suria

Pelajar Malaysia Dilarang Jadi Sukarelawan Merapi Sementara Waktu

YOGYAKARTA: Perkembangan terkini letusan Gunung Merapi awal pagi ini yang menurunkan hujan abu dan hujan pasir volkanik sehingga ke kota Yogyakarta menyebabkan Jabatan Penuntut Malaysia (MSD) di Indonesia melarang pelajar Malaysia menjadi sukarelawan bencana itu untuk sementara waktu.

Awan panas yang dikenali sebagai "Wedhus Gembel" oleh penduduk tempatan itu berlaku pada pukul 12.40 pagi ini menyebabkan ramai penduduk sekitar gunung itu menjadi panik dan melarikan diri ke arah kota Yogyakarta. Namun hujan abu dan kadang kala hujan pasir volkanik itu dibawa angin sehingga ke Yogyakarta sampai melitupi ibu kota lama Indonesia ini menyebabkan kebanyakan tempat kelihatan putih dengan abu dan pasir volkanik.

Pengarah MSD Indonesia Datuk Dr Junaidy Abu Bakar berkata beliau meminta semua pelajar Malaysia di Yogkayarta mengurangkan aktiviti luar rumah atau luar bangunan dan jika perlu keluar, harus memakai topeng muka.

Semua pelajar Malaysia di Yogyakarta dipastikan selamat dan MSD terus memantau arahan terkini pihak berkuasa tempatan sebelum mengambil sebarang tindakan selanjutnya.

"Menurut pemerintah Kota Yogyakarta, hujan abu ini tidak membahayakan. Langkah-langkah keselamatan diutamakan.

"Jika wap panas dan lava sampai ke Jogja dan penduduk Jogja dipindahkan, MSD akan mencadangkan agar semua pelajar kita dibawa balik ke Malaysia," katanya. Junaidy berkata ibu bapa pelajar Malaysia di Yogyakarta yang ramai menelefon jabatan itu telah dimaklumkan bahawa sehingga kini keadaan masih terkawal.

"Pihak media telah diminta untuk menyalurkan maklumat di akhbar Malaysia supaya ibu bapa tidak bimbang dengan keadaan anak-anak mereka," katanya. - BERNAMA

Artikel Lain