suria

Universiti Seni Mahu Capai Kecemerlangan

KUALA LUMPUR: Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) ialah satu-satunya institusi pengajian tinggi awam bertaraf universiti di negara ini yang menawarkan latihan formal dalam persembahan kesenian.

Aswara, agensi di bawah Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaaan yang sebelum ini dikenali sebagai Akademi Seni Kebangsaan, menawarkan program pengajian diploma dan ijazah selama tiga tahun dan mempunyai enam fakulti.

Fakulti berkenaan ialah Muzik, Tari, Teater, Seni Halus, Penulisan dan Fakulti Filem dan Video.

Jumlah pelajarnya kini ialah 1,806 orang.

Menurut Rektor Aswara Datuk Dr Mohamed Najib Ahmad Dawa, institusi itu merancang menubuhkan Pusat Animasi yang akan dijadikan pusat kecemerlangan.

Kami akan jadikan pusat animasi ini sebagai pusat kecemerlangan. Dengan kemudahan teknologi yang akan dibawa masuk, Aswara akan memastikan kelebihan teknologi ini dimanfaatkan sepenuhnya oleh pelajar.

"Oleh itu satu kursus wajib akan diperkenal kepada semua pelajar dalam bidang industri kreatif dan animasi ini, katanya.

Universiti Butik

Tujuannya ialah untuk menjadikan Aswara sebagai universiti butik.

Inilah niche atau serlahan yang dicari Aswara sejak diwujudkan pada 2006 selepas Kabinet pada tahun sebelumnya meluluskan taraf ASK menjadi sebuah induk pengajian dan latihan seni budaya dan warisan yang cemerlang.

Idea ini dizahirkan oleh Dr Mohamed Najib pada sesi pertemuan sulungnya dengan petugas akademik dan para pelajar Aswara Januari lalu.

Konsep ini bertitik tolak daripada keupayaan mencipta kelainan yang unik, dengan mereka bentuk kursus serta program Aswara yang khusus dan bermutu tinggi.

Ia juga mendorong penciptaan pelbagai serlahan yang diperlukan industri sesuai dengan perubahan pragdigma tempatan dan global.

Beliau juga menyebut tiga elemen yang akan bergerak seiring dengan perubahan ini iaitu inovasi, kepimpinan dan sikap keusahawanan.

Disiplin

Dr Mohamed Najib berkata sejak mula lagi beliau menekankan kepada disipilin tenaga pengajar dan pelajar Aswara.

Maknanya, dalam menggalakkan pelajar bebas berkarya, perlu ada disiplin pada mereka dalam merangka projek, mencari dan mengumpul sumber sendiri atau secara gabungan dan menghasilkan projek yang bermutu.

Ini bererti perlu ada kertas kerja , pembentangan konsep idea, penampilan kemas dari segi fizikal (pakaian) dan akademiknya. Dalam hubungan ini secara langsung ekspresi seni mereka akan teratur, terurus, profesional, dihargai dan diterima secara terhormat.

Sebagai contoh Festival Aswara PeTA yang diadakan, walaupun tujuan utamanya ialah untuk Penilaian Tahun Akhir, tetapi dalam masa yang sama objektifnya ialah memasarkan terus produk pelajar ke pasaran dengan membuka festival ini kepada orang ramai.

Pengunjung disediakan dengan buku panduan setiap projek dan biodata pelajar yang terlibat, brosur, buku program, gerai produk, malah brosur lengkap mengenai Aswara, visi dan misinya serta bidang pengajian yang ditawarkan Aswara.

Dr Mohamed Najib berkata setakat ini lulusan Aswara 100 peratus tidak menghadapi masalah memasuki pasaran sebagai pemuzik, pereka tari, pengarah teater, penulis skrip malah pelakon.

Kejayaan

Sementara itu, pelajar tahun akhir Aswara dalam Program Diploma Penulisan, Suhaila Nordin, telah menunjukkan kepada penulis hasil seni yang diperaga beliau pada festival itu.

Beliau mempamerkan skrip penulisannya 'Nota & Not', tetapi apa yang menarik gerai kendaliannya penuh dengan baju T, lukisan, poskad, pemegang kunci, pencetak dan lakaran menarik yang mempunyai lambang 'Nota & Not'.

Suhaila bercadang menghantar skrip penulisan beliau ke Finas atau sesiapa dulu yang berminat membelinya.

Ini bukan karya sulung pelajar tahun akhir ini yang diketengahkan di pasaran kerana dua daripada skrip penulisannya telah dijadikan telemovie oleh RTM Resepi Cinta dan Selagi Ada Daya.

Ini tidak menghairankan kerana pelajar Aswara sudah pun mencipta nama dalam usia sewal setahun ditubuhkan sebagai universiti. Hasil karya mereka menang Anugerah Cereka (Video/Filem) Terbaik, Anugerah Pengarah Filem/Video Terbaik dan Anugerah Video Dokumentari Terbaik (Budaya dan Warisan) padai Festival Filem dan Video Pelajar Malaysia 2007.

Di peringkat luar negara Aswara memenangi tempat kedua bagi kategori Best Filem School Award di 13th Lyon Asia Film Festival/Short Films Battle Royale 2007.

Filem pendeknya berjudul 'Ice Cream' menjadi finalis Young Cinema Art 2007 di Poland dan filem 'Khilaf' menerima pencalonan peringkat akhir di Jordan International Short Film 2007.

Dari segi kemudahan sebelum pusat animasi ini dibuka, Aswara memiliki studio rakaman yang canggih lengkap dengan sistem rakaman digital multitrak, sebuah panggung eksperimen, dewan orkestra, studio tari, studio drifting, studio gamelan dan cak lempung, studio muzik serta makmal komputer.

Keistimewaan

Satu daripada keistimewaan Aswara ialah pelajarnya diwajibkan mengambil satu kursus seni tradisional seperti bangsawan, makyung dan wayang kulit, sesuai dengan slogannya Melangkah Ke hadapan Bersama Tradisi.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim semasa melawat Aswara Februari lepas berpesan supaya Aswara menerima bidang animasi sebagai satu cabaran baru.

Beliau juga berkatat: "Kita jangan lupa mengasuh orang seniman, budayawan kita dan mereka yang berkaitan untuk menjadi penulis yang handal, menguja semula tarian kita, muzik kita, dengan sedemikian rupa sehingga orang lain akan terpegun bahawa sebuah institusi kecil ini boleh mara mencapai kecemerlangan.

Aswara, yang akan melahirkan graduan sulung peringkat ijazahnya akhir tahun ini, harus memastikan ia bukan univeristi pengeluar bidang massa tetapi pengeluar industri pilihan. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain