suria

Graduan OUM Diminta Sentiasa Tuntut Ilmu - Jeanne

KUALA LUMPUR: Graduan Universiti Terbuka Malaysia (OUM) dinasihatkan supaya terus dahagakan ilmu dan sentiasa menuntut ilmu walaupun selepas berjaya mengenggam segulung skrol masing-masing.

Canselor OUM, Tun Jeanne Abdullah, berkata semua graduan perlu sentiasa mengingati bahawa proses pembelajaran tidak terhenti selepas menerima ijazah malah proses itu perlu diteruskan demi membentuk seorang insan yang lebih baik.

"Menerusi ilmu dan kemahiran, pelajar juga boleh mencapai kehidupan yang lebih baik," katanya pada majlis Konvokesyen OUM ke-10 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, Sabtu.

Katanya OUM sentiasa menyokong proses pembelajaran sepanjang hayat kerana ia boleh meningkatkan tahap profesionalisme di samping membuka banyak peluang pekerjaan yang menawarkan ganjaran yang lebih baik.

Sejumlah 4,367 graduan akan menerima skrol masing-masing pada konvokesyen tiga hari itu.

Sesi pertama konvokesyen hari ini menyaksikan 850 graduan menerima ijazah masing-masing iaitu Doktor Falsafah (Ph.D) dalam bidang Teknologi Maklumat, Sarjana dalam Pengurusan Projek, Sarjana Muda Teknologi Maklumat dengan kepujian dalam kejuruteraan perisian dan Sarjana Muda Pengurusan Hospitaliti dengan kepujian. -BERNAMA

Artikel Lain