suria

UPKO Gesa Pembinaan Segera Sekolah Menengah Di Kampung Marak-Parak, Kota Marudu

KOTA MARUDU: Naib Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Senator Datuk Maijol Mahap mahu kerajaan persekutuan menyegerakan pembinaan sebuah sekolah menengah di Kampung Marak-Parak, kira-kira 40km dari sini.

Beliau berkata sekolah itu tidak hanya akan memenuhi keperluan pelajar dari Kampung Marak-Parak tetapi juga dari banyak kampung di sekitarnya.

Kampung terbabit termasuk Kampung Malangkap Darat, Malangkap Tengah, Serinsim, Kias, Bambangan, Mongis, Tandahawon, Pongopuyun Baru, Talamason, Tangkol, Sunsui, Pompodon, Polipikan dan Loguhang.

"Kami harap kerajaan persekutuan akan mempertimbangkan rayuan kami," katanya di sini Jumaat.

Maijol berkata pada masa ini terdapat dua sekolah rendah di kawasan berkenaan iaitu SK Marak-Parak dan SK Malangkap.

"Setiap tahun, ramai pelajar dari dua sekolah ini yang memasuki tingkatan satu, dan mereka terpaksa pergi ke SMK Kota Marudu I atau SMK Kota Marudu II di bandar Kota Marudu untuk meneruskan persekolahan mereka.

"Dengan wujudnya sebuah sekolah menengah di Kampung Marak-Parak, pelajar tidak lagi perlu pergi ke bandar Kota Marudu untuk belajar," katanya.

Sementara itu, beliau berkata SK Marak-Parak yang dibina pada 1967, berkeadaan uzur dan perlu dibaiki segera.

"Saya dapati lantai dan silingnya sudah runtuh, hingga kami diberitahu oleh guru supaya tidak melangkah ke bahagian di sebelah bilik tempat kami makan tengah hari yang membahayakan kerana bakal runtuh bila-bila saja," katanya. - BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain