suria

13 Penuntut UMT Buat Praktikal Atas Kapal Dagang

KUALA TERENGGANU: Seramai 13 pelajar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) akan membuat praktikal di atas sebuah kapal dagang negara ini selama tiga bulan dengan mengelilingi dunia.

Mereka merupakan pelajar sulung dari Fakulti Pengajian Maritim dan Sains Marin UMT.

Ini boleh disifatkan sebagai sejarah kepada UMT, kerana ia merupakan institusi pengajian tinggi pertama negara ini yang menghantar pelajar menjalani latihan industri sebagai pelaut di atas kapal dagang.

"Mereka yang merupakan pelajar tahun akhir akan mula belayar pada 18 April ini," kata dekan fakulti berkenaan, Prof Madya Datuk Dr Saharuddin Abdul Hamid.

Kesemua pelajar tersebut telah lulus pelbagai ujian yang dijalani sebelum ini termasuk ujian fizikal sebelum dipilih untuk berlatih di atas kapal, katanya.

Fakulti tersebut kini memiliki 85 orang pelajar di bawah kursus Sarjana Muda Sains Nautika dan Pengangkutan Maritim. - BERNAMA

Artikel Lain