suria

USM Lancar Buku Laporan Kemajuan Siri Kedua

GEORGE TOWN: Canselor Universiti Sains Malaysia (USM) Tuanku Syed Sirajuddin Syed Putra Jamalullail hari ini melancarkan buku 'Transforming Higher Education For A Sustainable Tomorrow: 2010 Laying The Foundation' siri kedua yang mengandungi laporan lengkap kejayaan dan usaha universiti itu sepanjang tahun 2010.

Laporan kemajuan USM telah menerima status Apek sejak 2008 yang diterbitkan dalam bentuk buku itu juga dilengkapkan dengan laporan mengenai penyelidikan dan penemuan universiti.

Turut hadir ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas dan isteri Toh Puan Majimor Shariff dan Naib Canselor USM Tan Sri Dzulkifli Abdul Razak.

Pada majlis itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut menyaksikan upacara pemeteraian memorandum persefahaman antara USM dan Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia mengenai penggunaan sistem tutorial multimedia atas talian kod braille Bahasa Melayu bagi orang celik.

USM diwakili oleh Dzulkifli manakala persatuan itu diwakili presidennya Datuk S. Kulasegeran.

Sistem tutorial yang dikenali sebagai 'eKodBraille' itu dibangunkan menerusi projek Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan (PPIP) yang diketuai oleh Prof. Madya Dr Lee Lay Wah.

Projek eKodBraille boleh dicapai melalui http://ekodbraille.ses.usm.my/ dibangunkan melalui Geran Penyelidikan Universiti USM berjumlah RM100,000 sejak awal 2010.

Sistem itu dibina bagi mengatasi masalah dihadapi guru pelatih pendidikan khas, guru pendidikan khas yang sedang berkhidmat, ibu bapa yang memiliki anak cacat penglihatan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan orang buta.

Ia mampu menyokong pembelajaran individu menggunakan ciri-ciri animasi flash, simulasi Braille, penilaian bimbingan, permainan, tutor maya, muka bantuan, sistem pengesanan, pensijilan atas talian serta pangkalan data pembelajaran.

'e-KodBraille' terdiri daripada lima tahap iaitu asas Braille, singkatan Braille, tanda Braille, tanda matematik asas dan teks Braille. -BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain