suria

Penyelidik Perlu Galas Cabaran Hasil Produk Berjenama Malaysia

KANGAR: Para penyelidik dan saintis tempatan perlu menggalas cabaran bagi menghasilkan produk berjenama Malaysia yang mampu bersaing dalam pasaran global, kata Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Prof Datuk Dr Kamarudin Hussin.

Persaingan global tidak menjanjikan jaminan produk yang dihasilkan menembusi pasaran kecuali ia benar-benar berkualiti dan bertaraf dunia serta mengikut kehendak pasaran, kata Prof Kamarudin pada perasmian seminar Kesedaran Harta Intelek Negeri Perlis 2010.

Teks ucapannya dibacakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UniMAP Profesor Dr Zul Azhar Zahid Jamal.

Seminar sehari itu dianjurkan bersama UniMAP, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyiPO) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).

Prof Kamarudin berkata, seminar itu bertujuan meningkatkan kesedaran dan tahap pengetahuan mengenai harta intelek serta menggalakkan budaya inovasi dan kreativiti di kalangan orang awam, agensi kerajaan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) dan golongan akademik.

Di peringkat UniMAP, Prof Kamarudin berkata, universiti itu juga telah menubuhkan Unit Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) pada 2007 yang antara lain bertanggungjawab menguruskan pemindahan teknologi universiti itu kepada masyarakat dengan menghubungkan produk atau teknologi itu kepada pihak industri.

Unit itu juga membantu para penyelidik mendapat perlindungan hasil penyelidikan, bayaran pendapatan daripada hasil pengkomersialan, khidmat nasihat pengkomersialan, suai padanan antara penyelidik dengan industri, implikasi perundangan, promosi hasil penyelidikan dan memperoleh latihan berkaitan pengkomersialan dan perlindungan harta intelek.

Sejak 2004 sehingga pertengahan tahun ini, UniMAP telah memiliki sebanyak 595 geran penyelidikan yang mana sebanyak 10 hasil penyelidikan telah berjaya dipatenkan, 54 penyelidikan sedang melalui proses carian 'novelty' dan dua lagi produk sedang melalui perisian hakcipta.

Menurutnya, antara produk yang berjaya dikomersialkan ialah 'KUKUM Artificial Marble', 'Single Phase Inverter Training Kit' dan 'Buck & Boost Converter Teaching Module' manakala beberapa produk dalam peringkat awal proses pengkomersialan termasuk pemanggang sate, rumah hijau, pengesan produk halal, bekalan tanpa gangguan berkuasa solar dan penyerap mikro sekam padi.

Beliau berkata, UniMAP tidak memandang ringan terhadap setiap produk penyelidikan yang telah dihasilkan dan sentiasa berusaha memastikan semua produk yang dihasilkan dapat dipatenkan dan boleh dimanfaatkan oleh pihak industri serta masyarakat. - BERNAMA

Artikel Lain