan kerajaan yang dianggotai institusi dan pertubuhan kejuruteraan dari negara anggota Asean yang bertujuan memupuk muhibah dan persefahaman serta meningkatkan dan memperkukuhkan standard asas Asean bagi profesion kejuruteraan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Kampus Baru UiTM Di Raub

Artikel Lain