suria

UKM Ingin Jalin Kerjasama Dengan Universiti Thailand

SONGKHLA: Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)berhasrat mengadakan kerjasama dengan universiti-universiti Thailand, terutama Yala Rajabhat University di sini, melalui perkongsian kepakaran dalam pelbagai bidang, hasil penyelidikan dan sumber lain.

Naib Canselor UKM, Prof Tan Sri Sharifah Hapsah Syed Hassan Shahabuddin berkata, kerjasama yang ingin dijalin itu tidak hanya berkisar kepada bidang pembangunan sosial dan ekonomi, tetapi juga perlindungan alam sekitar dan sumber asli kedua-dua negara.

Beliau berada di sini bagi menerima ijazah kehormat doktor falsafah dalam bidang pentadbiran pendidikan dari Yala Rajabhat University esok.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini, Sharifah Hapsah berkata, kedua-dua universiti itu boleh mempelajari banyak perkara antara satu sama lain dan beliau berharap program pertukaran petugas dan pelajar lebih kerap diadakan bagi memupuk hubungan sesama mereka.

Sharifah Hapsah menyifatkan penganugerahan ijazah itu sebagai suatu penghormatan, bukan sahaja untuk dirinya, tetapi juga untuk UKM.

Sambil menyatakan azam beliau untuk membawa UKM ke tahap pencapaian lebih tinggi, Sharifah Hapsah berkata universiti itu juga akan bekerjasama dengan kolej antarabangsa bagi memajukan bidang keilmuan dan meraih manfaat demi memajukan masyarakat.

Katanya, sebagai universiti penyelidikan, UKM terlibat dalam pelbagai kegiatan penyelidikan sejak 40 tahun lepas.

Beliau berkata, UKM kini meningkatkan kegiatan penyelidikan dan perkhidmatan pendidikannya bagi mendapatkan pengiktirafan lebih meluas sebagai penyumbang penting dalam bidang keilmuan di peringkat tempatan dan global.

Sejajar dengan itu kata beliau, UKM akan memberi fokus terhadap lapan bidang khusus cabaran dalam membina negara bangsa; melestarikan pembangunan serantau; perubatan dan teknologi kesihatan, tenaga yang boleh diperbaharui; perubahan iklim; teknologi nano dan material termaju; biodiversiti bagi pembangunan bioteknologi dan informatik berasaskan kandungan. - BERNAMA

Artikel Lain