suria

Pasukan UKM Kaji Mengenai Dispora Rakyat Malaysia Di Negara Teluk

DUBAI: Sepasukan penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sedang menjalankan kaji selidik di kalangan rakyat Malaysia di negara rantau Teluk berhubung kehadiran mereka yang dapat mengambil kesempatan secara optimum bagi meningkatkan hubungan antara Malaysia dan negara-negara berkaitan.

Kumpulan penyelidik dari Institut Kajian Rantau Asia Barat (IKRAB) UKM itu kini berada di Emiriyah Arab Bersatu (UAE), dengan Qatar dan Arab Saudi juga di dalam jadual.

Pengarah IKRAB Prof Dr Siti Rugayah Tibek memberitahu Bernama di sini bahawa keputusan kaji selidik itu akan membantu dalam merumuskan pelan strategik atau dasar yang mungkin menarik minat rakyat Malaysia di negara rantau teluk.

"Kita tahu bahawa entiti seperti kedutaan-kedutaan kita dan agensi kerajaan yang lain mempunyai tangggungjawab masing-masing dalam menggalakkan hubungan dua hala.

"Tapi kita ingin tahu lebih banyak lagi mengenai sumbangan rakyat biasa Malaysia dalam semua ini," kata Dr Siti Rugayah mengenai kaji selidik yang bertemakan Diaspora Rakyat Malaysia di Negara Teluk: Cabaran dan Sumbangan Kepada Negara.

Beliau berkata pasukan itu bercadang untuk menemubual seramai mungkin rakyat Malaysia di tiga buah negara itu.

Antara lain mereka akan ditanya mengenai faktor-faktor yang memberi motivasi mereka untuk bekerja di seberang laut, cabaran untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baru dan tindakan persendirian yang telah menyumbang kepada peningkatan hubungan dua hala antara Malaysia dan negara-negara terbabit.

Di UAE, para penyelidik UKM itu melawat Dubai dan Abu Dhabi manakala di Qatar mereka akan bertemu rakyat Malaysia di Doha.

Mereka telah memilih Jeddah, Mekah dan Madinah untuk kerja-kerja mereka di Arab Saudi. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain