suria

Pendidikan Hijau Penting Untuk Peluang Pekerjaan Baru

SHAH ALAM: Institusi Pengajian Tinggi (IPT) di negara ini dicadang untuk memperkasakan program pendidikan hijau bagi mempersiapkan mahasiswa dengan peluang pekerjaan baru pada masa akan datang.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi berkata keperluan tenaga kerja mahir pada masa depan lebih berlandaskan kepada teknologi hijau yang menjadi agenda utama pembangunan berteraskan ekonomi hijau dan pelestarian alam sekitar.

"Hijau hari ini bukan sahaja satu trend dan fesyen tetapi merupakan amalan yang sangat penting dalam memastikan alam sekitar terpelihara dalam usaha mengeimbangkan ekonomi dan masyarakat alam sekitar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan hadiah kepada pemenang DIGI Anugerah Cabaran untuk Perubahan.

Katanya beliau percaya keperluan tenaga mahir dalam bidang teknologi hijau semakin meningkat yang akan mencipta lebih banyak peluang pasaran pekerjaan kepada bakal graduan tempatan.

Beliau berkata walaupun terdapat beberapa IPT yang menawarkan bidang pendidikan hijau, namun lebih banyak kursus dan program seumpama itu perlu dipertingkatkan bagi mempersiapkan graduan untuk memenuhi kehendak pasaran.

Kementerian akan terus memperhebat lagi program berbentuk latihan serta kesedaran berkaitan teknologi hijau kepada para mahasiswa dan setakat ini sebanyak 14 IPT Awam menawarkan kursus berkaitan teknologi itu di peringkat diploma dan sarjana muda, katanya.

Saifuddin berkata kementerian turut merangka kandungan pengajian berkenaan selaras dengan Dasar Teknologi Hijau Negara. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain