suria

IPT Diminta Tumpu Program Jalinan Masyarakat

SHAH ALAM: Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata institusi pengajian tinggi di negara ini perlu memberi perhatian lebih kepada program jalinan masyarakat daripada program khidmat masyarakat.

Beliau berkata selama ini kebanyakan IPT menumpukan kepada program khidmat masyarakat secara ad hoc seperti gotong royong yang kurang menyediakan kesinambungan perhubungan antara masyarakat dan pelajar.

Berucap menutup Nexstec Design : Challenge 2010 di Universiti Teknologi Mara di sini hari ini, Khaled berkata melalui jalinan masyarakat, sesebuah universiti termasuk pelajarnya, boleh membantu dan memimpin masyarakat dalam menghadapi isu dan cabaran setempat.

Khaled berkata lazimnya masyarakat ada masalah tersendiri dan pihak universiti boleh mengenal pasti masalah-masalah yang boleh diselesaikan dengan penglibatan pelajar menerusi program jalinan masyarakat.

Ia juga akan membantu pelajar dalam meningkatkan kemahiran hubungan sesama insan, membina peribadi dan ketrampilan yang unggul dan memberi peluang kepada mereka untuk menggunakan pengetahuan yang diperoleh dari makmal dan dewan kuliah kepada dunia yang sebenar, katanya.

Pada majlis itu, Khaled menyampaikan hadiah kepada pemenang-pemenang dalam mereka bentuk tebingan untuk Tasik Biru, sebuah tasik di Kuang yang menghadapi masalah pencemaran. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain