suria

Taklimat Mengenai Perubahan Sesi Pengajian IPT Jumaat Ini, Kata Saifuddin

KUALA LUMPUR: Kementerian Pengajian Tinggi akan mengadakan taklimat khas kepada wakil institusi pengajian tinggi (IPT) awam dan swasta pada Jumaat ini, berhubung perubahan sesi pengajian daripada bulan Julai kepada September yang bermula tahun ini.

Timbalan Menterinya Datuk Saifuddin Abdullah berkata taklimat tersebut antara lain akan membincangkan dengan lebih lanjut berhubung perubahan tersebut kepada pihak universiti dan para pelajar.

Taklimat khas itu akan diadakan di Hotel Pan Pacific KLIA Sepang pada pukul 3.30 petang, katanya kepada pemberita selepas menutup Seminar Antarabangsa Penyelesaian Secara Islam Terhadap Isu Semasa Di Dunia Berdasarkan Konsep 1Malaysia yang bermula sejak Sabtu lepas di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), di sini, Isnin.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rasa tidak puas hati pelajar IPT berikutan langkah kerajaan menganjakkan tarikh pengambilan pelajar baru di semua IPT yang bertujuan menyelaraskan waktu pengambilan pelajar IPT antarabangsa, dan juga untuk menarik lebih ramai pelajar asing menyambung pengajian di negara ini.

Mengenai seminar tersebut, beliau berkata ia dalah bukti konsep 1Malaysia bersifat universal kerana perbincangan dalam seminar menekankan kepada penggunaan konsep itu sebagai antara jalan penyelesaian permasalahan yang melanda masayarakat Islam.

Ini jelas menunjukkan konsep yang diasaskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu bersifat universal sehingga mampu dijadikan antara landasan terbaik untuk membangunkan dan menyatukan ummmah, katanya. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain