suria

Australia Hanya Benarkan Bantuan Luar Masuk Selepas Lima Hari Banjir - Khaled Nordin

KUALA LUMPUR: Bantuan luar tidak dibenarkan memasuki kawasan banjir di Brisbane, Australia sepanjang lima hari pertama bencana, menyebabkan bantuan kepada penuntut Malaysia di situ tidak dapat disalurkan.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata bagaimanapun kerajaan tetap berhubung dengan pihak berkuasa Australia bagi memastikan pelajar Malaysia di kawasan terbabit turut menerima bantuan.

"Mana mungkin kita boleh pergi ke sana (beri bantuan) dalam masa lima hari ketika banjir sedang melanda negara itu, jika dapat pergi pun, sudah tentu kita akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan bot dan lain-lain kemudahan," katanya kepada pemberita, di sini Isnin.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar mengenai penuntut yang terlibat banjir itu berasa kecewa dengan Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Malaysia di Australia dan Jabatan Penuntut Malaysia, kerana gagal menyalurkan bantuan yang sewajarnya kepada mereka.

Dua minggu lepas, Queensland dilanda banjir terburuk dalam tempoh seabad, menyaksikan air berlumpur yang melimpahi tebing Sungai Brisbane mencapai paras setinggi lampu isyarat du beberapa tempat dan menenggelamkan kira-kira 20,000 rumah.

Terdahulu, Khaled menyaksikan majlis menandatangani perjanjian di antara Iskandar Education Enterprise Sdn Bhd (IEE) dan Universiti Southampton untuk mewujudkan Universiti Southampton Kampus Malaysia (USMC) di EduCity, Iskandar Malaysia.

Khaled berkata USMC akan menawarkan kursus peringkat ijazah pertama dan ijazah lanjutan dalam bidang kejuruteraan elektrik, mekanikal dan aeroangkasa.

"Untuk peringkat awal universiti ini akan menawarkan kursus ijazah pertama dalam bidang kejuruteraan yang diajar oleh pensyarah Southampton di Malaysia bagi dua tahun pertama diikuti dua berikutnya di kampus di United Kingdom," katanya.

Khaled berkata USMC dijangka dilancarkan tahun depan dengan pengambilan pertama pada September tahun terbabit.

Beliau berkata EduCity kini diiktiraf sebagai destinasi akan datang untuk pendidikan tinggi di Asia dan dijangka menarik pelajar dari seluruh rantau itu.

"Kami mensasarkan untuk menambah pengambilan pelajar asing sebanyak 150,000 dalam tempoh sedekad akan datang. Ini bukan sasaran tidak realistik. Menerusi pasaran domestik yang besar, polisi ekonomi yang menarik, Malaysia kini bersedia untuk memenuhi potensinya dalam pasasan pendidikan tinggi di Asia," katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain